Social Icons

Sabtu, 5 April 2014

Kisah Surat Perjanjian Sebelum Mati?

Paparan ini diambil dari Blog Futureways92
 
SURAT PERJANJIAN SEBELUM MATI

Simeon adalah salah seorang jiran Hasan Al Basri, yang menyembah api. Ditakdirkan Allah bahawa Simeon jatuh sakit yang akan menyebabkan kematiannya. Dalam keadaan nazak, Hasan Basri bersama rakan-rakannya datang menjenguknya. Wajah Simeon hitam kerana pengaruh api dan asapnya.



“Kembalilah ke jalan yang benar.” Hasan menasihatinya. “Seluruh hidupmu telah engkau habiskan di antara api dan asap. Masuklah Islam, supaya Allah memberi rahmat dan pengampunan kepadamu.”

Mendengar itu, Simeon berkata: “Ada beberapa perkara yang menghalangku masuk Islam,” jawabnya. “Iaitu, engkau menceritakan keburukan dunia tetapi engkau berada di dalamnya. Engkau menceritakan mengenai kematian, tetapi tidak ada bekalan yang engkau siapkan untuk menghadapinya. Engkau dakwahkan Allah melihat, tetapi perbuatanmu menyalahi hukum-hakamnya.”

“Kata-katamu penuh hikmah, dan engkau selayaknya sudah lama Muslim,” Hasan berkata. “Engkau telah menyembah api selama 70 tahun. Cuba kita letakkan tangan kita ke atas api ini, nescaya ia tidak akan berdaya membakar tangan kita dengan izin Allah.”

Hasan lalu meletakkan tangannya ke atas api dan membiarkan api itu membiarkan api itu membakar tangannya. Tetapi anehnya, api itu tidak sedikit pun berpengaruh ke atas tangan Hasan. Malahan, ia tidak merasa sakit dan tidak ada bahagian tangan, kuku ataupun bulu-bulu tangannya yang terbakar.

Menyaksikan peristiwa menakjubkan dan ganjil itu, Simeon merasa hairan dan timbul gerun di hatinya. Sedikit sinar keimanan mula menembusi dirinya. “Telah 70 tahun lamanya aku menyembah api,” keluhnya. “Hari ini, kehidupanku akan berakhir. Bagaimanakah aku harus mengakhiri kehidupan yang menyimpang ini?”

“Bertaubatlah, masih ada bagimu peluang untuk menjadi seorang Muslim sebelum nyawamu diangkat,” jawab Hasan Basri. “Aku ingin engkau menjaminku secara bertulis bahawa Allah akan menerima taubatku dan mengampuniku,” sahut Simeon, “dengan itu, aku bersedia untuk menjadi Muslim.”

Aneh, fikir Hasan. Orang ini sudah mahu mati, masih lagi menghulur-hulur waktu. Tetapi Hasan merasa kasihan kepadanya, lalu menuliskan jaminan itu di atas sehelai kertas. “Tetapi aku belum yakin sebelum didatangkan saksi-saksi yang adil dimana mereka haruslah menandatangani surat kesaksian itu.”

Tanpa membuang-buang waktu, Hassan mendatangkan para saksi dan segera membubuhkan tanda tangan di atas kertas jaminan tersebut. Melihat itu, Simeon menjerit dan menangis hingga hampir pengsan sambil mengucapkan dua kalimah syahadat. Dia memohon kepada Hasan: “Selepas rohku berpisah dari jasadku, mandikanlah aku dan kuburkanlah dengan tanganmu sendiri, dan letakkan surat jaminan ini ditanganku. Ianya akan menjadi bukti bahawa
aku adalah seorang Muslim.” 
 
  
 
Tak berapa lama kemudian, Simeon menghembuskan nafasnya yang terakhir. Mereka melaksanakan semua yang diwasiatkan Simeon, termasuk meletakkan dokumen yang mengandungi jaminan ke-Islamannya di tangannya.

Pada malam hari, Hasan memikirkan apa yang dilakukannya terhadap Simeon. Sambil mengenangkan apa yang dilakukannya siang tadi, dia pun tertidur. Dalam tidurnya, Hasan bermimpi melihat Simeon bercahaya. Terletak mahkota di atas kepalanya, memakai pakaian yang indah dan berjalan-jalan dengan penuh kegembiraan dan kesenangan di taman-taman syurga.

“Bagaimanakah Allah melayani, wahai Simeon,” tanya Hasan.

“Engkau tak perlu bertanya? Lihatlah sendiri keadaanku di taman nan indah ini,” jawab Simeon. “Allah Yang Maha Besar dengan RahmatNYa meletakkan aku disini. RahmatNya sungguh menakjubkan. Sekarang, ambillah surat jaminanmu ini. Kini aku tidak memerlukannya lagi”

Ketika fajar tiba, Hasan terbangun. Dia terkejut melihat surat jaminan tersebut di tangannya. “Allah, Tuhanku, Engkau sungguh Maha Pengasih, mengizinkan seorang yang telah menderhakaiMu selama 70 tahun untuk berada di sisiMu. Maka, sudah tentu Engkau tidak akan mengusir orang yang telah mengimaniMu selama 70 tahun.”

Rujukan
Khairul Ghazali, (2007). “Ketawa dan Tangis Manusia”. 15A, Tingkat 1, Wisma Yakin, Jalan Masjid India, 50100, Kuala Lumpur. Darul Nu’Man. Tajuk 80 (m.s 60). http://www.darulnuman.com


0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Sample text

Sample Text

Sample Text