Social Icons

Khamis, 9 Jun 2016

Jangan Silap!! Fahami Zihar Sebenarnya

1) PENGERTIAN ZIHAR

1. Dari segi bahasa Arab diambil dari perkataan belakang, kerana bentuk zihar pada asalnya adalah seperti berikut : kata suami kepada isterinya: awak itu dengan saya seperti belakang ibu saya. Jadi dengan sebab kebiasaan orang Arab Jahiliah menggunakan perkataan “Zihar”.
2. Dari segi istilah syara’ bererti : suami menyerupakan isterinya dengan ibunya atau pun seorang yang haram berkahwin dengannya. Dengan ini menyebabkan isteri itu menjadi haram kepadanya. Seperti kata suami kepada isteri: awak ini saya lihat serupa dengan ibu saya.


2) DALIL ZIHAR
Firman Allah Taala :
Ertinya : Orang-orang yang menzihar isterinya, tidaklah isterinya itu menjadi ibunya tidaklah yang menjadi kepada mereka melainkan perempuan-perempuan yang melahirkan mereka dan sesungguhnya mereka itu menyentuh perkataan yang mungkar dan dusta.
(Surah Al-Mujadalah : ayat 2)


3) HIKMAH DILARANG ZIHAR

Sebagaimana yang diketahui di zaman jahiliah bahawa seorang suami bila berkata kepada isterinya : “awak dengan aku seperti belakang ibuku” ini adalah kerana ia bermaksud untuk mengharamkan isterinya itu hidup bersamanya buat selama-lamanya.

Oleh itu, ini adalah merupakan satu keburukan dan penyeksaan terhadap kaum perempuan. Syara’ telah melarang perbuatan yang demikian dan menganggap sebagai suatu perkara yang mungkar dan dusta. Sebagaimana tersebut dalam ayat di atas.

Perbuatan atau perkataan yang demikian dikatakan satu perkataan mungkar, kerana adalah satu perkara yang merupakan penyeksaan terhadap kaum perempuan dan pengharaman terhadap sesuatu yang dihalalkan oleh Allah, ini adalah dilarang kerana oleh syara’.

Perkataan tersebut dikatakan dusta semata-mata adalah disebabkan kerana isteri itu bukanlah ibu dan tidak mempunyai persamaan langsung di antara keduanya.

Walau bagaimanapun syara’ tidaklah membiar begitu sahaja tentang perbuatan suami itu malah syara’ akan mengambil tindakan terhadap suami yang melakukannya iaitu diwajibkan membayar kifarah, supaya terelak dari mengulangi kembali perbuatan tersebut. Selepas membayar kifarah, suami boleh kembali semula seperti biasa. Ini berlainan sekali dari apa yang berlaku di zaman jahiliah yang menganggap isteri-isteri yang telah dizihar itu gugur talaqnya sebagai talaq bain yang tidak boleh dirujuk sama sekali buat selama-lamaya.


4) RUKUN ZIHAR

1. Suami yang menzihar
2. Isteri yang dizihar
3. Lafaz zihar
4. Orang yang diserupakan (ibu dan sebagainya)


5) SYARAT-SYARAT MENZIHAR (SUAMI)

1. Dari suami yang sah talaqnya, kalau ia menggugurkan talaq, sekalipun suami yang mati pucuk atau yang terpotong zakarnya. Oleh itu tidak sah zihar dari yang bukan suami dan tidak sah menzihar perempuan yang bukan isterinya, walaupun perempuan itu akan dikahwininya selepas itu.
2. Suami yang berakal – tidak sah zihar dari suami yang gila atau masih budak.
3. Dengan kemahuan suami itu sendiri bukan dipaksa.


6) SYARAT-SYARAT MENZIHAR (ISTERI)

Hendaklah yang dizihar itu isteri, sekalipun isteri itu masih kecil (kanak-kanak) gila, sakit, kafir kitabiah atau pun sedang dalam idah raj’i- tidak sah zihar perempuan yang bukan isteri, kalau seorang lelaki berkata kepada seorang perempuan yang bakal dikahwininya: “jika saya berkahwin dengan awak maka awak itu dengan saya seperti belakang ibu saya”, kemudian lelaki itu mengahwininya, zihar itu tidak sah (tidak berlaku) begitu juga tidak berlaku zihar kalau seorang tuan hamba berkata kepada hambanya (perempuan) “awak dengan saya seperti belakang ibu saya” kerana hamba bukannya isteri.


7) SYARAT-SYARAT YANG DISERUPAKAN 

1. Hendaklah orang yang diserupakan itu dari golongan perempuan, jika diserupakan dengan orang lelaki walaupun dari keluarganya yang paling dekat seperti bapa dan sebagainya, zihar itu tidak sah, begitu juga tidak sah kala diserupakan dengan seorang khunsa.
2. Hendaklah orang yang diserupakan itu dari perempuan yang haram nikah dengannya samada sebab keturunan seperti ibu atau sebab susuan seperti ibu susuan atau pun sebab persemendaan seperti ibu mertua atau ibu tiri.
3. Perempuan yang diserupakanj itu tidak halal dikahwini sebelum itu seperti isteri bapanya (ibu tiri) yang berkahwin dengan bapanya sebelum ia dilahirkan lagi.

Adapun ibu tiri yang berkahwin dengan bapanya setelah ia dilahirkan, tidak jadi zihar jika diserupakan dengannya, kerana perempuan itu sah berkahwin dengannya sebelum berkahwin dengan bapanya dahulu.

Begitu juga isteri anaknya (menantu perempuan) kerana ianya hala berkahwin dengannya sebelum berkahwin dengan anaknya, seterusnya isteri yang telah diceraikan dengan talak tiga, isteri yang telah lian dan isteri-isteri Rasulullah SAW, ini semuanya tidak jadi zihar apabila disabitkan dengan mereka, kerana pengharaman kahwin dengan isteri-isteri Rasulullah itu adalah sebagai penghormatan kepada Rasulullah dan memuliakannya.


8) SYARAT SIGHAH ZIHAR

Lafaz itu hendaklah menunjukkan zihar. Lafaz zihar terbahagi kepada dua :

1. Lafaz Sareh : iaitu kata-kata yang terang yang digunakan tertentu pada zihar sahaja dan tidak mengandungi erti yang lain dari zihar, seperti kata suami kepada isteri “awak ini dengan saya seperti belakang ibu saya atau seperti tangannya atau kepalanya.

2. Lafaz Kinayah : iaitu kata-kata yang mengandungi makna zihar dan makna yang lain, lafaz kinayah ini memerlukan niat untuk menentukan maksud yang sebenar. Seperti kata suami kepada isterinya “awak semacam mata ibuku dan sebagainya dari perkataan-perkataan yang mengandungi erti zihar atau lain dari zihar sebagai menandakan kemuliaan atau penghormatan.


9) SYARAT TASYBIH (MENSERUPAKAN)

Orang-orang Arab jahiliah selalunya menggunakan perkataan (zihar) yang bererti belakang untuk menzihar isteri-isteri mereka, selain dari perkataan (zihar) terdapat juga perkataan-perkataan yang lain seperti mata, kepala, tangan dan sebagainya. Pendek kata ada kalanya digunakan seluruh anggota perempuan dan ada juga yang menggunakan sebahagian anggota sahaja seperti menyebut muka, kepala, tangan dan sebagainya. Oleh itu disyaratkan menyebut anggota yang lahir sahaja.

Tidak sah tasybih itu dengan menggunakan anggota batin seperti hati, limpa dan sebagainya, andainya seorang suami berkata kepada isterinya “kepada awak serupa hati ibu saya” perkataan seperti ini tidak sah dijadikan zihar.

Zihar tidak berlaku apabila ditasybihkan dengan sesuatu yang ada pada perempuan seperti susu, air liur air mani dan sebagainya, kecuali ditasbiyhkan dengan sebahagian anggotanya, seperti kuku, ramput dan gigi, barulah sah ziharnya, contohnya kata suami “awak semacam kuku ibu saya” dan seterusnya.


10) HUKUM MEMBATASKAN WAKTU ZIHAR DAN MENTA’LIQKAN

1. Sah menghadkan waktu zihar samada pada jangka waktu yang singkat atau panjang seperti kata suami “awak dengan saya seperti belakang ibu saya dalam masa sehari atau sebulan” dalam masa yang disebutkan itu suami diharamkan mensetubuhi isterinya itu apabila disetubuhinya kembali wajiblah ia membayar kifarah zihar.

2. Jika suami berkata kepada isterinya “awak semacam belakang ibu saya selama lima bulan. Kata-kata yang demikian dianggap suami telah menzihar dan mengiilaa’ isterinya itu apabila ia mensetubuhi isterinya itu dalam tempoh masa tersebut, ia diwajibkan membayar kifarah zihar,selepas itu ia tidak mensetubuhinya sehingga berlalu masa tersebut isteri berhak menuntut dua perkara iaitu menuntut suami supaya mewarithnya kembali atau menceraikannya seperti yang diterangkan di dalam illa’.

Jika suami berkata kepada isterinya “demi Allah awak serupa belakang ibu saya” kemudian suami itu mensetubuhi isterinya itu dalam masa tempoh iilaa’ (empat bulan) ia diwajibkan membayar dua kifarah, iaitu zihar dan kifarah iilaa’.

Sah dita’liqkan zihar dengan sesuatu, seperti kata suami kepada salah seorang dari isterinya “jika saya zihar madu awak (isteri yang satu lagi) maka awak serupa dengan belakang ibu saya” dan kebetulan ia benar-benar menzihar isteri yang pertama itu, oleh yang demikian ia dianggap telah menzihar kedua-duanya sekali.


11) CARA MEMBAYAR KIFARAH ZIHAR

Apabila seorang suami yang menzihar isterinya ingin kembali isteri kifarah tersebut adalah mengikut susunan berikut :

Yang dizihar itu hendaklah terlebih dahulu ia menbayar kifarah, cara membayar:
1. Memerdekakan hamba yang mu’min lelaki atau perempuan.
2. Jika tidak mampu atau tidak berdaya untuk merdekakan hamba, hendaklah ia berpuasa dua bulan berturut-turut dengan tidak berselang, sekiranya diselang-selangkan walaupun kerana sakit, maka puasa yang lalu terputus dan mestilah diulang semula.
3. Jika tidak terdaya berpuasa selama dua bulan berturut-turut, maka ia hendaklah memberi sedekah makanan kepada enam puluh orang miskin, tiap-tiap seorang diberikan secupak dan makanan utama bagi negeri itu.

Seorang itu dikira lemah dari berpuasa jika terdapat salah satu dari perkara berikut, dan bolehlah ia menunaikan kifarah yang ketiga iaitu memberi sedekah makanan kepada enam puluh orang miskin :

1. Ia ditimpa oleh penyakit yang ghalibnya penyakit itu akan berlarutan sehingga dua bulan pendapat doctor dan sebaik-baiknya biarlah dari jenis penyakit yang tidak ada harapan untuk sembuh lagi.

2. Ia takutkan penyakit itu akan bertambah teruk bila berpuasa.

3. Sekiranya ia berpuasa selam dua bulan berturut-turut ini akan menimbulkan kesusahan dan kemudharatan kepadanya, kerana tidak terdaya mengerjakannya.

4. Orang itu didapati terlalu kuat nafsunya. Tidak sanggup menahan untuk menunaikan puasa tersebut, ini bagi orang yang mempunyai nafsu yang luar biasa.

Wallahua’lam

                         

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Sample text

Sample Text

Sample Text