Social Icons

Isnin, 4 November 2013

BN Gagal Di Sungai Limau Walau Guna Segala Kekuatannya

(Paparan ini diambil dari THE MALAYSIAN INSIDER SILA KLIK)
OLEH ZULKIFLI SULONG, PENGARANG ANALISIS DAN RENCANA
November 04, 2013
 
Mohd Azam Abd Samad (tengah) berjaya kekal pengaruh PAS di DUN Sungai Limau. Gambar The Malaysian Insider oleh Najjua Zulkefli, 4 November, 2013.Barisan Nasional (BN) gagal merampas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau walaupun menggunakan segala jentera kerajaan negeri dan pusat, di samping wang dan tokoh-tokoh besarnya.

PAS berjaya memenangi kerusi itu dengan majoriti 1,084 undi apabila calonnya Mohd Azam Abdul Samad mengalahkan calon BN Dr Ahmad Sohaimi Lazim dalam pertandingan satu lawan satu.

Kegagalan BN untuk merampas kerusi ini juga menjadikan Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Mahathir kalah buat kali kedua dalam masa tidak sampai sebulan. Sebelum ini, Mukhriz yang memimpin jentera BN di Sungai Limau gagal dalam usahanya untuk merebut salah satu kerusi naib presiden Umno apabila beliau berada di tempat keempat di belakang Datuk Seri Hishamuddin Hussein.

Mukhriz memberikan tumpuan sepenuhnya dalam pilihan raya kecil ini dengan berkampung di Sungai Limau sepanjang kempen berjalan. Beliau berada di mana-mana dalam kawasan pilihan raya untuk memastikan jentera Umno berjalan dengan baik.

Ayahnya, Tun Dr Mahathir Mohamad, turut dibawanya untuk membantu kempen BN. Selain gambar calon BN, gambar Mukhriz banyak digantung di sini. Tidak sebagaimana pilihan raya kecil sebelum ini, gambar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak digantung oleh petugas BN di Sungai Limau.‎

Walaupun Mohd Azam menang, majoriti 1,084 undi adalah kurang berbanding majoriti 2,774 yang diperolehi oleh allahyarham Tan Sri Azizan Razak dalam pilihan raya umum lalu.

Kemenangan Mohd Azam, Penolong Pengetua Sekolah Menengah Agama An Nahdzah, Bukit Besar mengalahkan pensyarah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Ahmad Sohaimi merupakan satu keputusan yang manis bagi PAS di Kedah setelah hilang negeri jelapang padi itu dalam pilihan raya lalu.‎

Kemenangan ini juga manis buat Pesuruhjaya PAS Kedah yang baru, Datuk Mahfuz Omar, yang menggalas tanggungjawab itu selepas Azizan meninggal dunia. Ia bakal menjadi bekalan penting untuk Mahfuz dalam pemilihan PAS dari 22 hingga 24 November ini apabila beliau dijangka akan mempertahankan jawatannya sebagai naib presiden.

Kekalahan calon BN juga bermakna program Karnival Rakyat yang banyak mendapat sambutan penduduk tempatan tidak berjaya diterjemahkan dalam bentuk undi untuk BN. Ia hanya menghabiskan wang yang banyak kepada BN apabila barangan seperti gula, beras dan Milo dijual dengan harga yang murah.

Walaupun kerajaan telah menghentikan subsidi gula sebanyak 34 sen dengan alasan untuk mengelakkan penyakit kencing manis, gula dijual dengan harga murah di Sungai Limau.

Tindakan kerajaan menarik balik subsidi 34 sen gula telah menyebabkan harga gula naik melambung kepada RM2.84 sekilo, namun penduduk di sini mendapat gula dengan harga RM1 sahaja sekilo. Sekampit beras 5 kilogram hanya dijual dengan harga RM5 sahaja oleh karnival anjuran BN di sini.

Namun, terbukti ia tidak berjaya membeli undi penduduk Sungai Limau, khasnya di kubu kuat PAS iaitu Bukit Besar, tempat berlangsungnya karnival tersebut. – 4 November, 2013.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Sample text

Sample Text

Sample Text