Social Icons

Khamis, 2 Jun 2016

Larangan Mengucapkan Tahniah Atau Selamat Sempena Perayaan Agama BukanIslam


(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas
Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

Islam adalah agama yang mementingkan kasih sayang, mementingkan kedamaian, bagi kesejahteraan dan keharmonian umat manusia di dunia. Umat Islam dididik untuk sentiasa mengeratkan silaturahim sesama Islam dan menjaga hubungan baik dengan orang yang bukan beragama Islam.

Menjaga hubungan baik dengan orang bukan Islam pula merangkumi banyak perkara selama mana ia tidak menyangkut perkara keagamaan. Hubungan baik ini menyentuh mengenai hubungan antara manusia dengan manusia seperti pendidikan, pekerjaan, perniagaan, kerjasama dalam menjaga keamanan dan sebagainya. Inilah akhlak mulia dalam hubungan sesama manusia yang diasuh oleh Islam kepada penganutnya.

Perkara toleransi antara orang Islam dan orang bukan Islam tidaklah dilarang, kecuali pada perkara-perkara yang bertentangan dengan Islam dan melibatkan perkara keagamaan. Sebagai contoh, umat Islam dilarang untuk merayakan dan memeriahkan perayaan-perayaan keagamaan lain walau hanya sekadar untuk suka-suka.

Namun apabila hal mengenai perayaan ini disebut, timbul pula persoalan mengenai hukum ucapan tahniah orang Islam kepada orang bukan Islam sempena hari perayaan mereka.

Apa Dia Ucapan Tahniah?

Tahniah bererti ucapan selamat (untuk orang yang berkahwin, mendapat anak, naik pangkat dan lain-lain). Dalam al-Mausu'ah al-Fiqhiyyah menyebutkan, pengertian lafaz tahniah adalah:

1. Permohonan keberkatan dan doa di atas kegembiraan atau ni'mat yang diperolehi oleh seseorang.

2. Sebagai tanda turut bergembira kerana ni‘mat atau khabar gembira yang diperolehi oleh seseorang.

Mengucapkan Tahniah sempena Hari Perayaan Keagamaan Orang Bukan Islam

Jika dilihat pada maksud tahniah seperti yang disebutkan di atas, ternyata pengertiannya menjurus kepada keberkatan dan doa serta turut bergembira atas sesuatu perkara. Persoalannya, bolehkah berkat dan doa kita pohonkan untuk kepercayaan yang tidak sama dengan kepercayaan kita? Wajarkah kita turut bergembira dengan pegangan yang tidak sama dengan akidah kita?

Perlu kita sedar bahawa setiap perayaan agama lain diadakan bukan hanya sekadar sambutan semata-mata bahkan sebagai memperingati sejarah perayaan tersebut yang tentunya mempunyai hubungkait dengan kepercayaan terhadap suatu perkara dalam satu-satu agama. Dalam menyambut perayaan itu pula, wujud kepercayaan atau amalan yang tidak sesuai dan jelas ditolak oleh Islam kerana berkait dengan akidah umat Islam itu sendiri. 

Yang jelas, hari perayaan agama lain pada hakikatnya adalah syi'ar agama mereka. Umat Islam dilarang untuk merayakannya, turut serta memeriahkannya, menyerupai perbuatan-perbuatan khusus perayaan tersebut serta apa-apa juga yang berkait dengan perayaan tersebut sama ada dia bermaksud untuk menyerupai mereka dalam memeriahkan perayaan ataupun hanya sebagai penghubung kepada muamalah bersama mereka dan ini termasuklah mengucapkan selamat dan tahniah sempena perayaan agama itu.

Al-Imam Ibnu Qayyim al-Jauziyyah Rahimahullahu Ta'ala menyebutkan :

''Adapun mengucapkan tahniah (kepada orang kafir) ke atas syi'ar-syi'ar kekufuran yang khusus bagi ugamanya adalah haram menurut kesepakatan ulama seperti mengucapkan tahniah kepada mereka sempena hari-hari perayaan dan puasa mereka. Umpamanya seseorang berkata kepada mereka : ''Semoga mendapat hari raya yang berkat bagimu atau tahniah dengan kedatangan hari raya ini dan sebagainya''. 

Sekalipun jika diandaikan orang yang mengucapkan tahniah itu selamat daripada kekufuran, tetapi yang demikian itu adalah sesuatu perkara yang haram. Ia adalah seumpama mengucapkan tahniah kepadanya kerana sujud kepada salib, dan ini adalah sebesar-besar dosa di sisi Allah ....Maka sesiapa yang mengucapkan tahniah kepada seseorang kerana maksiat atau bid‘ah atau kufur, maka tetap mengundang kebencian dan kemurkaan Allah ..... ''.

Dari dalil di atas, jelas bahawa perayaan keagamaan orang bukan Islam adalah syi'ar agama mereka. Atas dasar itulah mengucapkan tahniah kepada orang bukan Islam sempena perayaan keagamaan mereka adalah dilarang kerana dengan ucapan tahniah sempena perayaan itu boleh saja menunjukkan bahawa orang yang mengucapkan tahniah itu mengaku dan membenarkan ugama berkenaan.

Larangan mengucapkan selamat atau tahniah bersempena hari perayaan agama orang bukan Islam seperti krismas tidak ada bezanya, sama ada ucapan itu diucapkan melalui mulut ataupun melalui utusan kad atau pesanan ringkas telefon bimbit.

Secara umumnya, mengucapkan tahniah kepada orang bukan Islam seperti tahniah kerana lulus peperiksaan, tahniah kerana mendapat rumah baru dan yang seumpamanya adalah diharuskan. Apabila wujud unsur keagamaan dan kepercayaan, umat Islam perlu lebih berhati-hati dengan apa yang ditetapkan oleh syara'. Sebagai contoh, dalam perkara mengucapkan takziah, umat Islam diharuskan untuk memberi ucapan takziah kepada keluarga si mati yang bukan Islam, namun lafaz itu hanya menyebut untuk mereka bersabar dan bukan menyebut membesarkan pahala. 

Berbeza dengan takziah yang dilafazkan kepada keluarga Islam iaitu 
 
ertinya ''Semoga Allah membesarkan pahalamu''. Lafaz 'membesarkan ganjaranmu' dalam ucapan takziah bermaksud menjadikannya mulia atau membesarkannya. Bayangkanlah, jika dalam mengharungi kesedihan pun ucapan takziah kepada orang bukan Islam itu tidak harus diselitkan dengan lafaz membesarkan atau memuliakannya dengan ganjaran pahala dan memadai sekadar hanya menenangkan dengan kesabaran keranamusibah tersebut, maka apalah lagi dengan keharusan kita untuk memberi ucapan tahniah sempena perayaan yang jelas sekali berkait dengan agama, akah dan kepercayaan mereka.

Hikmah Di Sebalik Larangan Mengucapkan Tahniah sempena Perayaan Agama Lain

Agama Islam amat mementingkan penjagaan dan pemeliharaan terhadap lima matlamat syara', iaitu pemeliharaan agama, nyawa, akal, keturunan dan harta benda. Memelihara akidah berada di kedudukan teratas dalam matlamat syara' dan inilah hikmah di sebalik larangan mengucapkan tahniah kepada orang bukan Islam mengenai perkara yang berkaitan dengan agama mereka.

Memang secara zahir, mengucapkan tahniah sempena perayaan agama lain nampak remeh kerana ia hanya dilihat sekadar ucapan yang dilafazkan semata-mata. Sesetengah pihak merasakan dengan mengucap tahniah sempena perayaan keagamaan orang bukan Islam tidaklah membawa apa-apa kesan kepada mereka. Bahkan mereka berani mengatakan perbuatan itu tidak akan mudah menggoyah akidah mereka. Sedangkan memberi ucapan tahniah itu sendiri adalah perkara yang diharamkan kerana ia jelas berkaitan dengan syi'ar-syi'ar kekufuran yang dibenci Allah Subhanahu Wata'ala.

Dengan adanya tanggapan sesetengah pihak yang mengatakan 'tidak menjejaskan akidah jika hanya sekadar ucapan tahniah kerana perayaan agama ini' atau seumpamanya itu lebih mewajarkan kita untuk sentiasa beringat dan mengingatkan orang-orang sekeliling untuk berhati-hati tentang dakyah dan hasutan yang kadang-kadang datang tanpa kita sedari kerana ia amat halus, tersembunyi dan sukar dikenali. Dakyah seumpama inilah yang boleh merosak pegangan umat Islam, bahkan lebih dahsyat lagi boleh menyebabkan wujudnya perbalahan antara sesama Islam kerana mempertahankan hujah dan pendapat masing-masing dalam menangani isu-isu berkaitan toleransi termasuk perkara ucapan tahniah ini.

Wajib bagi umat Islam mempertahankan akidah dan kesucian Islam. Penting bagi umat Islam menguatkan benteng akidah dengan tidak menghampiri sesuatu yang boleh menyebabkan kesudahannya membawa hati cenderung kepada perkara-perkara yang boleh merosak akidah tanpa disedari.

Larangan toleransi dalam perkara keagamaan ini mempunyai hikmah yang cukup besar bagi umat Islam. Ia berkaitan dengan pemeliharaan akidah umat Islam sendiri. Tidak mengucapkan tahniah atau selamat sempena perayaan orang-orang bukan Islam bukanlah jadi ukuran dalam menilai hubungan baik antara muslim dan orang bukan Islam. Tuntutan dan ajaran Islam kepada umatnya untuk terus berbuat baik kepada orang bukan Islam sudah cukup untuk menjaga dan mengekalkan hubungan baik dengan orang bukan Islam. 

Setiap hari bermuamalahlah dengan mereka secara jujur dan ikhlas, berbuat baiklah kepada mereka, sama ada dengan perkataan dan perbuatan serta berlaku adillah kepada mereka dalam segenap perkara. Hubungan masyarakat seumpama inilah yang lebih bermakna kepada mereka bagi menjaga keharmonian masyarakat, di samping dapat kita mempamer akhlak Islam sebenar yang cinta keamanan dan perdamaian. Tetapi dalam perkara yang menyangkut akidah wajib difahami dan dijaga.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Sample text

Sample Text

Sample Text