Nabighah el-Jili Abshar, warga Sudan adalah satu-satunya (setakat ini) yang menolak pemberian ganti rugi oleh kerajaan Saudi sebanyak setengah juta riyal kepada mereka yang cedera akibat kren yang jatuh di Mekah.
Malah beliau menolak untuk dimasukkan namanya ke dalam senarai mereka yang cedera. Beliau berharap kesan cedera di dahi beliau akan menjadi tanda rasa redha dan itulah yang akan di bawa mengadap Allah pada hari Mahsyar nanti.
Beliau cedera di dahi akibat serpihan yang jatuh ke atas dahi beliau hingga ianya terkoyak.
Selepas 2 hari mendapat rawatan beliau kini di benarkan untuk keluar. Selain enggan menerima setengah juta riyal, beliau juga enggan di temuramah oleh mana-mana stesen televisyen!!
Baca tulisan berikut: Hikmah Insiden Kren Jatuh
YAKINLAH tidak ada musibah yang terjadi di muka bumi ini melainkan telah ditetapkan dalam takdir ALLAH SWT. ALLAH telah mentakdirkan apa yang ALLAH kehendaki pasti terjadi. Kekuasaan ALLAH mengatasi segala-galanya. Sesungguhnya di sebalik musibah itu terdapat hikmah dan ibrah yang antara lainnya adalah:
1. Musibah mendidik jiwa dan menyucikan dosa
Firman ALLAH yang bermaksud: “Apa sahaja musibah yang menimpa kamu maka disebabkan oleh perbuatan kamu sendiri dan ALLAH memaafkan sebahagian besar (daripada kesalahan kamu).” - (Asy-Syura: 30). Dalam ayat ini terdapat khabar gembira sekali gus ancaman jika kita mengetahui bahawa musibah merupakan hukuman atas dosa-dosa kita.
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak ada penyakit kesedihan dan bahaya yang menimpa seorang mukmin hingga duri yang menusuknya melainkan ALLAH akan mengampuni kesalahannya dengan semua itu.” - (Riwayat Bukhari).
2. Mendapat pahala tak terhingga di akhirat
Ini merupakan balasan daripada musibah yang dideritai oleh seorang hamba sewaktu di dunia, sebab kegetiran hidup yang dirasakan di dunia berubah menjadi kenikmatan di akhirat kelak. Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Dunia adalah penjara bagi orang mukmin dan syurga bagi orang kafir.”
3. Sebagai ukuran kesabaran seorang hamba
Sebagaimana dituturkan, bahawa seandainya tidak ada ujian maka tidak akan nampak keutamaan sabar. Apabila ada kesabaran maka akan muncul segala jenis kebaikan yang menyertainya, namun jika tidak ada kesabaran maka akan lenyap pula kebaikan itu.
4. Dapat memurnikan tauhid dan hati kepada ALLAH
Wahab bin Munabih berkata: “ALLAH menurunkan ujian supaya hamba memohon doa dengan sebab bala/musibah itu.”
Firman ALLAH yang bermaksud: “Dan apabila Kami memberikan nikmat kepada manusia, ia berpaling dan menjauhkan diri, tetapi apabila ia ditimpa malapetaka maka ia banyak berdoa.” - (Fussilat : 51)
5. Mewujudkan bermacam ibadat yang menyertainya
Di antara ibadat yang muncul dan wujud adalah ibadat hati berupa rasa takut kepada ALLAH. Berapa banyak musibah yang menyebabkan seorang hamba menjadi istiqamah dalam agamanya, mendekati diri kepada ALLAH dan menjauhkan diri daripada kesesatan dan kemaksiatan.
6. Dapat mengikis sikap sombong dan besar diri
Jika seorang hamba keadaan dalam serba baik dan tidak pernah ditimpa musibah, biasanya ia akan bertindak melampau batas, lupa diri dan matlamat hidupnya. Adakah layak dan wajar ia menyombongkan diri di hadapan ALLAH dan sesama manusia?
7. Merupakan indikasi kebaikan bagi dirinya
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Barang siapa yang dikehendaki oleh ALLAH kebaikan, maka ALLAH akan menimpakan musibah kepadanya.” - (Riwayat Bukhari). Seorang mukmin walaupun sarat dengan ujian dan musibah namun hati dan jiwanya tetap sihat.
8. Dengan adanya musibah, betapa besarnya nikmat
Jika seseorang dalam keadaan senang dan sihat maka dia tidak akan mengetahui derita orang yang tertimpa ujian dan cubaan serta kesusahan, dan dia tidak akan tahu pula besarnya nikmat yang dia peroleh.
Ketika seorang hamba terkena musibah diharapkan agar dia boleh berasakan betapa mahalnya nikmat yang selama ini dia terima daripada ALLAH SWT. Ibnu Qayyim menukil ucapan Ali bin Abi Talib: “Tidaklah turun musibah kecuali dengan sebab dosa dan tidaklah musibah diangkat oleh ALLAH kecuali dengan bertaubat.” - (Al-Jawabul Kafi, hal. 118).
Mengenai mereka yang ditimpa musibah di Makkah, semoga ALLAH mengampuni dosanya dan memasukkannya ke dalam syurga-Nya. Bagi yang cedera semoga ALLAH sembuhkan dengan segera. Amin.
IBRAHIM ABDULLAH
Kampung Salor, Kota Bharu
0 ulasan:
Catat Ulasan