Salam ceria.
Allah Maha Pemurah dan Maha Penyayang. Allah Maha segala-galanya. Allah utuskan kekasihNya Rasulullah yang sangat menyayangi umatnya. Rasulullah menerima wahyu pertama mengajak kepada menuntut ilmu. Menuntut ilmu itu pula kenalah semata-mata untuk Allah. Dalam hadisnya pula, baginda ada bersabda yang mengajak kita memasuki majlis-majlis ilmu. Ia umpama taman-taman syurga di dunia.
Majlis ilmu yang di dalamnya mengajak kepada rasa-rasa bertuhan dan menyeru kepada mendalamkan rasa-rasa kehambaan itu majlis Allah. Majlis ilmu yang mengajak kepada rindukan Rasul itu adalah majlis Rasulullah. Maka tak dapat tidak ada adab dan tatacaranya.
Ada adab zahir. Ada adab batin atau roh. Adab zahir nampak di mata. Adab roh di dalam hati. Allah sahaja yang mengetahui. Berbual dalam majlis Allah dan Rasul adakalanya melanggar adab. Datang lewat tanpa sebab juga tidak beradab. Keluar masuk tanpa alasan munasabah kurang beradab. Tidur dalam majlis lebih-lebih lagi tak beradab. Tak mencatat atau memberi tumpuan, dikira tak beradab. Adakalanya kita tersalah cakap. Tersilap menyampaikan ilmu atau fakta. Meninggi suara yang tak sepatutnya. Susahnya menjaga adab walaupun yang lahir-lahir.
Betapa lagi adab batin. Adab roh. Lebih-lebih lagi sukar menjaga dan mempertahankannya sepanjang majlis. Antaranya nak kekalkan rasa besarnya dan agungnya majlis Allah dan Rasulullah, bukannya mudah. Rasa sentiasa diperhatikan hingga ke lubuk hati. Rasa ada skrin cctv Allah yang besar memaparkan gerak hati kita. Rasa malu dan tak layak berada dalam Majlis Allah, Rasul dan orang-orang Allah. Rasa beruntungnya diberi peluang bersama-sama orang-orang Allah. Maka mudah saja kita tidak beradab dalam Majlis Allah. Lalai sesaat pun dikira tak beradab, betapa lagi hati terputus dengan Allah, Rasul dan orang-orangNya sepanjang majlis.
Tetapi Maha Penyayangnya Allah, setiap masalah ada jalan keluar. Disuruh menjaga adab tetapi Allah juga tahu, sudah pasti akan ada yang melanggarnya. Disuruh menyampaikan kebenaran tetapi dalam penyampaian kadang-kadang tersilap dan tersalah. Manusia itu sifatnya lemah dan lupa. Maka Allah beri jalan keluar. Maha baiknya Tuhan.
Umpamanya dalam majlis-majlis Allah dan Rasul sudah tentu kita terlanggar adab-adab walaupun sudah berusaha menjaganya, maka diberi jalan keluar dengan membaca tasbih kaffarah.
Ya, sebutan yang paling tepat adalah tasbih kaffarah. Ia bukan doa, maka tidak dianjurkan mengangkat tangan. Tetapi tidaklah menjadi kesalahan jika mengangkat tangan. Ia tasbih. Kaffarah itu ertinya penghapusan/penebus dosa. Bukan tasbih kifarah. Kifarah itu denda.
Daripada Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: “Sesiapa yang duduk dalam satu majlis, dan melakukan banyak salah dan silap, maka sebelum dia meninggalkan majlis itu dia menyebut:
سبحانك اللهم وبحمدك اشهد ان لا اله الا انت استغفرك واتوب اليك
(SUB HAA NA KALLAH HUM MA WABI HAM DI KA ASY HA DU AN LA ILA HA ILLA ANTA ASTAGH FI RU KA WA ATU BU ILAIK)
maka diampunkan segala dosa yang telah dilakukan sepanjang dia berada dalam majlis itu”
Daripada Abu Barzah Aslami RA berkata: Rasulullah SAW pernah menyebut di akhir usia baginda apabila baginda hendak bangun meninggalkan sesuatu majlis:
سبحانك اللهم وبحمدك اشهد ان لا اله الا انت استغفرك واتوب اليك
SUB HAA NA KALLAH HUM MA WABI HAM DI KA ASY HA DU AN LA ILA HA ILLA ANTA ASTAGH FI RU KA WA ATU BU ILAIK…
Maka berkata seorang lelaki: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya engkau telah menyebut suatu ucapan yang mana tidak pernah engkau ucapkan sebelum ini. Bersabda Rasulullah SAW: “Ia merupakan kaffarah (penebus dosa) terhadap apa yang berlaku dalam majlis”
Di riwayatkan daripada Aisyah RA bahawa apabila baginda bangun daripada majlis, baginda akan membaca:
SUB HAA NA KALLAH HUM MA WABI HAM DI KA ASY HA DU AN LA ILA HA ILLA ANTA ASTAGH FI RU KA WA ATU BU ILAIK…
Saya bertanya: “Kenapa tuan sering membaca doa ini?”
Baginda menjawab: “Sesiapa yang membaca doa ini pada penutup majlis maka akan di ampunkan kesilapan-kesilapan yang berlaku dalam majlis tersebut.”
Hadis dikeluarkan oleh Imam Tirmizi dari Abi Hurairah dan beliau mengatakan hadis ini hasan sohih. Imam Abu Daud juga ada mengeluarkan hadis yang sama makna dengan hadis ini dari beberapa orang sahabat.
Marilah kita sama-sama amalkan tasbih kaffarah ini dengan bacaan yang betul seperti terdapat dalam Hadis. Jika ingin merubahnya, mungkin ada kelonggaran pada gantinamanya sahaja jika dibaca oleh Pengerusi Majlis seperti daripada استغفرك kepada نستغفرك dan daripada اتوب kepada نتوب. Tidak lebih dari itu.
Membaca Surah Al-Asr sebelum mengakhiri suatu majlis pula diambil dari amalan para sahabat Nabi SAW:
Imam At-Thabrani telah menyebutkan daripada Ubaidillah bin Hafs berkata:
“Dua orang sahabat Rasulullah SAW apabila mereka berjumpa, mereka tidak pernah berpisah melainkan salah seorang membaca Surah Al-Asr sehingga akhirnya, kemudian mereka saling memberi salam antara satu sama lain”.
Membacanya dalam Bahasa Melayu dengan penghayatan akan memberikan kita kekuatan untuk mengamalkan sikap sentiasa berpesan-pesan, sentiasa ingat mengingatkan tentang kebenaran dan kesabaran sesama kita.
Wallahu a’alam.
Rumah Poligami GISBH, Cheng, Melaka.
1.50am, Feb 7, 2016.
KREDIT : ANJANGMUOR
0 ulasan:
Catat Ulasan