Social Icons

Khamis, 3 April 2014

Tun Dr Mahathir - Kepimpinannya Dikagumi Kawan Dan Lawan


Kepimpinan merupakan subjek yang tidak bertepi. Ruang lingkupnya adalah manusia dan kemanusiaan. Selagi wujudnya spesis manusia di atas muka bumi, selagi itulah kepimpinan akan terus diperkatakan dan bahkan diperlukan. Dalam konteks hidup bermasyarakat, kewujudan pemimpin adalah suatu yang tidak dapat tidak. 

Pemimpin mempunyai tugasannya yang tersendiri dalam mengendali dan menggerakkan seluruh anggota masyarakatnya ke arah yang dicita-citakan. Tugas pemimpin berbeda dengan gembala kambing. Tetapi ramai pemimpin dunia hari ini menganggap mereka sedang mengembala kambing ketika mereka diamanahkan menjadi pemimpin dalam masyarakat dan negara mereka. 

Jelasnya bukan mudah menjadi pemimpin walaupun ramai yang berebut hendak menjadi pemimpin. Dalam Islam, kepimpinan bukan dicari bahkan mengusahakan agar orang lain yang dilantik menjadi pemimpin. Ini adalah kerana jiwa hamba yang rasa bersalah dan berdosa sangat menolak untuk dilantik dirinya menjadi pemimpin. Jiwa hamba akan merasakan dirinya tidak layak. Tetapi jika kepimpinan telah diamanahkan kepadanya, dia akan berusaha sepenuh hati bagi menyempurnakan tugas dan tanggung jawab yang dipikulkan padanya.

Dalam paparan kali ini, Pak Lang ingin memperkatakan sesuatu mengenai kepimpinan Tun Dr Mahathir. Tun bersara dalam keadaan rakyat Malaysia menangis berpisah dengannya. Boleh dikatakan Tun adalah figur penyatu dan penggerak bangsa Malaysia ke era baru. Justeru kebersaraan beliau ditangisi. Beliau dirindui dan sentiasa diharapkan untuk membantu Perdana Menteri selepas beliau. 

Malangnya episod sedih terjadi. Tun dilihat tidak dihargai bahkan disindir, diperlekeh dan diketawakan. Ramai pula yang menangis bersimpati dengan apa yang dilakukan terhadap negarawan yang sangat berjasa ini. (Pak Lang masih ingat insiden-insiden yang Pak lang perkatakan di atas). Demikianlah cara orang-orang tidak cerdik di kalangan bangsa Melayu 'menghargai' tokoh pembina bangsanya sendiri.



Menurut seorang penganalisa politik yang rapat dengan Tun Dr Mahathir, Tun dikatakan mempunyai 'kapasiti' kepimpinan yang melebihi 85%. Tidaklah ramai pemimpin dunia yang mencapai tahap sedemikian. Rata-rata jika dikaji hanya berada di bawah 70%. 

Tokoh yang mempunyai kapasiti kepimpinan tahap setinggi ini akan berupaya mencorakkan negara atau organisasinya sehingga digeruni kawan dan lawan. Inilah yang berjaya dibuktikan oleh Tun.  Tun mampu mengeluarkan idea dan pandangan jauh yang tidak ada pada pemimpin lain. Putrajaya dan Menara Kembar Petronas hanyalah antara idea-idea besarnya yang banyak yang dikagumi dunia.

Pemimpin yang hebat tidak gentar dengan musuh apatah lagi untuk takut dengan media. Tun selalu menampilkan kelicikannya dalam berinteraksi dengan pihak wartawan. Sama ada diwawancara atau diminta mengulas sesuatu isu, Tun tidak pernah kelihatan gelabah atau ragu-ragu. Tun sangat yakin diri sehingga hanya dengan sepatah dua jawapan cerdiknya dilontarkan, wartawan yang ada sudah kehabisan modal untuk 'menjoloknya' lagi. 

Apa yang menariknya ialah reputasi kepimpinannya sentasa menaik terutama ketika berdepan isu-isu kritikal. Ketika pemimpin lain mungkin lari menyorokkan diri, Tun akan tampil dengan berani dan memperkatakan apa yang menjadi keyakinannya. Mengkagumkan kerana dengan hanya lontaran kata-kata ringkas, ungkapan kata-katanya itu begitu memukau semua yang hadir dan mengkagumkan siapa yang membacanya di akhbar selepas itu. Demikianlah Tun membina keyakinan padu ahli partinya dan rakyat umumnya terhadap dirinya sehingga mampu bertahan lebih dua dekad sebagai Perdana Menteri. 

Pemimpin selepas Tun dikatakan hanya mempunyai kapasiti di bawah 50%. Pemimpin yang di tahap ini tidak akan berupaya mengeluarkan idea-idea bernas yang mengkagumkan. Ianya mungkin idea biasa-biasa yang juga ada pada fikiran orang lain. Jadi, ideanya tidaklah kelihatan menonjol. Ini semua akan gagal mengikat orang ramai terhadap dirinya. Apatah lagi jika idea pemimpin banyak diperolehi daripada para penasihat yang juga berkapasiti di tahap yang sama. Hasilnya tentu lebih kurang sahaja.

Sebaik-baik pemimpin ialah yang mahu terus belajar dan mengambil pengalaman orang yang lain sebagai pengajaran berguna. Binalah diri dengan 'kelayakan' sebenar. Jangan 'bermain' politik dalam mencari sokongan. Kepimpinan itu ialah apa yang ada di dalam diri kita. 

Samada kita jadi pemimpin atau tidak, usahakanlah wujudnya ciri kepimpinan di dalam diri kerana ianya adalah ciri-ciri para kekasih Tuhan di kalangan para Nabi dan Rasul serta auliyak. Mereka berjiwa penyelamat. Ingin selamatkan seramai mungkin manusia daripada siksaan api neraka.

Mereka adalah orang-orang pilihan Tuhan. Mereka adalah orang-orang yang paling sabar dan tahan diuji serta sanggup susah demi kesenangan orang lain. Jika kita mempunyai tiga ciri ini pun, kita sudah mempunyai ciri-ciri yang tidak dimiliki oleh orang-orang biasa.

Jadi, pemimpin yang dicari adalah mereka yang mempunyai jatidiri dan ciri kepimpinan semula jadi. Mereka bukan berlakon-lakon atau berpura-pura. Mereka naik ke puncak kepimpinan kerana Tuhan memilih meletakkan mereka di situ. Selagi Tuhan kehendaki, tidak ada siapa pun yang mampu menjatuhkan mereka. 

Di negara kita, politik kepartian memberi tafsiran kepimpinan yang berbeda. Pemimpin pada faham politik demokrasi ialah yang banyak pengaruh. Maka ramailah orang-orang yang kurang cerdik berhempas pulas berkempen memuji diri dan menabur wang ringgit membeli pengaruh. Tanpa malu, mereka menipu orang ramai dan menipu diri mereka sendiri. 

Lebih malang lagi, budaya politik di Malaysia suka memburuk-burukkan pemimpin sebelum mereka. Mereka naik dalam keadaan menjolok orang yang di atas supaya jatuh. Memburuk-burukkan orang lain sebenarnya bertujuan menonjolkan diri hebat disamping melindungi kejelekan diri. Inilah yang dikatakan kapasiti kepimpinan yang tidak mencukupi. 

Apa yang Pak Lang nyatakan ini adalah hakikat yang bukan rahsia lagi. Biasa kita jumpa karenah orang politik bila dia menang sesuatu jawatan, dia akan burukkan terus bahkan memulau saingannya yang kalah. Serangan "kasi habis' dilakukan supaya individu itu tidak berupaya bangkit membina kekuatan menentangnya pula satu masa nanti. Inilah karenah kebanyakan manusia akal pendek. 
Mereka tidak belajar cara Tun Dr Mahathir. Kata Tun, "Jika kita mahu naik ke atas, bantulah kawan-kawan kita juga untuk naik, nanti kita akan dapati diri kita akan berada lebih atas dari mereka!!" Inilah cara orang cerdik bekerja. Sebab itu Tun suka menolong negara-negara dunia ketiga dan negara yang baru merdeka. Dengan menolong mereka, kita disanjung dan dihargai. Dalam masa sama peluang-peluang perdagangan besar dengan mudah diberikan mereka kepada kita. 

Berapa orang ahli politik yang membaca dan mengkaji pemikiran Tun secara sungguh-sungguh? Ianya satu pemikiran yang luar biasa untuk orang Melayu. Lihatlah cara orang cerdik dalam berfikir dan bertindak. Orang cerdik akan guna cara yang paling halus, licik dan bermaruah. Orang yang lemah yang memang tidak layak jadi pemimpin akan menjerit-jerit memberitahu dunia siapa yang dibencinya.

Pak Lang sebagai salah seorang pengkagum Tun Dr Mahathir selalu berfikir, alangkah bagusnya kalau pemimpin selepas Tun pandai belajar dan meminta nasihat serta panduan dari Tun. Pak Lang yakin Tun tidak akan mengambil kesempatan dari keadaan sebegitu. 

Harap-harap Dato' Seri Mohd Najib - Perdana Menteri sekarang dapat mengusahakan hubungan yang lebih akrab dengan Tun. Kita masih cemas dengan apa yang berlaku pada MH370. Kita yakin Tun ada cara tersendiri untuk menutup mulut para pengkritik. Sayangnya......
Lihat apa yang dibuat Singapura. Lee Kuan Yew - tetap dijadikan mentor secara resmi walaupun selepas bersara dari menjadi Perdana Menteri lebih 45 tahun!! Lihat DI SINI

Kehebatan Tun Dr Mahathir boleh kita lihat melalui video ini:
 

Lihat gambar-gambar Tun di bawah:
 
   

 


    

          

       

       

    
,,,,,

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Sample text

Sample Text

Sample Text