Social Icons

Sabtu, 16 Januari 2016

Poligami Indah Tanda Mampu Menjadi Pembela

Kalau kita lihat dalam sejarah, bangsa-bangsa yang menjadi empayar bukanlah bangsa yang bilangannya besar, tetapi bangsa yang kecil jumlahnya atau etnik yang kecil. Tapi ia dapat memiliki satu-satu sifat yang sangat kuat, sama ada semulajadinya begitu, atau melalui hasil didikan. Contohnya bangsa Arab. Bangsanya ramai, di dalamnya bermacam-macam etnik, tapi tidak ada keistimewaan. Mereka tidak tahu menulis, tidak tahu membaca dan tidak ada ilmu. Hanya memikirkan hidup bersama kambing-kambing.

Rasa kasih sayang sesama bangsa Arab tidak wujud, sedangkan kasih sayang itu adalah sesuatu yang besar. Yang ada pada mereka hanyalah sifat bengis, maka berlakulah permusuhan dan pergaduhan antara bani-bani.

Tapi bila datang Rasulullah SAW, Baginda berjaya menukar watak bangsa tersebut. Di antaranya ialah menanamkan sikap berkasih sayang sesama insan yang seterusnya melahirkan perpaduan. Akhirnya bangsa tersebut muncul menjadi empayar. 

Tetapi  harus diingat, yang berjaya menjadi empayar itu bukannya seluruh bangsa Arab. Tuhan memilih di kalangan bangsa Arab itu satu etnik yang menjadi tunjangannya iaitu suku Quraisy. Jadi bangsa Quraisy inilah yang berjaya dididik dengan cepat hingga bertukar wataknya hasil didikan dan pimpinan Rasulullah. Bila ia menjadi kuat, maka bangsanyalah yang menaungi semua etnik-etnik Arab yang lain. Akhirnya bangsa Arab muncul sebagai pembangun empayar yang liar bias.

Contoh lain, di waktu umat Arab sudah lemah, datangnya satu puak yang kecil sahaja, iaitu puak Kurdi yang dipimpin oleh Salehuddin Al Ayyubi. Pada etnik itu ada sifat besar yang boleh memberi kekuatan pada bangsa itu walaupun bilangannya kecil, iaitu ketaatannya pada pemimpin. Akhirnya bangsa Arab dapat dibela semula oleh satu puak yang asalnya hanyalah kecil dan terpinggir.

Sebagai contoh yang lain, Turki merupakan satu bangsa yang di dalamnya terdapat macam-macam etnik. Di antaranya ialah etnik Saljuk dan etnik Usmaniyah. Bani Usmaniayah ini berasal dari hulu. Pemimpinnya hanyalah merupakan ketua kampung saja. Tapi Tuhan menganugerahkannnya beberapa sifat yang mencabar, yang sangat memberi kekuatan pada kelompok kecil ini, iaitu :
1. Berani
2. Berpadu
3. Sangat mentaati pemimpin.
4. Sangat menjaga dan mengambil berat soal keberkatan

Dengan kekuatan-kekuatan inilah mereka yang asalnya duduk di hulu, ketuanya hanyalah ketua kampung, akhirnya berjaya mengetuai sebuah empayar Usmaniyah di Turki.

Demikianlah cara terbangunnya bani-bani Usmaniyah, Abbasiyah, Fatimiyah dan lain-lain, sehingga masing-masing berjaya membangunkan empayarnya sendiri dan boleh menguasai serta membangunkan Islam hingga akhirnya kegemilangan Islam terlaksana di tangan mereka.

Begitulah di akhir zaman, walaupun umat Islam ramai, tetapi banyak amalan Islam yang telah terpinggir, terutamanya poligami. Orang yang benar-benar hendak mengamalkan syariat Islam dalam kehidupannya dipandang ganjil dan aneh. Inllah watak akhir zaman.

Tepat sebagaimana sabda Nabi SAW yang bermaksud: “ Islam itu asalnya dagang dan akan kembali dagang. “

Jadi, di zaman kebangkitan Islam kali kedua ini, kalau ada segolongan umat Islam yang mampu memperjuangkan syariat Tuhan yang telah terpinggir, terutamanya poligami, maka tidak mustahil golongan itulah yang akan dimuliakan oleh Tuhan yang Maha Agung Lagi Maha Berkuasa.

Ini kerana memperjuangkan poligami sepertimana yang dikehendaki oleh Tuhan, bukan satu perkara mudah . Sedikit saja bilangannya yang berjaya dalam rumahtangga poligami. Golongan yang sedikit itu ialah golongan yang bertaqwa. Hanya taqwa membolehkan seseorang itu berlaku adil terhadap  diri dan keluarganya.

Golongan ini bilangannya sedikit, tapi kuat. Kuat itu bukan diukur dari segi fizikal. Tapi kuat keyakinannya, kemahuan, kegigihan, kesabaran, ibadah, akhlak, kepimpinan dan minda,. Gabungan semua kekuatan inilah yang akan melahirkan peribadi-peribadi super yang agung. Kekuatan mereka adalah bertunjangkan kemantapan taqwa dan sangat diberkati.

Gabungan peribadi agung ini akan melahirkan satu bangsa yang agung yang dinaungi oleh Tuhan yang Maha Agung. Akhirnya bangsa inilah yang akan membangunkan sistem hidup Islam yang symbol dimana orang lain dapat menumpang sama.

Apa kaitannya pula dengan poligami? Poligami merupakan gelanggang ujian kepimpinan, kesabaran, mujahadah, pendidikan, kasih sayang dan keadilan. Kejayaannya berteraskan kemantapan keyakinan, minda, ibadah serta matlamat yang jelas dan tepat untuk mendapat redha Tuhan.

Oleh itu seseorang yang berjaya melalui ujian dan cabaran poligami, yang sememangnya sulit dan sukar, baik kepada isteri mahupun suami, maka untuk memiliki kekuatan yang lain akan jadi lebih mudah.

Ujian kepimpinan sebenarnya bermula di rumah. Seorang suami yang berjaya mendidik serta memimpin isteri-isteri serta anak-anaknya dirumah, bererti dia telah berjaya menjadikan rumahtangga sebagai platform mengasah kepimpinan. 

Kekuatan paling menonjol dan terpenting dalam melaksanakan poligami ialah apabila seseorang itu mampu menyatukan empat orang wanita dan hidup dalam penuh aman damai, berkasih sayang, bersatu padu serta bekerjasama dalam merebut cinta Tuhan. Betapa indah dan bahagianya rumah tangga ini.

Kekuatan inilah yang sudah tidak ada pada masyarakat mahupun mana-mana pemimpin di dunia hari ini. Malah untuk memimpin satu isteri dan beberapa orang anak pun masih banyak orang yang gagal.

Oleh itu andainya terdapat seorang pemimpin yang terbukti berjaya dalam memimpin keluarga berpoligami, malah menjadi model serta ikutan kepada pengikut-pengikutnya yang mana akhirnya tercetus satu masyarakat yang berjaya membuktikan keindahan syariat Tuhan dalam poligami, maka sudah tentulah “etnik” ini mempunyai satu kekuatan luar biasa. 

Jika ujian sebesar itupun mampu diatasi dengan berjaya, maka hal-hal lain akan menjadi mudah bagi mereka. Oleh kerana kebangkitan Islam kali kedua ini paling besar, sama besar dengan zaman pertama, maka kekuatan yang dibawa bersama poligami yang terancang dan terpimpin ini adalah cukup besar. 

Bila poligami berjaya dilaksanakan, kekuatan-kekuatan lain akan mengikut sama. Seluruh kekuatan lain sangat ditentukan oleh faktor berjayanya poligami sama ada dari sudut kasih sayang, perpaduan dan lain-lain berasaskan kekuatan taqwa itu sendiri. Justeru kalau bukan calang-calang taqwa dia tidak boleh berjaya dalam poligami ini.

Selain “etnik” ini berjaya mendapatkan kekuatan taqwa melalui poligami, maka hanya perlu ditambah dengan kekuatan-kekuatan lain seperti kekuatan strategi, kepimpinan, kewangan, dan lain-lain. Apabila semua kekuatan telah terlonggok di situ, maka tidak hairanlah jika Tuhan memilihnya untuk jadi satu bangsa yang agung bagi menaungi dunia atau bangsa yang lain - dengan jalan keajaiban dan keberkatan. Inilah jalan Tuhan yang selamat lagi menyelamatkan!!


0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Sample text

Sample Text

Sample Text