Social Icons

Selasa, 26 November 2013

Selamat Bercuti - Kawallah Diri Dalam Pergaulan!





Kepada anak cucu sekelian!

Anak-anak GISB HOLDINGS Sdn Bhd sedang mengikuti pelbagai program 'masa cuti'. Sememangnya kami mengawal mereka untuk terus berada di dalam program pendidikan. Membiarkan mereka bercuti panjang tanpa kawalan hanya akan menjerumuskan mereka kepada kelonggaran disiplin ibadah, kerosakan akhlak dan terpengaruh dengan gejala negatif.

Justeru program cuti kami tukarkan kepada 'menziarahi keluarga'. Ianya untuk memberi kefahaman kepada mereka bahawa, istilah cuti hanyalah perangkap untuk para remaja bebas dan mula meneroka pengalaman baru. Sedangkan para remaja - jika tidak dipimpin - mereka akan 'meneroka' pengalaman yang negatif yang sangat berleluasa di dalam komuniti remaja di negara kita.

Anak cucu sekelian akan melihat dunia sedang berputar dengan laju. Persekitaran kita adalah pelbagai perkara yang mencabar iman dan taqwa sedangkan iman dan taqwa itulah yang sangat kita pertahankan selama ini. Pulang sebentar untuk bertemu keluarga akan memperlihatkan betapa rosaknya rakan-rakan yang sebaya dengan kita di luar sana. Mereka kebanyakannya sukar untuk dipulihkan. Hala tuju mereka adalah kegagalan dan kemusnahan. Sedihnya ibubapa mereka!!

Jika sesekali melihat masyarakat yang pelbagai ragam, janganlah kita hairan dengan kejayaan dan kesenangan orang yang menderhakai Allah. Mereka tidak ada apa-apa sekalipun mempunyai harta, pangkat, jawatan atau ijazah kedoktoran. Hinalah orang yang melupakan Tuhan dan berbahagialah mereka yang mempunyai rasa takut padaNya dan rindukan Baginda SAW. Kita bermohon kepada Allah agar diselamatkan kita dari menjadi seperti orang-orang yang derhaka padaNya. Apalah ertinya hidup kita jika mendapat kemurkaanNya.

Bagi semua pelajar yang berada di dalam program kursus pembinaan syakhsiah sepanjang cuti sekolah ini, fahamilah hakikat diri kita sebagai manusia. Kita diamanahkan tugas oleh Allah sebagai hamba dan khalifahNya. Kedua-dua tugas ini mesti diasuh, dibina dan ditingkatkan agar mencapai tahap yang tertinggi seperti yang Allah kehendaki.Tugasan kita di dunia ini ialah untuk mendapatkan takutkan Allah dan rindukan nabi saw.!!

Jadikanlah diri kita sebagai seorang yang sentiasa berusaha membaiki diri. Bertaubat dan meminta ampunlah kepada Tuhan atas semua kesalahan yang kita lakukan. Jika pernah terlanjur, insaf dan bertaubatlah sesungguh-sungguh hati. Bukankah Allah berjanji menerima taubat hambaNya yang benar-benar menyesal atas ketelanjuran melakukan maksiat dan dosa.

Jadilah hamba kepada Tuhan yang maha agung - hamba yang baru sedar dan insaf. Kembali kepada Tuhan adalah satu kemuliaan dan mahal harganya di sisiNya. Kembali kepada Tuhan adalah pertunjuk bahawa Tuhan sedang membentangkan jalan menuju kepadaNya untuk kita. Rebutlah jalan ini sebaik hati terdetik untuk berubah.

Ingatlah, Tuhan sentiasa memanggil kita kembali kepadaNya. Sahutlah panggilan Tuhan itu untuk kebaikan kita di dunia dan akhirat. Menyerah diri untuk dididik dan di asuh adalah sebaik-baik langkah keselamatan dan kejayaan untuk diri kita. 

Dunia yang dikejar tidak akan membawa apa-apa kepada kita. Dia akan menipu dan mempermain-mainkan kita. Kembali kepada hidup membesarkan Tuhan adalah seindah-indah kehidupan. Itulah kebahagiaan hakiki yang hanya akan ditemui oleh orang-orang yang memilih untuk hidup dan mati untuk Allah dan Rasul. 

Semoga anak cucu semua selamat menjalani cuti persekolahan yang panjang ini dengan mengawal batas pergaulan, menjaga solat lima waktu, mentaati ibubapa dan menghargai masa yang terluang. Carilah kawan yang boleh mendorong kita mentaati Tuhan.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Sample text

Sample Text

Sample Text