Social Icons

Ahad, 5 Jun 2016

Ramadhan Overhaul Hati Insan

Allah Ta'ala menjadikan manusia dijadikan sekali
dimana kekuatannya dan kelemahannya
Tuhan tahu bagaimana menguatkan yang lemah
dan bagaimana menyuburkan yang kuat
Allah Ta'ala tahu di mana kebaikan mereka
dan di mana kejahatan mereka

Memang Tuhan ada bekalkan manusia 
ada benih baik ada benih jahat
Tuhan tahu dari punca apa dia baik dan dari punca apa dia jahat
Hatilah wadahnya yang boleh menerima kebaikan dan kejahatan
Di dalam masa setahun manusia terdedah 
dengan berbagai ajaran dan cabaran
Cabaran itu seperti tekanan hidup, 
sibuk dengan kerja, berhadapan dengan kerenah manusia

Berlaku juga ujian-ujian yang mendadak, 
kemalangan yang tidak di sangka, 
melihat, mendengar perkara yang merosakkan 
Ditambah lagi hasil didikan, bacaan semuanya ini memberi kesan 
yang negatif kepada jiwa kebanyakan orang 
Kecuali orang yang kuat dengan Tuhan
 jiwanya tidak rosak dan tidak memberi kesan
Cabaran-cabaran itu tidak merosakkan jiwa mereka, 
bahkan bertambah kuat dengan Tuhan

Dengan rahmat Tuhan dan kasih sayang-Nya
Tuhan perintahkan puasa Ramadhan dan lain-lain ibadah tambahan
Ramadhan boleh membaikpulih kejahatan
Kerosakan manusia setahun hanya sebulan
Seolah-olah Ramadhan bulan overhaul hati insan
Seperti kereta yang sudah lama dipakai, 
banyak kerosakan telah berlaku terutama enjin, perlu overhaul
Overhaullah caranya membaik-pulihkan kereta 
yang perjalanannya sudah tidak berapa betul

Manusia yang sudah rosak jiwanya, fikirannya, sikap dan tingkahlakunya 
dipulihkan melalui didikan Ramadhan
Didikan Ramadhan merupakan satu pakej pendidikan 
di antara satu sama lain kuat-menguatkan
Siangnya puasa, sembahyang ditambah lagi dengan Tarawikh, 
disusul dengan membaca Al Quran
Ditambah lagi dengan perkara-perkara sampingan, 
zikir, tasbih, tahmid, salawat, tafakur, 
digalakkan bersedekah dan pemurah, 
perbualan yang menambah kesedaran
Keseluruhan itu asasnya adalah mujahadah melawan nafsu
 menentukan didikan Ramadhan berkesan atau tidak berkesan

Didikan Ramadhan ada mujahadah, 
ada didikan puasa, didikan sembahyang
Ditambah lagi didikan Al Quran dan lain-lain lagi tambahannya
Mujahadah ertinya memerlukan kekuatan jiwa, 
memaksa membuat yang disuruh, memaksa meninggalkan larangan
Larangan itu sama ada yang lahir mahupun yang bathin kenalah tinggalkan
Mujahadah ertinya memaksa, terseksa, 
membencikan, menjemukan, meletihkan
Kalau jiwa tidak kuat 
usaha tidak dapat diteruskan, atau buat tanpa kesungguhan
Kerana itulah mujahadah perlu pemangkin yang menggalakkan, 

Pemangkin ialah puasa yang hati dan fikirannya puasa, 
sembahyang yang dapat dihayati, didikan Al Quran yang difahami dan dijiwai
Di antara didikan sembahyang, 
menebalkan rasa kehambaan dan menajamkan rasa bertuhan
Di antara didikan Al Quran di sana ada khabar gembira, 
ada amaran, ada suri teladan juga ada kesedaran dan keinsafan
Didikan puasa rasa lemah, rasa hamba, rasa timbang rasa, 
menyedarkan dan menginsafkan

Daripada 3 pakej didikan yang utama itulah 
menjadikan pemangkin menguatkan jiwa, 
menyuburkan jiwa, meneguhkan keyakinan
Apabila jiwa kuat, jiwa subur, mujahadah pun kuat 
Apabila jiwa kuat dan subur hikmah Ramadhan 
daripada 3 pakej didikan tadi boleh bangunkan insan

Jika hikmah Ramadhan itu dapat dimiliki lahirlah manusia luarbiasa 
Ertinya manusia yang di-overhaul di bulan Ramadhan 
mengembalikan manusia kepada fitrah sucinya 
Lahirlah manusia yang luarbiasa iaitu manusia 
yang benar-benar rasa kehambaan
Manusia yang tawadhuk, sabar, redha, berkasih sayang, 
bertimbang rasa, pemurah, kerjasama
Malu akan jadi pakaian, tawakal menjadi perasaan, keyakinan kental

Apabila sifat ini dapat dimiliki, automatik mazmumah terbasmi
Sombong, tamak, bakhil, pemarah, hasad, dendam, gila puji, gila nama, mati
Inilah dia orang yang menang dan berjaya didikan Ramadhan 
Selepas Ramadhan manusia itu kembali suci 
seperti fitrahnya yang semula jadi

Orang ini sahajalah yang layak berhari raya
Kerana berjaya mengembalikan kesucian fitrahnya, 
hari raya namanya
Hari raya ertinya nengembalikan fitrah suci lagi murni
Kalau fitrah yang suci murni ini kekal sepanjang tahun
Ramadhan yang akan datang hanya memberi cahaya lagi, bukan overhaul
Begitulah didikan Ramadhan 
ramai orang yang gagal, 
sedikit sangat yang berjaya

Syeikh Abu Mohd Humam
Selepas Tarawikh
25.11.2002

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Sample text

Sample Text

Sample Text