Social Icons

Isnin, 2 Mei 2016

Islam, Iman Dan Ehsan - Muslim, Mukmin Dan Muhsin

Islam adalah agama yang mengajar manusia apa yang tidak diketahui. Al-Quran memecahkan kegelapan dunia dengan cahayanya, menunjukkan kebaikan dan kejahatan supaya jelas dan terang petunjuk daripada Ilahi ke seluruh alam.

Ciri orang mulia sentiasa mencari jalan menuju Tuhan - memulakannya dengan ilmu

KETIKA membincangkan mengenai makrifat seorang hamba kepada Allah , Al-Imam Ibnul Jauzi dalam kitabnya Shaydul Khatir berkata:

"Alangkah ramainya orang alim dan orang yang zuhud tidak dianugerahi makrifat, kecuali mereka memiliki makrifat seperti orang awam atau kutu lepak. Boleh jadi alangkah ramainya orang awam yang dianugerahi makrifat, sesuatu yang tidak dikurnia kepada orang alim dan orang zuhud padahal mereka sudah berusaha sekuat tenaga untuk mendapatkannya. Makrifat ialah anugerah Allah yang dilimpahkan kepada siapa saja yang dikehendaki-Nya."

Renungan mendalam yang cuba diungkapkan Al-Imam Ibnul Jauzi ini menakutkan kita yang diberi gelaran pelajar dan terpelajar, ulama, cerdik pandai dan ilmuwan. Bukankah semakin tinggi ilmu yang dituntut akan semakin dekat seseorang itu kepada Allah .

Tetapi mengapa al-Quran menyindir orang yang diberi al-Kitab tetapi lupa diri melalui firman-Nya yang bermaksud:

"Mengapa kamu suruh orang lain (mengerjakan) kebaikan, sedang kamu melupakan diri (kewajipan) mu sendiri, padahal kamu membaca al-Kitab? Maka tidaklah kamu berfikir?" (Surah Al-Baqarah, ayat 44)

Walaupun begitu tidak boleh dinafikan salah satu punca seseorang mendapat makrifat ialah ilmu mengenai Allah . Tidakkah kita berasa peningkatan iman yang ketara selepas mengkaji ilmu Islam secara lebih mendalam?

Benarlah sabda Baginda SAW yang bermaksud:

"Apabila Allah menghendaki kebaikan kepada seseorang maka Ia memberinya kefahaman mengenai agamanya." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Agama Islam sudah diajarkan dengan begitu sempurna oleh Baginda SAW sehingga melahirkan generasi bukan hanya bijak dan pandai tetapi hidup jiwanya dan terang mata hatinya seperti pernah diriwayatkan mengenai al-Harith bin Malik al-Ansari ketika beliau bertemu Rasulullah SAW.

Lalu Baginda bertanya kepadanya: "Wahai Harith, bagaimana keadaan iman kamu pada hari ini? Beliau menjawab: Hari ini saya beriman dengan sesungguhnya. Kemudian Baginda bersabda: Cuba tunjukkan hakikat kebenaran yang kamu katakan, kerana segala sesuatu tentu memiliki hakikat kebenaran, jadi apakah hakikat kebenaran imanmu? Beliau menjawab: Sungguh diri saya sudah jemu dengan dunia, sehingga malam hari saya habiskan untuk beribadah dan siang hari berpuasa sehingga seolah-olah saya melihat Arasy Allah dengan sangat jelas, saya melihat ahli syurga sedang kunjung mengunjungi dan penduduk neraka merintih menahan seksa. Kemudian Baginda bersabda: ìWahai Harith, kamu sudah mengetahui, maka istiqamahlah, (Rasulullah SAW mengulangi sabdanya sampai tiga kali)." Hadis riwayat Ibnu Hibban.

Selepas melalui proses didikan di bawah asuhan wahyu, akhirnya sahabat tadi mencapai kemuncak ketinggian ilmunya. Jemu dengan dunia maknanya apa yang diusahakan di dunia ini sudah pun dicapai dengan jayanya, bukan bermakna beliau membenci dunia bahkan menguasai dan memegang kendali dunia. Bagaimanakah cara mencapai apa yang diperoleh sahabat Al-Harith ini?

Hakikatnya orang yang menuntut ilmu mempunyai beberapa tingkatan bergantung dengan seberapa jauh penguasaannya mengenai agama ini. Jibrail pernah mengajarkan kepada Baginda SAW asas penting mengenai Islam, iman dan ihsan.

Tingkatan pertama berada pada kelas permulaan mendapat jolokan Muslim, kemudian disebutkan ciri iman maka orang yang menuntut pada peringkat ini masuk dalam kategori mukmin dan terakhir yang paling tinggi serta sempurna ialah muhsin iaitu mereka yang bersikap ihsan.

Orang muhsin berada pada peringkat ilmu tertinggi, memiliki perasaan halus mengenai Allah . Dia menjadi pendengarannya dengan itu ia mendengar, menjadi penglihatannya dengan itu ia melihat dan menjadi tangannya dengannya ia memukul dan menjadi kakinya dengannya ia berjalan.

Satu lagi sifat mulia pada diri seorang yang ihsan ialah rasa diawasi Allah . Bayangkanlah bagaimana jika seseorang mengawasi kita, pasti rasa terkongkong, terpenjara dan menderita tetapi berlainan dengan rasa diawasi Allah , ia menjadi suatu kenikmatan yang tidak dapat diungkapkan oleh kata-kata.

Rasulullah bersabda yang bermaksud:

"Kamu menyembah Allah, seolah-olah kamu melihat Allah , jika kamu tidak melihat-Nya sesungguhnya Dia melihat kamu." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Tingkatan ilmu inilah yang disebut ahli makrifah. Antara ciri orang yang diberi makrifah oleh Allah ialah berminat mencari jalan menuju Allah , dekat di sisi-Nya dan mengharap reda-Nya. Jalan menuju Allah mestilah dengan mencari ilmu, meneroka rahsia al-Quran, mengambil petunjuk hadis Rasulullah SAW.

Jika seseorang sudah meningkat kefahamannya mengenai agama, akan lahir satu perasaan halus memujuk jiwanya supaya beralih minat daripada unsur berorientasi duniawi kepada bisikan Allah yang menguasai diri.

Anda akan merasai ketenangan apabila berzikir, juga kepuasan ketika mencapai ketinggian ilmu, bahkan kenikmatan apabila menambah yang wajib dengan amalan sunat. Ibadah bukan lagi bebanan berat bahkan cara untuk merehatkan jiwa dan raga. Sudahkah kita mencapai peringkat ini?

Untuk melonjakkan diri kita ke tingkat iman lebih tinggi, sewajarnya kita tidak berehat terlalu lama meninggalkan majlis ilmu, bagaimana mungkin kita meninggalkan proses belajar ilmu yang mengungkap rahsia khusyuk solat.

Ilmu rahsia mengenal Allah melalui ayat-Nya, ilmu mencintai dan membela Rasul SAW, ilmu mengenai akhlak yang mengajar kaedah bermuamalah dan toleransi sesama insan, ilmu jiwa yang mengungkap sifat reda, sabar, tawakal, khauf dan raja', supaya kita boleh mengawal emosi yang mempermainkan hati.

Ilmu mengenai Ilmu mengenai jemaah Islam seperti yang ditunjukkan oleh Rasulullah saw. Bagaimana Baginda saw menyampaikan amanah yang mengajak kita bertanggungjawab sebagai seorang bapa, ketua memimpin manusia dan anggota masyarakat yang sedar kewajipan amar makruf nahi mungkar. Islam menyediakan segala-galanya yang diperlukan manusia supaya dia boleh berdiri sebagai khalifatullah - sebagai abid dan pejuang membela Allah dan Rasul di zaman mana pun mereka berada. 

Wahyu pertama turun ialah suruhan membaca yang harus dilanjutkan dengan mengkaji, memahami, mendalami, menghayati, beriman, kemudian mengamalkan juga bersabar untuk terus istiqamah, akhirnya membela apa yang diimani itu sehingga Allah reda ke atas diri kita.

Begitulah proses perjalanan makrifah seorang hamba. Mungkin kita masih berada pada salah satu mata rantai daripada proses itu, entah naik entah turun. Ramai orang yang sudah sampai pada peringkat iman tetapi kurang sabar akhirnya jatuh kembali ke bawah.

Racun duniawi nyata memberi perlawanan hebat untuk menghancurkan binaan iman yang lama kita perjuangkan. Sekuat apapun usaha untuk mendapat makrifat, tidak akan dapat mampu dimiliki melainkan atas kehendak Allah .

"Ya Allah kuserahkan jiwa ragaku. Sebagaimana Engkau jadikannya sebagai milik-Mu maka jadilah Engkau sebagai walinya yang merahmati, menunjukkan dan menjaganya daripada kejahatan diriku sendiri."

KREDIT SUMBER: CAHAYA MUKMIN

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Sample text

Sample Text

Sample Text