Social Icons

Khamis, 28 November 2013

Istanbul, Hangat Dalam Dingin

Berbeza betul wanita Turki di Makkah dengan apa yang saya lihat di negara asal mereka. Di kawasan Masjid al-Haram sebahagian besar kaum hawa Turki yang ditemui ketika sama-sama mengerjakan haji lima tahun dulu kelihatan kasar.

Bertubuh sasa dan dengan seluruh anggota – termasuk kepala – ditutupi jubah labuh dan purdah, mereka adalah insan yang seberapa boleh hendak saya elakkan. Berjalan dalam kelompok besar, mereka akan merempuh sesiapa sahaja, tidak kira lelaki atau wanita dari negara lain.

Sekurang-kurangnya itulah prejudis saya terhadap mereka setelah beberapa kali tersungkur dirempuh. Malah pernah sekali saya tertonggeng mencium simen Kaabah ketika bertawaf gara-gara disinggung siku wanita bertubuh besar itu.

Lain pula yang saya lihat di Istanbul. Sejak tiba di sini dua hari lalu pandangan negatif terhadap mereka ketika di Tanah Suci, terus lenyap. Kini saya mengakui wanita Turki, terutama gadis, adalah insan yang lemah lembut, baik hati dan manis.

Mungkin yang ke Makkah adalah orang tua yang sendo, dan tidak kelihatan menawan sebab seluruh tubuh ditutup. Di Istanbul sebahagian besar kaum wanita, lebih-lebih lagi gadis remaja mendedahkan tubuh.

Walaupun musim sejuk dengan suhu sekitar 10 darjah Celsius, gadis dan wanita yang ditemui di pusat-pusat beli-belah kebanyakannya membuka betis dan lengan. Jarang ditemui kaum hawa menutup kepala.

Dengan banyak bahagian tubuh didedahkan terserlah keayuan sebenar orang Turki. Rambut coklat, mata biru, kulit halus melepak, bibir merah delima. Dan, senyumannya betul-betul menghangatkan suasana walaupun dalam suhu sejuk yang menyengat sum-sum.

Sekiranya menutup kepala dijadikan ukuran, ternyata seruan Erdogan supaya wanita Turki menyembunyikan rambut tidak diambil perhatian. Sepatah kata pemandu pelancong yang bersama kami: “Ada arahan, tetapi tidak ada paksaan; yang menutup kepala kebanyakannya orang tua.”

Bagi golongan muda menutup kepala dianggap sebagai kolot. Hakikatnya ialah di negara dua benua ini – separuh Asia, separuh Eropah – anak-anak muda lebih tertarik dengan fesyen dan gaya hidup Barat.

Walaupun sejak dua dekad ini Erdogan mula menggerakkan program-program memperkukuh Islam, umum berasakan masih jauh lagi untuk negara ini kembali kepada Islam sepenuhnya. Contoh, arak masih dijual dengan bebas, setiap orang bebas minum benda haram itu di tempat terbuka.

Sebenarnya di tempat kita pun tidak ada arahan wanita menutup kepala. Tetapi semakin ramai wanita Islam memilih untuk menutup aurat, malu mendedahkan rambut, walaupun ramai juga wanita – termasuk pemimpin dan isteri pemimpin – masih selesa untuk memperagakan kepala dan rambut kepada umum.

Meski musim sejuk, Istanbul ceria dan hangat dengan segala kegiatan siang dan malam. Dengan penduduk 15 juta orang – ketujuh paling padat di dunia – kota metropolitan ini menawarkan berbagai hiburan dan keseronokan. Ada duit semua jadi.

Tanpa mengira musim bandar raya ini sentiasa menjadi tumpuan pelancong dari seluruh dunia. Statistik menunjukkan 10 juta pelancong asing berkunjung ke sini setiap tahun. Bagi seluruh Turki jumlah pengunjung asing adalah antara 30 – 35 juta setiap tahun, menjadikan pelancongan sebagai sumber pendapatan ketiga selepas pertanian dan perindustrian.

Mungkin baik untuk menjana ekonomi, tetapi bagi penduduk tempatan juga pelancong asing yang tiba di sini, ternyata kepadatan penduduk semakin melemaskan. Masalah yang saya rasakan sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Atarturk ialah kesesakan lalu-lintas. Bas kami terperangkap hampir dua jam!

Kesesakan lalu-lintas terjadi hampir setiap waktu, terutama waktu ke pejabat, waktu makan tengah hari, dan waktu pulang pejabat. Malah, menurut pemandu pelancong, masalah trafik menyumbang kepada meningkatnya sifat panas baran dalam kalangan penduduk Istanbul.

Makanan yang dihidangkan hampir sama setiap kali. Salad, sup dan roti sebagai pembuka selera, diikuti dengan kebab sebagai hidangan utama. Untuk dua hari ini masih dikira okey. Tetapi saya di sini sepuluh hari, mungkin separuh mati sekiranya setiap kali makan kebab, kebab, kebab. Walaupun tidak diberitahu, saya pasti di sini tidak ada tempe. Siapalah saya tanpa tempe! sumber

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Sample text

Sample Text

Sample Text