Social Icons

Ahad, 31 Januari 2016

Episod Sedih Generasi Felda

KEMAKMURAN GUGAT KETENTERAMAN DAN KESELAMATAN DI FELDA.


Apabila menyertai Felda Lepar Gambang Pahang lebih 30 tahun lalu, Pak Long di lantik sebagai ketua salah sebuah blok di rancangan ini oleh kerana mempunyai kualiti kepimpinan dan latar belakang keagamaannya.

Pak Long lah yang mengambil berat tentang kebajikan peneroka setempat masa itu,sakit demam mereka,urusan persekolahan anak- anak mereka dan hal-hal yang bersangkutan urusan peneroka dengan penghulu dan pejabat kerajaan.

Kata seorang penduduk jika di tengah malam pun diminta pertolongannya,dia akan datang.

Beliau adalah diantara perintis peneroka yang mahu keluar dari kemiskinan menerusi rancangan Felda yang terancang dan bersistematik yang diperkenalkan oleh kerajaan sebaik sahaja merdeka pada tahun 1957.

Telah pun diketahui umum bahawa semua rancangan Felda berjaya,digambarkan oleh penambahan besar pendapatan peneroka, keadaan rumah mereka sendiri yang asalnya hanyalah sebagai pondok tetapi sekarang telah bertukar menjadi rumah-rumah batu atau kayu yang jauh lebih besar dan lebih sempurna.

Rumah asal di Felda Lepar Gambang( gambar di atas) tidaklah memberikan gambaran tentang keadaan kehidupan masyarakat Felda seluruh negara sekarang sebaliknya ini hanya satu dalam seribu dari rumah-rumah yang asal yang masih boleh ditemui oleh sebab- sebab yang hanya diketahui oleh pemiliknya.

Kawasan-kawasan Felda telah bertukar menjadi bandar yang lengkap dengan segala kemudahan infrastrukur , yang menggambarkan kepada dunia suatu revolusi sosial dan ekonomi yang besar telah berlaku di Malaysia dalam mengubah kehidupan orang-orang kampung yang miskin menjadi peladang-peladang yang makmur,menikmati kehidupan yang terjamin dan kejayaan generasi barunya menerusi pendidikan, malah banyak yang menjadi gulongan profesional.

Sesetengah mereka tidak lagi menjadi peladang sebaliknya membina kehidupan sendiri dengan menjalankan perusahaan kecil seperti membaiki rumah, paip air,kerosakan letrik,membuka bengkel motor dan kereta yang keperluan ini semua datang diatas limpahan kejayaan Felda.

Walaupun pendapatan mereka semakin kecil dengan kejatuhan harga kelapa sawit dan getah tetapi mereka yang berjimat dan menabung mampu hidup seperti biasa malah yang lebih menarik dalam keadaan kemerosotan ekonomi sekarang pun,mereka masih mampu untuk melancong ke negara-negara jiran dan juga menunaikan umrah.

Bagi saya yang menyaksikan sendiri pelancaran Felda Sungai Tiang kira-kira 30 km dari Pendang Kedah lebih 50 tahun dahulu oleh Timbalan Perdana Menteri Tun Abdul Razak cukup insaf bila melihat pencapaian Felda Lepar Gambang walaupun saya pernah melihat kejayaan Felda di tempat lain tetapi tidak pernah bermalam dan berinteraksi dengan peneroka-peneroka asal seperti di Lepar.

Di waktu pagi kita dapat melihat banyak orang minum dan makan di kedai-kedai kopi atau membeli makanan untuk di bawa pulang.Demikian juga di malam hari. Pekan Sehari juga dikunjungi ramai.

Di sebalik cerita indah ini,terbukti kemakmuran di Felda tidak menjamin ketenteraman,keselamatan dan keharmonian hidup masyarakatnya sebaliknya mereka terancam oleh masalah sosial yang sama seperti di bandar malah lebih buruk.

Generasi baru dan lama Felda tidak berbangga dengan mempunyai saham FGV (Felda Global Ventures) sebagai peningkatan taraf hidup mereka menyamai peladang-peladang negara maju sedangkan mereka tidak lagi tenteram, tidak dapat meninggalkan rumah dalam keadaan selamat, hasil tanaman mereka;pisang,durian ,rambutan,kelapa dan apa juga yang boleh mendatangkan wang untuk membeli dadah dicuri di hadapan mata mereka sendiri.

Penagih-penagih dalam Felda lebih berani dari orang-orang setempat kerana ibubapa mereka mengenali antara satu sama lain malah diantara mereka adalah anak kepada peneroka-peneroka yang kaya dan berjaya. Rasa hormat menghormati,segan malu antara satu sama lain menyebabkan keengganan untuk bertindak.

Saya amat tersentuh hati bila Pak Long Ketua Blok 14 peneroka asal Felda Lepar menceritakan lebih 50 tandan pisangnya yang dibajai dan dijaga dengan rapi, dibalutnya dengan sarung plastik supaya tidak di serang serangga tetapi pada suatu pagi mendapati semuanya telah hilang ,yang tinggal hanya sarung balutannya sahaja.

Sebagai peneroka perintis pada tahun 1982.Pak Long diingati sebagai seorang yang penuh dedikasi, menjalankan kerja-kerja kebajikan untuk peneroka setempat ,mengambil berat sakit demam mereka,menguruskan hal persekolahan anak-anak mereka dan memberikan apa juga pertolongan yang diperlukan walaupun di tengah malam buta.

Pak Long tidak pernah terfikir untuk melihat balasan yang pedih dan kejam dari sesetengah anak-anak Felda yang mendapat nikmat dari pengorbanan ibu bapa mereka.

Bukan semua anak Felda menjadi penagih dadah tetapi jumlah mereka yang kecil sudah cukup untuk meganggu kehidupan banyak peneroka. Polis telah bertindak dari masa ke masa,penagih dan pencuri ditangkap,dibicarakan dan dihukum penjara tetapi setelah dibebaskan mereka kembali kepada tabiat lama. Ada diantara mereka yang telah mati akibat dadah tetapi semua ini tidak memberi kesan atau pengajaran kepada yang lain.

Pak Long adalah diantara 450 orang peneroka asal Felda Lepar,usianya sudah melampaui 70 tahun,keadaan kesihatannnya juga merosot,100 orang rakannnya telah pun meninggal dunia. Pak Long ingat satu persatu.Dia bersukur dan gembira kerana keluarganya juga berjaya

Tetapi Pak Long sedih kerana beliau dan juga rakan-rakan yang masih hidup dan yang telah pergi tidak pernah terfikir bahawa kemakmuran tidak akan menjamin kebahagian dan keselamatan.Mereka telah diyakinkan bahawa dengan menebus kemiskinan akan membahagiakan kehidupan dan mengangkat maruah mereka sebagai petani dan orang Melayu.

Mereka menilai kejayaan yang telah dicapai,perubahan besar kepada diri mereka sendiri tetapi sekarang mereka tidak lagi merasa berada dalam keadaan selamat seperti yang yakinkan.

Yang masih mengikat perasaan mereka pada Felda adalah kasih sayang terhadap tanah yang berjasa kepada mereka, yang menjadi kediaman mereka sejak berpuluh tahun lalu tetapi persekitaran terasa mengancam.

Ketika menyertai Felda dahulu mereka diberitahu supaya berdisiplin dan berkerja keras bagi masa depan mereka.Formula ini semua telah menjayakan kehidupan mereka.

Anak-anak Felda yang membesar dalam keadaan selamat sedang meruntuhkan keselamatan yang dibina dengan titik peluh ibu bapa mereka diatas kemiskinan dan penderitaan hidup.

Pak Long tidak lagi melihat kemakmuran menjamin keselamatan dan ketenteraman hidup, tidak berlaku seperti yang diyakinkan kepada ketika menyertai Felda.

Dimanakah silap kita?

KREDIT SUMBER: ZAMKATA


0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Sample text

Sample Text

Sample Text