Oleh SUBKY LATIF
Patutnya PasMa sokong pemuda Pakatan
PEMUDA Pakatan yang terdiri dari Dewan Pemuda PAS, Angkatan Muda PKR dan DAPSY telah cuba menunjukkan tindakan baik dan terpuji bagi menyelesaikan perbalahan Pakatan Rakyat atas isu Menteri Besar Selangor.
Percubaan pertama mereka bercadang bagi menganjurkan pertemuan lapan mata terdiri daripada Ustaz Hadi, Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang dengan Menteri Besar TS Khalid Ibrahim bagi menyelesaikan isu itu.
Belum sempat bertindak, PKR memecat Khalid sebagai anggotanya. Mereka tidak berputus asa. Sekarang mereka hendak bertemu dengan tiga pemimpin besar Pakatan itu secara berasingan. Kita tunggu keputusannya.
Pemuda Pakatan itu sekurang-kurangnya prihatin apa yang berlaku yang boleh merugikan semua pihak, maka mereka tidak menuding mana-mana pihak, mereka tentunya tidak senang dengan apa yang berlaku, dan sekarang bekerja dari dalam mengajak ke tiga-tiga pihak menyelesaikan masalah itu. Ia adalah tindakan politik yang bijak daripada organisasi politik dalaman.
Sepatutnya PasMa mengambil tindakan yang serupa, meyokong langkah pemuda Pakatan itu bertemu dengan pemimpin semua parti yang terlibat membincangkan perkara itu. Usahakan supaya penyokong-penyokong PKR dan DAP bersama dengan mereka menggesa dari dalam supaya Pakatan menyelesaikan masalahnya.
Apa yang orang-orang PAS buat dengan PasMa sebagai NGO dilihat sasarannya adalah terhadap PAS, tidak nampak ditujukan kepada pemimpin dan kerabat Pakatan yang lain. Dengan NGO yang dibuat begitu tanpa pengetahuan PAS, itu boleh dikira sebagai parti dalam parti sekalipun ia tidak bertujuan begitu.
Ia boleh membuat kumpulan bagi mendesak PAS jangan begitu dan begini, tetapi mesti dalam lingkungan dalaman seperti Unit Amal atau lembaga PASTI atau apa jua, memberi tekanan pada PAS, tetapi tidak sampai menyatakan keluh kesah itu kepada masyarakat PAS.
Begitulah Ustaz Hassan Shukri, Pak Yazid Jaafar dan Ustaz Zakaria Ansari berpakat dengan Ustaz Ashaari Mohamad membentuk Darul Arqam sebagai badan dakwah membuat apa yang patut dibuat oleh PAS. Ia adalah untuk menyokong PAS dari luar. Apabila Ustaz Ashaari menjadikan Arqam menyaingi PAS dan mencabar PAS, mereka tinggalkan Arqam.
Orang-orang yang membentuk PasMa tidak diketahui apa ia buat bagi membetulkan PAS dari dalam. Ia mendahulukan kerja dengan mendedahkan rasa tidak senang mereka lebih banyak tentang PAS kepada masyarakat umum. Sebagai orang PAS sepatutnya mereka adakan pertemuan itu dengan PAS dan nyatakan apa yang mereka tidak senang terhadap PAS dan pimpinan kepada pemimpin PAS.
Ia adakan forum untuk menjelaskan tujuan penubuhannya, tetapi sekaligus ia membuka medan itu untuk orang luar memukul PAS dan pemimpinnya. Ia beritahu bahawa setakat ini ia sekadar NGO untuk membantu Pakatan Rakyat, bukan parti politik. Setakat ini bererti, esok belum tentu. Esok ia boleh jadi parti politik.
Setakat ini ia telah menolong PKR dan DAP untuk meletakkan PAS di kandang orang salah. Betul-betul ia telah menyediakan ruang kepada musuh PAS untuk memukul PAS. Ini bukan kerja NGO untuk membantu PAS. Malah apa yang dibuat itu tidak juga membantu Pakatan. Ia menyebabkan Pakatan lebih bermasalah. Jika sayangkan Pakatan buat seperti apa Pemuda Pakatan buat. Berkesan atau tidak adalah perkara kedua. Mereka telah buat tindakan yang betul. – (IH/HARAKAHDAILY)
0 ulasan:
Catat Ulasan