Social Icons

Isnin, 23 Februari 2015

Apakah Punca Kegagalan Dalam Perniagaan?

Kegagalan utama ialah bagaimana berhubung hati dengan Allah. Ramai yang mahu berjaya tetapi masih tidak solat atau kalau solat pun tidak dengan kesungguhan hati. Hati tidak dapat sentuhan Allah. Gagal khusyuk dalam solat ertinya gagal mendapatkan aura orang-orang yang berjaya. Bukankah Tuhan menyatakan dalam firmanNya; "Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman. Iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya". (Surah Al-Mukminun 1 - 2)

Hubungan hati dengan Allah itu bukanlah sekadar dalam solat. Ianya perlu dikekalkan rasa khusyuk - dengan perasaan takut setakut-takutnya dengan Allah. Allah!!!! Sulitnya hendak membina dan mengekalkan rasa ini kalau tidak dipimpin oleh 'mentor' yang sudah mempunyai rasa sebegitu. 

Ini belum lagi kita bicarakan hal hubungan hati kita dengan Baginda Nabi saw. Sedangkan Bagindalah satu-satunya insan yang boleh menyelamatkan kita di dunia dan di akhirat. Bagindalah yang membawa islam untuk kita amalkan di dunia sehingga sistem hidup kita jadi sistem hidup Baginda saw - sistem yang selamat dan menyelamatkan.

Bagindalah yang menunggu setiap timbangan amal umatnya untuk disyafaatkan di akhirat. Jadi mendapatkan rasa takut setakut-takutnya dengan Allah dan rindu serindu-rindunya dengan Baginda Nabi saw adalah satu syarat mendapat kejayaan hakiki. 

Jika tidak ada rasa sebegitu, itulah punca kegagalan yany utama.

Selain itu gagal dalam bisnes berpunca dari kegagalan mengenal pasti hal-hal berikut: 

1)  Tidak mempunyai matlamat yang jelas.
Ramai usahawan tidak mempunyai matlamat yang jelas apabila memulakan sesuatu. bisnes. Matlamat juga bermakna kena ada fokus agar matlamat yang jelas tadi dapat dicapai. Sembahyang mengajar kita tentang matlamat dan fokus. Matlamat solat ialah mendapat rasa takut Allah. Itulah rasa taqwa. Rasa takut adalah taqwa dan Allah hanya membela orang bertaqwa. 

Hanya orang yang takut Allah sahaja yang akan mendapat pembelaan dan bantuan Allah. Solat juga mengajar kita fokus dalam berbuat sesuatu. Hati, fikiran dan fizikal mesti fokus dalam mengerjakan semua amalan solat seperti bacaan, perpindahan gerak rukun solat dan hati yang khusyuk dengan Allah. Semuanya fokus ke hadhrat Allah yang maha pengasih maha penyayang. 

2)  Tidak ada ilmu perniagaan. 
Ramai yang berniaga ikut semangat semata-mata. Bila tidak ada ilmu, pasti gagal. Kedai atau perkhidmatan yang ditawarkan tidak akan mendapat sambutan. Ramai juga kurang ilmu atau pengetahuan yg berkaitan seperti sistem yg baik untuk mengatur operasi bisnes. Bisnes nampak tidak terurus dengan baik. 

Begtu juga berkaitan ilmu pemasaran yg berkesan, Semuanya kena belajar sebab itulah perintah Allah. Berbuat sesuatu kena dengan ilmu. Itu belum diambil kira ilmu tentang mengurus pekerja (termasuk "people skill"), bagaimana menilai prestasi pekerja, bagaimana meningkatkan produktiviti mereka dengan cara yang Rasulullah saw ajarkan. 

3)  Tidak mahu bertindak dan lambat melakukan perubahan
Punca lain yang menyebabkan kegagalan ialah tiada atau kurangnya tindakan. Adakalanya tindakan dibuat tapi tidak pada masanya. Semua masalah lain seperti kekurangan modal atau pelanggan dapat diatasi jika segera bertindak. Buat dulu hal yang mampu dibuat tanpa perlukan modal wang ringgit atau tenaga kerja. 

Contohnya usaha membina hubungan hati yang kuat dengan Allah, berjiwa besar, positif dan optimis. Ini tidak perlu modal wang ringgit. Selain itu utamakan kebersihan dan kekemasan. Ini juga tidak perlukan modal wang ringgit. Dan latih diri dengan senyuman. Latih diri beri perhatian lebih pada orang lain. Ini juga terlalu mudah!! Inilah tindakan segera yang perlu dilakukan.

Lagi satu, dalam bertindak mesti selari dengan ilmu yang dipelajari. Jangan pandai-pandai sendiri atau ikut syok sendiri. Mesti ada panduan dari guru bisnes yang sudah terbukti berjaya. Kerap kali berlaku ialah tahu tentang kelemahan diri dan kesilapan dalam buat bisnes. Ilmunya sudah tahu. Silap di mana pun sudah jelas tetapi lambat pula nak bertindak. Maklumlah manusia sentiasa selesa dengan 'zon selesanya'. 

Walaupun orang pandang dia gagal tetapi di dalam diri tetap tidak mahu berubah sebab 'zon selesanya' begitu mengikatnya. Perlu ada kejutan dan kekuatan luar biasa untuk melakukan perubahan. Caranya cari kawan-kawan yang berjaya dan dapatkan aura semangat dari mereka. Kata mentor bisnes: "fast action fast result, slow action NO result"

4)   Gagal Untuk kekal bersemangat
Satu lagi penyebab kegagalan ialah kurangnya motivasi untuk berjaya. Orang selalu sebut; "Hangat-hangat tahi ayam". Semangat yang awalnya berkobar-kobar akhirnya jatuh merudum. Kecewa dan putus asa pun datang. Akhirnya perniagaan bungkus. Tutup buku!!. Jadi bukan senang untuk bertahan. Tentu kita pernah dengar berita orang yang tidak ada iman mati bunuh diri sebab memulakan bisnes dengan hutang along. 

Bisnes perlukan ilmu, mentor dan panduan. Semangat sahaja tidak cukup. Bisnes yang berjaya itu ialah sudah nampak jalan berjaya sebelum lagi bisnes beroperasi. Cuba tengok 7-Eleven. Di mana dibuka di situ mereka mula buat duit. Begitu juga kedai restoran mamak. Jarang sangat mereka tutup kedai. Maksudnya sebelum buka kedai, mereka sudah buat kajian dan penelitian. Bila sudah buka, orang penuh sampai bila-bila. Dalam hal ini kita kena kaji kenapa dan bagaimana mereka buat. 

Pak Lang kenal dengan seorang taukeh restoran mamak. Dia ada 16 buah cawangan seluruh Lembah Kelang. Jumlah jualan hariannya sekitar RM150k ke RM300k!! Pak Lang suka dengan tagline rangkaian restorannya; "Everytime Is Makan-Time". 

Tahukah apa maksud tagline ini?
Maksudnya: Itu restoran mamak, dibuka 24 jam dan makan di situ 'enjoy'!!

Jadi kena 'maintain' semangat juang yang tinggi. Jangan kalah dengan cabaran dan ujian. Jangan lemah dengan nafsu yang ajak malas dan rehat-rehat atau main-main. Caranya bina aura positif dalam diri. Dampingi atau selalu berhubung dengan siapa sahaja yang mampu meningkatkan semangat juang kita!!

Orang tanya Pak Lang - bila nak berjaya?

Pak Lang jawab; Pak Lang sudah ada 20 orang anak - kira sudah kaya la sangat!! Syukur Al-hamdulillah. Ya Allah! Jadikan zuriat keturunanku dan zuriat semua pembaca blog ini, zuriat yang soleh dan solehah yang akan menunggu ibubapa mereka di pintu syurga. Amin Ya Allah!!

1 ulasan:

  1. Assalamualaikum..Alhamdulillah..lepas bca ni sy jd semangat.InsyaAllah sy akan usaha utk up kn perniagaan sy..doakan kejayaan sy ye..

    BalasPadam

 

Sample text

Sample Text

Sample Text