Apakah Berkat?
Berkat diambil daripada perkataan Arab iaitu “ BARAKAH ~ بركة “ . Dan perkerjaan “ mengambil berkat “ pula dikenali sebagai “ TABARRUK ~ تبرك “.
Oleh itu “ berkat “ ini ialah : BAHAGIA, BERUNTUNG, BERTAMBAH & BERKEMBANG .
Ar-Raghib Al-Isfahani mendefinasikannya sebagai :
البركة : ثبوت الخير الإلهي في الشيء
Ertinya : “ Keberkatan itu ialah tetapnya kebaikan Ilahi di dalam sesuatu “.
Maka jelaslah “ MENGAMBIL BERKAT “ pula ialah : “ Mengharapkan datangnya kebaikan daripada Allah Ta’ala dari sesuatu yang dipercayai mempunyai nilai-nilai keberkatan “.
KEBERKATAN DI DALAM BELAJAR :
~ Sedikit yang dipelajari dengan ikhlas kerana Allah Ta’ala, membuahkan lagi ilmu-ilmu lain.
~ Secocok dengan ajaran Allah Ta’ala dan Rasul-Nya (saw).
~ Ianya membuahkan amal seterusnya iman.
~ Ianya merangsangkan lagi minat beribadat.
~ Ilmu yang disalurkan, dikembangkan pula oleh generasi selepasnya.
KEBERKATAN DI DALAM BERAMAL & BERIBADAT :
~ Amalan yang diamalkan itu mencelikkan hati sehingga dapat melihat kebesaran dan keagungan Allah. Amalan itu dapat dibuat dengan rasa hati yang khusyuk dengan Allah, rasa rindu dengan Nabi SAW iaitu kekasih Allah yang sangat berusaha berjuang berkorban menyampaikan risalah Allah kepada kita.
~ Amalan itu IKHLAS kerana Allah Ta’ala.
~ Amalan itu membuahkan hasil yang selari dengan kehendak Islam.
~ Terasa manisnya beribadat.
~ Lahirnya ibadat itu setelah mempelajari Sunnah Baginda s.a.w.
KEBERKATAN MASA :
~ Masa ketika berada semajlis dengan orang soleh atau majlis ilmu atau majlis zikir.
~ Berdoa di saat menjelangnya Subuh ( 1/3 daripada malam ).
~ Makbulnya doa di antara Azan dengan Iqamah.
~ Makbulnya doa di antara Azan Jumaat dengan selesainya khutbahnya.
~ Makbulnya doa khasnya di musim Ramadhan dan terutamanya di 10 hari-hari terakhirnya.
~ Makbulnya doa ketika melakukan Ibadah Haji khasnya ketika melakukan Wuquf di Arafah.
KEBERKATAN TEMPAT :
~ Tempat yang pernah dijejaki orang soleh, pernah dihuni padanya orang-orang yang zuhud, berzikir, membaca Al-Quran dan sebagainya. Keberkatan taqwa mereka dan keberkatan amalan mereka menjadikan tempat yang pernah mereka tempati itu mendapat keberkatan.
~ Beribadat di ketiga-tiga masjid : Masjidil Haram di Mekkah Al-Mukarramah, di Masjid an-Nabawi di Madinah Al-Munawwarah dan di Masjidil Aqsa di Palestin.
~ Berkatnya berdoa di Padang Arafah ketika Wuquf.
~ Berkatnya berdoa di Multazam, Di Safa & Marwah, Maqam Ibrahim, Telaga Zam-Zam dan sekitar kawasan haji.
KEBERKATAN PADA REZEKI DAN MAKANAN-MINUMAN :
~ Mengadap rezeki yang berkat sahaja pun sudah mendatangkan rasa syukur kepada Allah yang mengurniakan rezeki. Mencicip makan di lidah sudah menjadikan hati berterima kasih kepada semua orang yang terlibat menghasilkan makanan hingga ianya lazat dimakan.
~ Rezeki itu daripada sumber yang tidak haram dan tidak syubhat.
~ Rezeki itu sedikit dirasa, tetapi mencukupi keperluan.
~ Rezeki itu dengannya kita mampu membiayai keluarga dan menjaga kebajikan mereka menurut neraca syariat.
~ Rezeki itu tidak “ menggelapkan hati “ daripada cahaya Allah Ta’ala.
~ Rezeki itu tidak menyebabkan kita jauh daripada hidayah Allah Ta’ala.
~ Rezeki itu menyemarakkan lagi semangat untuk beribadat.
KEBERKATAN PADA USIA :
~ Usia yang ada dimanfaatkan untuk menegakkan perjuangan Islam.
~ Usia sedikit, tetapi mendatangkan manfaat yang besar – contohnya ulama’ silam, mereka mampu menghasilkan kitab-kitab yang berjumlah beratus-ratus jilid dan judul walaupun mereka tidak mampu hidup lama.
~ Usia itu memenuhi persoalan : “ Untuk apa kita dilahirkan ke dunia ini ? “.
Kerana keberkatan itu sendiri adalah urusan ibadat, maka sudah semestinyalah ianya ditentukan oleh MAHA PENGATUR SYARIAT iaitu Allah Ta’ala dan diterangkan pula oleh utusan-Nya iaitu Baginda Rasulullah s.a.w/
KEBERKATAN BERSALAMAN:
Bersalam dengan pemimpin dan orang soleh: Keberkatan yang melahirkan ukhuwwah dan merapatkan lagi hubungan hati sesama muslimin. Hubungan hati antara pengikut dengan pemimpin, antara murid dengan guru, antara orang berdosa dengan orang soleh mendatangkan mahabbah dan kasih sayang di dalam hati. Salam mengambil keberkatan orang yang lebih mulia daripada kita. ianya mendorong perasaan merendah diri, tawadhuk, rasa bertaubat dari dosa, mendorong untuk taatkan pemimpin, mendorong untuk membaiki diri dan sebagainya.
Dan dengan kuatnya hubungan sesama muslimin, sudah pasti agama Allah Ta’ala itu lebih mudah diperjuangkan dan ditegakkan di atas muka bumi ini.
0 ulasan:
Catat Ulasan