Social Icons

Selasa, 22 April 2014

Jika Yakin Segalanya Di Tangan Tuhan, Tidak Perlu Gelabah

Spekulasi bertiup kencang di kalangan orang politik tentang siapakah 2 orang Menteri Besar yang akan digugurkan dan diganti dengan orang baru. Disamping mencari siapakah kedua-dua MB yang bernasib malang itu, masing-masing mencari pula siapa yang akan dilimpahi tuah berganda duduk di 'singgahsana kuasa'? 
 
Apa yang menarik kita akan melihat mereka yang berada bersama dengan MB yang akan digugurkan itu pastilah sedang mengira-ngira untung nasibnya. Rasanya ramai yang akan sanggup meninggalkan 'tokeh' mereka sekarang dan berusaha pula menyelitkan diri untuk bersama tokoh yang dijangka dinaikkan. Itulah wajah dunia politik. Terlalu sedikit yang sanggup susah dan senang bersama. Kawan setia sukar dicari, rakan berkepentingan bersepah-sepah di serata negeri. Tidak mudah mendapatkan teman seiring dan sejalan. Rakan ketawa mudah dicari, rakan menangis susah untuk ditemui.

Apa yang penting, bagi yang akan digugurkan - bersedialah dengan jiwa yang besar dan teguh. Hanya hati yang kuat bergantung dengan Allah swt sahaja yang akan menerima kejatuhan sebegini dengan perasaan redha. Digugurkan dari jawatan MB adalah ujian dan kasih sayang dari Allah. Dia mahu menguji hambaNya. Bahkan Dia mahu memberikan sesuatu yang lebih baik dari yang ada sekarang. Inilah keyakinan para solehin. Itulah hebatnya Tuhan. Dia melayan kita dengan layanan yang semakin baik dari tahap ke tahap. KasihNya kepada kita ialah untuk terus mengajak kita kembali kepadaNya. 
 
Turunnya dari pangkat dan jawatan adalah nikmat dan kasih sayang Tuhan. Ianya melepaskan tengkuk kita dari belenggu api neraka. Tidak ada seorang pemimpin pun yang akan melepasi Mahsyar tanpa pertanyaan dan soal siasat dari Tuhan. Sebesar zarah maksiat yang terjadi di hujung negeri yang kita tadbir adalah dituntut untuk kita menjawabnya. Lambatlah untuk mendapat tahu apa kesudahan dan nasib diri. Tunggulah proses penghakiman Tuhan berjalan sehingga selesai. Mungkin masanya beribu tahun di dunia?? Atau beribu tahun akhirat?? (sehari di akhirat sama seperti seribu tahun di dunia)... Masya Allah!!

Justeru seseorang yang insaf dengan hakikat ini patut menerima pengguguran jawatannya dengan penuh rasa syukur disamping memohon keampunanNya. Terimalah detik ini dengan penuh lapang dan tenang di dalam hati. Tiada apa yang perlu digundahkan. Tidak ada apa yang perlu dimalukan. Jika kita pernah berjasa melalui tugas yang diamanahkan kepada kita, bersyukur dan berbahagialah kerana ianya adalah saham akhirat yang akan sangat membantu kegawatan kita di Padang Mahsyar. 

Pak Lang mengucapkan tahniah pada Menteri Besar Negeri Sembilan kerana sikap tenangnya dalam menjawab soalan wartawan. Responnya terhadap pertanyaan berkaitan spekulasi pengguguran 2 orang MB itu menggambarkan hatinya sudah redha dengan apa sahaja ketentuan Allah swt. Apabila soalan itu dikemukakan padanya, mungkinkah salah seorang MB yang akan digugurkan itu adalah dirinya? Datuk Seri Mohamad Hassan sebaliknya menjawab secara tenang dan bersahaja. Dia tidak melatah. Itulah yang terbaik. Sikap tenangnya itu membezakan beliau dengan orang lain yang biasa kita lihat akan marah-marah dan melalut-lalut memberi luahan ketidakpuasan apa yang ada di hati. 

Bacalah laporan berita berikut:

Kedudukan menteri besar ditentukan perdana menteri, kata Mohamad Hasan April 21, 2014

 
Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan (gambar) berkata kedudukan dan pelantikan seseorang menteri besar berada dalam bidang kuasa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Dalam hubungan ini, Mohamad berkata beliau menerima apa sahaja keputusan perdana menteri berhubung kedudukannya.

"Sebagai seorang yang bekerja (berkhidmat), bertukar porfolio ini adalah sesuatu yang biasa....lumrah alam. Lumrah dalam kita bekerja. Kita menjalankan tugas di mana apabila kita dikehendaki bertukar atau pun disuruh untuk bersara, kita menerima dengan dada yang lapang....usah menangis-nangis," katanya kepada pemberita di Seremban, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan sebuah akhbar harian semalam berhubung ura-ura dua menteri besar bakal digantikan tidak lama lagi.

"Jadi, kalau perdana menteri rasakan sudah sampai masanya menteri besar A dan menteri besar B, perlu diganti, maka itu terpulang kepada beliau," kata Mohamad. – Bernama, 21 April, 2014.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Sample text

Sample Text

Sample Text