Social Icons

Rabu, 20 Januari 2016

Hukum Lafaz Cerai Taklik Yang Mempunyai Maksud Sumpah

Apakah implikasi hukum terhadap lafaz cerai taklik yang mempunyai maksud sumpah untuk melakukan sesuatu perkara yang dilarang/haram.

PENJELASAN:

Cerai taklik bermaksud suami melafazkan lafaz cerai yang dihubungkan dengan sesuatu syarat (Wahbah al-Zuhaili, al-Fiqh al-Islami, jil. 7, hlm. 444; Abdul Karim Zaidan, al-Mufassal fi ahkam al-mar'ah, jil. 7, hlm. 471).

Cerai taklik dibahagikan kepada dua jenis; pertama cerai taklik yang dinyatakan syarat tanpa mengandungi maksud sumpah, seperti suami berkata kepada isterinya, "Jika aku tinggalkan isteriku selama lima bulan berturut-turut tanpa sebarang nafkah, isteriku tercerai." Kedua, cerai taklik yang mengandungi maksud sumpah, seperti suami berkata, "Jika aku tipu engkau, isteriku aku cerai."

Jenis cerai yang pertama, syarat yang dinyatakan dalam cerai taklik adalah berkuatkuasa selama mana syarat itu bukan sesuatu yang mustahil berlaku. Jika sesuatu yang disyaratkan itu berlaku, maka jatuhlah talak.

Namun, bagi jenis kedua, taklik itu tidak memberikan kesan, walaupun syarat yang dinyatakan itu berlaku, namun isterinya tidak tercerai (al-Nawawi, al-Majmu', jil. 16, hlm. 152-153, 212). Lafaz taklik yang diucapkan seperti "sekiranya aku berbaik dengan si pulan, maka aku dan isteriku jatuh cerai!" adalah termasuk dalam kategori cerai taklik yang mengandungi maksud sumpah. Maksud lafaz tersebut ialah suami itu bersumpah memutuskan sillaturrahim dan hukumnya haram. Oleh itu, jika suami itu berbaik semula dengan si pulan berkenaan, maka isterinya tidak tercerai kerana lafaz cerai taklik tersebut mempunyai maksud sumpah dan taklik itu tidak memberikan kesan.

Bersumpah untuk melakukan perbuatan haram adalah sumpah yang wajib ditebus. Abu Hurairah melaporkan, Rasulullah saw bersabda, "Sesiapa bersumpah tentang sesuatu, kemudian dia mendapati ada perkara lain yang lebih baik untuk dia lakukan, maka hendaklah dia lakukan yang lebih baik itu dan hendaklah dia membayar kafarah sumpahnya." Hadis sahih direkod oleh Imam Muslim (Sahih, jil. 3, hlm. 1272). Contohnya dalam lafaz cerai taklik untuk memutuskan sillaturrahim, maka ia adalah haram, dan orang itu wajib menyambung sillaturrahim dan membayar kafarah sumpahnya. Abu Hurairah melaporkan, Rasulullah saw bersabda, "Sesiapa beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia menyambung sillaturrahim." Hadis sahih direkod oleh Imam al-Bukhari (Sahih, jil. 8, hlm. 32).

Kafarah yang dikenakan adalah berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud: "Kamu tidak dikira salah oleh Allah tentang sumpah-sumpah kamu yang tidak disengajakan (untuk bersumpah), akan tetapi kamu dikira salah olehNya dengan sebab sumpah yang sengaja kamu buat dengan bersungguh-sungguh. Maka bayaran dendanya ialah memberi makan sepuluh orang miskin dari jenis makanan yang sederhana yang kamu (biasa) berikan kepada keluarga kamu, atau memberi pakaian untuk mereka, atau memerdekakan seorang hamba. Kemudian sesiapa yang tidak dapat (menunaikan denda yang tersebut), maka hendaklah dia berpuasa tiga hari. Yang demikian itu ialah denda penebus sumpah kamu apabila kamu bersumpah. Dan jagalah - peliharalah sumpah kamu. Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayatNya (hukum-hukum agamanya) supaya kamu bersyukur." (Surah al-Ma'idah, ayat 89)

Wallahu a'lam.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Sample text

Sample Text

Sample Text