Social Icons

Rabu, 2 April 2014

Mendidik Anak Yang Di Dalam Kandungan


 
Proses pendidikan mula berlaku ketika bayi masih berada dalam kandungan ibunya. Apa sahaja yang dilakukan ibubapa akan mula memberi kesan pada janin atau anak di dalam kandungan. Janganlah menganggap peranan ini hanya untuk siibu sahaja. Sebenarnya ibu bapa sama-sama berperanan sebaik mereka diijab kabulkan. Kesan apa yang dihati mereka, apa yang mereka cakapkan dan lakukan akan mempengaruhi pembentukan anak yang di dalam rahim ibu.
 
Pendidikan oleh ibubapa terhadap anak yang di dalam kandungan ini terbahagi kepada 3 bentuk iaitu: 
 
A)  Pemakanan dan penjagaan lahir
B)  Amalan Ibadah, bacaan Al-Quran dan doa harian
C)  Percakapan dan tingkah laku serta muamalah seharian
A)  Pemakanan dan penjagaan lahir

1.  Ibu bapa hendaklah mendapat rezeki daripada sumber yang halal supaya benih yang bakal dilahirkan itu nanti datang daripada darah daging yang halal.

2. Ibu hendaklah makan makanan yang berzat dan sentiasa menjaga kesihatan tubuh badannya. Kebersihan diri hendaklah diutamakan bagi menjamin kesihatan anak-anak dalam kandungan. Faktor kesihatan amat dititik beratkan oleh Islam sehingga Islam memberikan kelonggaran kepada ibu yang mengandung untuk berbuka puasa sekiranya merasakan puasa itu menjejaskan kesihatan diri dan anaknya. 

3.  Ketika mengandung, ibu perlulah menyesuaikan diri dengan perubahan-perubahan yang berlaku kepada dirinya. Pada waktu begini sememangnya keadaan ibu agak berbeza dari waktu-waktu biasa, terutamanya bagi ibu yang bakal melahirkan anak yang pertama. 
 
4.  Berusahalah berhenti dari merokok kerana candu rokok yang terdapat pada asap rokok pasti akan sampai kepada janin. Ianya akan memberi pengenalan awal untuknya bagi menerima rokok dalam hidup bila dewasa.
 
5.  Jangan menganiaya atau menzalimi binatang dan manusia. Ianya larangan asas dalam agama. Melakukannya ketika isteri mengandung akan memberi kesan negatif pada anak.
 
B)  Amalan Ibadah, bacaan Al-Quran dan doa harian
 
1.    Ibu bapa hendaklah lebih serius membaiki diri dengan mengerjakan sembahyang di awal waktu. Seboleh-bolehnya banyakkan masa di tikar sembahyang terutama dalam menunggu waktu solat dengan berselawat kepada Rasulullah saw. 

2.    Istiqamahkan bangun malam dengan mengerjakan berbagai sembahyang sunat terutama solat taubat, solat tahajjud dan solat hajat serta diiringi dengan solat sunat witir.

3.    Suami isteri hendaklah membanyakkan berdoa dan merintih dengan Allah agar hati tidak lalai daripadaNya. Janganlah melupakan Tuhan kerana di hujung penantian, ketika mahu melahirkan anak, kita akan pasti sangat-sangat mengharapkan pertolongan dan keajaiban dari Tuhan. Biasakanlah merintih sejak awal lagi. Doa dan rintihan terutama oleh seorang ibu yang mengandung sangat besar kelebihannya di sisi Tuhan.

4.    Bagi ibu-ibu yang mengandung digalakkan supaya memperbanyakkan bacaan Al-Qur'an terutama Surah Yusuf, Maryam, Luqman dan At Taubah. Seboleh-bolehnya istiqamahkan membacanya setiap hari.

5.  Setiap amalan kebaikan yang dilakukan hendaklah diniatkan agar Allah memberikan keberkatan untuk si anak dalam kandungan. Keberkatan adalah suatu yang amat berharga. Jika keberkatan dikurniakan Tuhan, ibubapa dan sianak akan diikat dengan hubungan hati dengan Allah swt. Kesannya moga-moga anak yang bakal dilahirkan itu nanti menjadi seorang anak yang soleh, berilmu, beriman, bertaqwa dan berakhlak mulia. 

C)  Percakapan dan tingkah laku serta muamalah seharian.
Apa saja percakapan dan tingkah laku ibubapa akan memberi kesan kepada anak walaupun anak yang masih dalam kandungan ibu. Sebab itu kedua-dua suami isteri kena berhati-hati dengan apa yang dicakapkan dan dilakukan.
1.   Hendaklah amalkan istighfar iaitu taubat. Bartaubat adalah usaha menghapuskan kejahatan-kejahatan lahir dan batin yang dilakukan. Terutama dosa batin, taubat sangat perlu untuk menghapuskannya dan menyedarkan kita betapa sulitnya kita dalam mengelak dari dosa-dosa batin. Antara dosa batin ialah sombong, bangga diri, merasa diri hebat, merasa hairan dengan kelebihan diri, hasad dengki, mengumpat, bersangka buruk, cinta dunia, tamak, kedekut, pentingkan diri, takut mati dan sebagainya. 

2.  Suami isteri hendaklah berhati-hati dalam bercakap. Jangan celupar atau gelak terbahak-bahak. Usahakanlah mengubah budi pekerti kerana perbuatan kita di'lihat' oleh ruh sianak yang bersama kita. Aura kejahatan dan kebaikan akan kena pada sianak dalam kandungan. Membanyakkan membaca Al-Quran, berzikir, berselawat dan lain-lain akan mengurangkan aktiviti lidah daripada terjebak bercakap yang sia-sia atau dosa.
 
3.  Jagalah tindakan sepanjang masa. Jika tersilap atau tersalah segeralah minta ampun dengan Tuhan dan jika bersalah dengan sesama manusia, mintalah maaf dengannya. Tuhan menyayangi hamba-hambanya yang sanggup merendah diri mengaku salah dan meminta maaf denganNya dan juga dengan sesama insan. 
 
4.   Berhati-hatilah dalam urusan kehidupan dan dalam aktiviti muamalah yang pelbagai bentuk. Pastikan kita tidak terjebak dengan sistem yang bukan Islam, Riba dan rasuah adalah antara perangkap yang popular yang mudah dilakukan oleh siibu atau sibapa sekalipun mereka adalah orang yang bersembahyang. Pastikan kita tidak ada kompromi dengan sistem yahudi atau yang tidak diredhai Tuhan.
 
5)   Sebaik-baik keluarga muslim itu ialah berusaha untuk hidup dan mati di dalam sistem hidup Islam. Sistem hidup sebegini perlukan kehidupan dalam komuniti yang bersifat jemaah iaitu kesatuan hati. Jika hati sesama warga komuniti itu berkasih sayang dan selaras dalam ibadah dan muamalah, mudahlah proses baiki diri setiap individu itu berlaku. Komuniti sebegini sebenarnya memerlukan adanya pemimpin yang soleh, berilmu, berperibadi contoh dan berwibawa. 
 
Ya Allah rezekikan kami kehidupan dan kematian atas namaMu, dariMu dan UntukMu!!
(suaramuhajirin313)

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Sample text

Sample Text

Sample Text