Nusantara merupakan wilayah yang merujuk kepada gugusan kepulauan Rumpun Melayu yang meliputi selatan Thailand, Semenanjung Malaysia, Borneo (Brunei, Sabah, Sarawak dan Kalimantan), seluruh Kepulauan Indoneisa termasuk Timor Leste dan seluruh Kepulauan Filipina. Perkataan “Nusa” sendiri dalam Bahasa Jawa beerti kepulauan.
Sebelum kedatangan Islam ke Nusantara, telah wujud beberapa kerajaan di Nusantara seperti Majapahit, Srivijaya, Langkasuka, Pajajaran, Sailendra, Kutai dan sebagainya. Sebahagian besar raja-raja ini menganut agama Hindu dan sebahagian lain memeluk agama Buddha dan menganuti kepercayaan animisme.
Tamadun Hindu-Buddha telah pun wujud di Nusantara sebelum kedatangan Islam. Hal ini dibuktikan sebagai pembinaan candi-candi seperti Candi Borbodur, Candi Prambanan dan Candi Lembah Bujang. Selain daripada itu, Bahasa Melayu yang merupakan yang paling dominan di Nusantara banyak dipengaruhi oleh Bahasa Sanskrit yang merupakan bahasa yang digunakan pada kitab-kitab agama Hindu.
Maka wujudlah perkataan-perkataan seperti suria, bumi, cakrawala, purnama, purbakala, sakti, putera, maharaja, dan sebagainya ke dalam Bahasa Melayu. Ketika zaman sebelum Islam, raja dianggap seperti tuhan sehingga wujudnya unsur-unsur pendewaan terhadap raja-raja.
Setelah Islam datang ke Nusantara, satu demi satu kerajaan-kerajaan Hindu-Buddha runtuh dan setelah itu kerajaan-kerajaan Islam mula tertegak di Nusantara. Antara kaedah-kaedah yang diamalkan oleh pendakwah-pendakwah Islam dalam proses pengislaman Nusantara ialah
Pertama, mendakwahi raja-raja secara langsung sebagaiman Maulana Abdul Aziz berdakwah kepada Parameswara;
Yang kedua mendakwahi putera-putera Raja dan kerabat raja sebagaimana pengislaman Pangeran Cakrabuana putera Raja Pajajaran yang beragama Hindu dan;
Yang ketiga mendakwahi pendakwah-pendakwah itu sendiri mendirikan sebuah kerajaan Islam yang baru sebagaiman Sultan Syariful Hashim yang mendirikan Kerajaan Sulu. Pendakwah-pendakwah Islam yang datang dari dunia Arab, India dan China juga menunjukkan akhlak yang luar biasa sehinggakan para raja tertarik dengan peribadi mereka. Sudah menjadi resam masyarakat Nusantara yang memiliki ketaatan yang tidak berbelah bahagi kepada raja.
Oleh yang demikian, dengan pengislaman para raja tersebut, maka rakyat jelata pun turut memeluk agama Islam. Maka, tidak hairanlah jika sebahagian para ahli sejarah menyatakan bahawa wilayah-wilayah di Nusantara merupakan wilayah yang paling mudah menerima proses pengislaman di dunia.
Setelah wujudnya kerajaan-kerajaan Islam, gelaran raja ditukar kepada sultan. Ulama-ulama Islam menjadi penasihat sultan dan sentiasa berdamping dengan sultan dan istana. Hal ini kerana, sultan yang baru memeluk Islam sememangnya memerlukan bimbingan yang kuat daripada para ulama. Sejak itu, sultan-sultan di Nusantara mula berkiblatkan corak pemerintahan Islam.
Para ulama juga sering menceritakan kepada sultan tentang contoh kepimpinan Islam sama ada pada zaman Rasulullah, Khulafa’ Ar Rasyidin atau selepas kedua-dua zaman tersebut. Dengan ini, sistem pemerintahan Islam mula diserapkan di institusi kerajaan-kerajaan di Nusantara.
Tidak dinafikan, kehebatan para sultan atau pemerintah dari kerajaan-kerajaan Islam yang lain di seluruh dunia luar Nusantara seperti Khalifah Umar Abdul Aziz, Sultan Salahuddin Al Ayyubi, Sultan Muhammad Al Fatih, Aurengzeb dan sebagainya. Namun begitu, sultan-sultan di Nusantara juga memiliki kehebatan dari segi ketaqwaan dan kemahiran mentadbir wilayah.
Malah, dari satu segi, para sultan di Nusantara wajar dikagumi kerana mereka bisa mentadbir wilayah-wilayah yang terdiri dari gugusan pulau-pulau yang mana secara rasionalnya lebih sukar ditadbir berbanding daratan yang luas di samping menerima tentangan dan ancaman-ancaman penjajah barat seperti Portugis, Sepanyol, Belanda dan Inggeris. Tambahan lagi, sehingga kini majoriti masyarakat di Nusantara masih kekal menganut agama Islam sehinggakan Indonesia menjadi negara yang mempunyai penduduk beragama Islam paling ramai di dunia. Ianya kelihatan seperti penjajah-penjajah barat gagal menggugat kedudukan Islam di Nusantara.
Apakah faktor yang meyebabkan Islam sukar digugat di Nusantara ? Tidak lain tidak bukan, para sultanlah yang merupakan salah satu faktor terpenting dalam mengekalkan kekukuhan iman masyarakat di Nusantara. Jangan pula ada yang mengkritik pernyataan ini mengatakan jika bukan sebab Allah mengizinkan semuanya berlaku, ianya tidak berlaku. Ya, betul, dengan izin Allah, melalui kuasa dan peranan Sultanlah, menjadikan Islam sukar digugat di wilayah Nusantara. Faham semua ?
Namun, yang menghairankan, nama – nama mereka ini tenggelam dari catatan sejarah tidak seperti sultan-sultan yang soleh dari benua-benua yang lain sehinggakan Tokoh Nusantara seperti Merong Mahawangsa lebih diangkat daripada mereka.
Di samping itu, sultan-sultan yang beragama Islam pula lebih dikenali dengan sifat zalim kerana masyarakat kita sudah biasa dengan kisah-kisah seperti Sultan Mahmud Syah yang menghukum bunuh ke atas Hang Tuah tanpa usul periksa dan kisah Sultan Mahmud mangkat dijulang yang membunuh isteri Megat Sri Rama hanya kerana mengambil seulas buah cempedak dari taman istana.
Kisah-kisah ini masyhur di kalangan masyarakat kita kerana kisah-kisah ini difilemkan. Sedangkan, terdapat ramai sultan-sultan yang soleh di Nusantara yang mana kisah hidup mereka juga patut difilemkan. Nantikan , kupasan saya berkenaan 24 Sultan-Sultan yang Soleh di Nusantara.
Petikan : Sultan-Sultan Soleh di Nusantara.
Pengarang : Hasanuddin Yusof
0 ulasan:
Catat Ulasan