Semasa Pak Lang di Australia, satu hal yang menarik perhatian ialah sikap dan budaya masyarakatnya. Maksud Pak Lang budaya penduduk kulit putih. Adapun penduduk asli yang tubuh mereka berwarna gelap berambut kerinting itu sangatlah berbeza pula watak mereka. Mereka yang dikenali sebagai Etnik Ebbo itu sangat jauh budayanya dengan masyarakat pendatang yang menguasai pemerintahan Australia.
Masyarakat kulit putih Australia ini kelihatan sangat menjaga tingkah laku dan sikap mereka. Mereka menghormati orang lain. Sebolah-bolehnya mereka tidak mahu menyusahkan orang lain (dan mereka juga tidak mahu orang lain menyusahkan mereka?).
Hal ini mudah kita saksikan pada mereka yang merokok. Di bandar Perth - kita tidak mudah melihat orang merokok di merata tempat. Orang yang merokok akan mencari tempat yang jauh dari orang ramai. Kita tidak akan temui orang yang merokok di tempat awam, di restoran, di dalam tandas, di kaki lima kedai atau bahkan di jalanan.
Mungkin berpegang dengan hak asasi manusia, mereka tidak mahu dikatakan 'menceroboh' hak orang lain. Pada mereka rokok yang dihisap itu memang memudaratkan dan berbau yang tidak enak pada kebanyakan orang lain. Mereka mengakui hal ini. Justeru mereka pun tahu 'membawa diri' ke mana-mana lokasi yang jauh dari orang ramai.
Sebab itu lumrah kita dapat melihat para perokok ini akan bersendirian di bawah pohonan rendang - jauh dari orang lain. Di situ mereka melepaskan ketagihan rokok masing-masing. Kadang-kadang mungkin mereka berdua, bertiga dan sebagainya - beramai-ramai merokok sambil berbual. Jika kita yang tidak merokok kebetulan terpaksa melepasi kawasan tempat mereka merokok, mereka akan berusaha menjarakkan diri atau semakin menjauhkan lagi diri mereka.
Seboleh-bolehnya mereka hendak pastikan asap rokok mereka tidak menyentuh hidung orang lain. Memang sangat beretika. Yang lucunya mereka kelihatan takut-takut dan merendah diri seolah-olah meminta kita dapat bertolak ansur dengan asap rokoknya. Mereka akan kembali ke tempat orang ramai setelah selesai melepaskan ketagih rokok tersebut.
Jadi sepanjang berada di Australia, Pak Lang rasa selesa dari sudut ini. Memang sangat terasa 'sucinya' udara Australia daripada asap rokok. Pak Lang tidaklah tahu situasi di dalam pub atau tempat peleseran lain di negara kanggaro itu. Mungkin juga rokok sudah sepakat diterima di dalam tempat-tempat tersebut.
Bagaimana dengan negara kita? Negara kita - seperti negara umat Islam lainnya penuh dengan perokok tegar. Sepatutnya umat Islam tidak merokok kerana secara semula jadinya merokok itu sangat memudaratkan. Kita tertanya-tanya bagaimanakah cara membantu mereka menghilangkan ketagihan rokok. Atau mereka tegar membiarkan diri mereka dikuasai ketagihan rokok tanpa mahu berusaha membebaskan diri?
Jadi di Malaysia, mereka merokok di mana-mana, tidak kira waktu dan tidak kira siapa di sekeliling mereka. Tidak ramai yang kita lihat mahu berhati-hati dengan tabiat tersebut agar tidak mengganggu orang lain. Yang malangnya ialah semakin hari, perokok baru muncul di tengah masyarakat. Kanak-kanak dan remaja Malaysia sudah kelihatan berani merokok di mana-mana. Di luar rumah - didepan kita yang dewasa, mereka merokok sebebas-bebasnya. Jika di depan ibubapa mereka mungkin tidak tetapi di luar rumah?
Inilah konflik yang ada di dalam masyarakat kita. Bagaimana menanganinya? Jawabnya ialah kita tidak mempunyai seorang pakar pun untuk menyelesaikan masalah rokok yang mudah ini. Memang ramai yang pandai bercakap dan bersyarah tetapi tidak ada yang berupaya bangkit membanteras budaya ketagihan rokok yang ringan berbanding najis dadah.
Kepada para pembaca yang merokok, janganlah diambil hati pada tulisan Pak Lang kali ini. Pak Lang hanya mengharapkan para perokok meniru masyarakat kulit putih Australia iaitu menghormati dan menghargai orang di sekeliling anda. Sebaik-baiknya tentulah diharapkan agar kembali pada ajaran agama. Bukankah menggangu orang lain itu hukumnya berdosa?
Apa pun, Pak Lang sangat faham, ketagihan rokok - pada sebahagian individu - sangat sukar untuk dihapuskan. Ramai yang menganggapnya mustahil. Sedangkan ramai pula yang mampu berhenti serta merta di samping yang lain, berhenti secara berdikit-dikit.
Semuanya bergantung pada diri sendiri. Pilihlah untuk hidup sihat atau mengumpul kekayaan sambil terus merokok. Nanti di hujung usia, wang ringgit yang terkumpul akan surut kekeringan kerana mengubat pelbagai penyakit yang terhasil dari tabiat merokok.
Pak Lang doakan bagi yang mahu berubah dan meninggalkan rokok agar dibantu Allah dalam usahanya. Allah hanya akan membantu kita jika kita bersungguh-sungguh dengan niat yang ikhlas serta tindakan yang tidak kenal putus asa. Azam dan tekad akan terkesan pada doa yang dipinta. Ampun maaf!! Semoga berjaya.
0 ulasan:
Catat Ulasan