Social Icons

Rabu, 3 Februari 2016

Dunia Makin Rosak - Orang Bertaqwa Yang Perlu Menjadi Pemimpin

Banyak hal di dunia ini yang semakin rosak dan terus merudum ke bawah. Kerosakan dunia berpunca dari tangan-tangan manusia itu sendiri. Akhlak pula semakin punah ranah. Bagaimana membetulkan semuanya menjadi persoalan yang tidak ada yang tahu melakukannya. Pakar dalam memberi teori memang ramai tetapi apa bentuk pendekatan nya, tidak ada yang mampu menunjuk jalan.

Mungkin ramai yang menuding jari kepada pemimpin tetapi hakikatnya setiap kali jari telunjuk menuding pada orang lain, ada 3 jari yang lain menuding diri sendiri. Ramai yang mendakwa mereka yang benar sedangkan orang lain semuanya tak betul. Kalau dalam masyarakat atau negara, semuanya berebut hendak jadi pemimpin. 

Dahulu para sahabat Rasullulah SAW sangat takut jika dipilih menjadi seorang pemimpin, tetapi sekarang, ramai yang berlumba-lumba untuk menjadi pemimpin. Semua mengaku yang terbaik dan sanggup menjatuhkan lawannya dengan apa cara sekalipun!

Sabda Rasulullah SAW ketika baginda menyampaikan hadis yang diriwayatkan dari Abu Hurairah: “Sesungguhnya kalian nanti akan sangat bercita-cita menjadi pemimpin, padahal kelak di hari kiamat ia akan menjadi penyesalan.” (Hadis Riwayat Bukhari).

Memilih pemimpin bukanlah perkara remeh, sebab calon yang dipilih itulah yang akan membawa slogan pemimpin rakyat untuk membuat dan menjalankan dasar-dasar yang menentukan nasib ribuan malah jutaan jiwa rakyat. Suka tidak suka, calon yang terpilih itulah yang akan menulis sejarah kemenangan Islam di tempat mereka.

Walau apapun sejarah itu masih tanda tanya besar, apakah akan dicatat dengan dakwat emas yang sentiasa dikenang sebagai zaman penuh gemilang atau dakwat hitam yang sentiasa dikutuk dengan kenangan hitam. 

Firman Allah dalam surah Al-Maidah: "Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang yang menjadikan agama kamu sebagai ejek-ejekan dan permainan dari orang-orang yang telah diberikan Kitab sebelum kamu dan orang-orang kafir musyrik itu: Menjadi penolong-penolong dan bertakwalah kepada Allah, jika kamu benar-benar orang yang beriman." (ayat 57)

Dalam ayat ini kita dilarang daripada melantik orang yang mempersendakan agama samada dari golongan kafir atau Islam sebagai pemimpin. Orang Islam yang mempersendakan agama tidak boleh dilantik menjadi pemimpin. Pemimpin hendaklah seorang yang mempunyai rasa yang takut setakut-takutnya dengan Allah. Hanya pemimpin yang sebegini sahaja yang mampu menjaga agama Islam, mewibawakan sistem hidup Islam, membela umat Islam dan membawa kesejahteraan kepada negara

Yang berebut hendak jadi pemimpin kerana lambaian kesenangan untuk diri dan keluarga. Memang enak kalau jadi pemimpin jika itu tujuannya dengan nasib malang menunggu di hujung perjalanan. 

Yang mahu dicari, diikuti dan ditaati ialah pemimpin sejati mengikut Al Quran dan As Sunnah. Hanya orang pilihan sahaja yang mampu melaksanakan misi menjadi orang Allah dan Rasul di zaman yang mencabar ini. Tanggung jawab pemimpin sebegini sangat-lah berat. 

Justeru, walaupun sebenarnya para Nabi dan Rasul itu adalah pemimpin tetapi yang Allah bagi kuasa pemerintahan hanya 3 orang Rssul sahaja, Rasulullah saw, NAbi Daud a.s, dan Nabi Sulaiman a.s. Yang lainnya tidak Allah bagi kuasa, kerana pertanggungjawabannya sangatlah berat.

Malangnya di akhir zaman ini kerana sudah sangat jauh dari panduan Tuhan, sangat ramai  yang berhempas pulas mahu menjadi pemimpin. Tak dapat jadi MB, jadi pengerusi JKKK pun jadilah sedangkan amanahnya tak tertanggung.  

Hakikat menjadi pemimpin itu ialah 

1)  Kesanggupan lahir batin untuk menjadi Ayah yang bertanggungjawab kepada anak-  
     anaknya (orang bawahan atau rakyatnya).

2)  Kesanggupan lahir batin untuk menjadi Ibu sebagai tempat 'bermanja' untuk anak-  
     anaknya (orang bawahan atau rakyatnya).

3)  Kesanggupan lahir batin untuk menjadi guru yang bersungguh-sungguh mendidik dan  
     membimbing anak-anaknya (orang bawahan atau rakyatnya)? Didikan itu fokusnya    
     membawa hati mereka untuk takut Tuhan dan rindu Nabi SAW. Sanggupkah orang yang 
     berebut hendak jadi pemimpin itu menjadi lilin yang membakar dirinya demi menerangi 
     orang lain?

4)  Kesanggupan lahir batin untuk menjadi kawan setia yang bila-bila masa saja dapat 
     memberi pertolongan dan bantuan.

Jika direnung dengan rasa takutkan Allah, pasti tidak ada yang sanggup kerana semuanya akan disoal dan diselidik dari sehalus-halus perkara hingga hal yang besar-besar - dari soal yang tersembunyi atau disembunyikan di dunia kepada hal yang terang dan nyata!!

Sebab itu dulu Imam Syafii menolak tawaran menjadi menteri dan hanya (baca terpaksa) memilih jadi penasihat saja. Tidak ada kekurangan apa-apa pada Imam Syafii samada ilmu dan pengalaman malah ketaqwaannya sangat luar biasa. Ketakutannya yang luar biasa kepada Tuhan lah yang menjadikan ia menolak tawaran sedemikian. 

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Sample text

Sample Text

Sample Text