Social Icons

Isnin, 17 November 2014

Info Menarik!! - Rahsia Waktu Senja

Rahsia Waktu Senja
Oleh: Dr Mahyuddin bin Ismail, Pensyarah Kanan Kolej Antarabangsa IKIP

Senja merupakan waktu peralihan antara siang dan malam. Allah telah menjadikan aturan yang khusus buat makhlukNya pada kedua-dua waktu yang tersebut. Waktu siang adalah waktu untuk manusia bekerja dan mencari rezeki manakala waktu malamnya pula adalah waktu untuk beristirehat dan tidur. Firman Allah Taala dalam surah An Naba’ ayat 10-11: ”Dan Kami telah menjadikan malam (dengan gelapnya) sebagai pakaian (yang melindungi), dan Kami telah menjadikan siang (dengan cahaya terangnya) sebagai masa untuk mencari rezeki.”

Jika siang adalah waktu untuk manusia keluar mencari rezeki, maka waktu malam pula merupakan waktu di mana jin dan syaitan berkeliaran untuk menjalankan kegiatan mereka. Justeru, tidak hairanlah jika pusat-pusat maksiat seperti kelab malam, rumah pelacuran, disko, fun fair, pusat judi, konsert hiburan dan karaoke aktif pada sebelah malam. Begitu juga dengan aktiviti merempit dan lumba kereta lebih hangat di sebelah malam. Menyedari bahayanya godaan dan gangguan pada malam hari, Nabi Muhammad SAW mengingatkan umatnya dengan sabda Baginda: “Sekiranya manusia mengetahui apa yang aku ketahui, nescaya mereka tidak akan berani berjalan sendirian di malam hari.”

Waktu senja merupakan waktu permulaan bagi malam. Pada waktu ini, syaitan akan keluar berkeliaran. Antara tabiat syaitan ialah mereka suka berada di antara dua situasi atau dua keadaan. Contohnya antara siang malam dan siang, antara teduh dan panas terik, antara sejuk dan dingin, antara hujan dan panas. Nabi Muhammad SAW melarang seseorang untuk duduk antara kawasan teduhan dan kawasan yang disinari cahaya matahari. Begitu juga larangan orang-orang tua agar jangan bermain hujan panas kerana dipercayai mudah terkena penyakit demam panas. Syaitan juga suka berada di antara seorang lelaki dan seorang wanita (bukan mahram) yang duduk berdua-duaan.

Jika dianalisa lebih mendalam, lautan yang terletak di pertemuan antara dua arus menjadi lokasi pilihan syaitan dan iblis untuk membina istananya. Kepercayaan bahawa Segitiga Bermuda dan Segitiga Formosa (iaitu kawasan yang selalu berlaku kehilangan kapal laut dan pesawat secara misteri) sebagai kawasan yang dikuasai oleh kerajaan jin mungkin ada benarnya. Kajian sains menunjukkan kedua-dua segitiga tersebut merupakan kawasan pertemuan antara arus air hangat dan air yang dingin. Di dalam Shahih Muslim, Nabi SAW bersabda “Sesungguhnya iblis meletakkan singgahsananya di atas air. Kemudian dia mengutuskan para tenteranya (untuk memfitnah manusia). Di antara para tentera itu, mereka yang memiliki kedudukan yang paling hampir dengannya ialah yang paling hebat dalam membuat fitnah.”

Ibnu Qayyim Al Jauzi berkata, senja ialah waktu yang paling disukai syaitan. Pergerakan syaitan pada malam hari lebih hebat berbanding di siang hari. Sebab kegelapan malam memberikan kekuatan kepada mereka. Selain kegelapan, warna hitam turut memberikan kekuatan kepadanya. Pemuja-pemuja syaitan kebiasaannya memakai panji dan pakaian berwarna hitam. Rasulullah SAW juga menyuruh agar membunuh anjing berwarna hitam yang mempunyai titik putih di atas mata kerana ia adalah syaitan.

Jika waktu pagi adalah waktu manusia berpusu-pusu keluar untuk bekerja, maka waktu senja adalah waktu untuk syaitan dan jin keluar berpusus-pusu untuk menjalankan operasi mereka. Bagi menghindari dari diganggu oleh makhluk yang berkeliaran ini, maka Islam menetapkan beberapa ketentuan yang boleh dijadikan sebagai panduan keselamatan.

1. Menahan kanak-kanak dari berada di luar rumah pada waktu senja

Ibnu Hajar Al Asqalani dalam kitab Fathul Bari mengatakan bahawa antara hikmah Rasulullah SAW melarang anak-anak bermain di luar rumah pada waktu senja ialah kebimbangan terhadap keselamatan mereka dari gangguan syaitan. Pada saat itu, kotoran-kotoran dan najis-najis yang sangat disukai oleh syaitan biasanya masih melekat pada diri anak-anak ketika mereka leka bermain. Kanak-kanak juga tidak membentengi diri mereka dengan amalan-amalan zikir yang boleh mencegah gangguan syaitan terhadap mereka. Ketika syaitan-syaitan berkeliaran, biasanya mereka akan bergantungan pada apa sahaja yang boleh mereka jadikan gantungan. Kerana itu dibimbangi terjadi hal-hal yang tidak diinginkan pada anak-anak itu.

Dari satu aspek lain, kanak-kanak terutamanya yang belum mumayyiz memiliki hati yang bersih dari dosa dan tiada hijab. Oleh sebab itu, kebiasaannya kanak-kanak dapat melihat makhluk-makhluk halus atau merasai tindakan makhluk tersebut. Nabi SAW bersabda: “Setiap anak Adam ketika lahir ditusuk di kedua tepi badannya oleh syaitan dengan jarinya kecuali ‘Isa ibni Maryam, syaitan hendak menusuknya tetapi hanya berjaya menusuk uri (ibunya).” Kerana itulah bayi yang baru lahir dapat merasai tusukan tersebut lalu menangis. Tidak hairan juga jika ada bayi-bayi yang menangis di waktu senja atau tengah malam kerana diganggu oleh makhluk-makhluk ini. Untuk mengelakkan masalah ini dari terjadi, maka ibu bapa dan ahli kelurga seharusnya menahan anak-anak dari keluar dan mengunci pintu sebelum masuk waktu senja.

Selain kanak-kanak, Islam juga melarang penganutnya membiarkan ternakan mereka berkeliaran di waktu senja. Di kalangan jin dan syaitan, mereka juga mempunyai haiwan ternakan. Boleh jadi dibimbangi haiwan ternakan manusia ini akan dirosakkan oleh jin yang menyerupai anjing atau oleh haiwan ternakan jin itu sendiri.

2. Menutup bekas minuman dan makanan ketika waktu malam

Waktu malam adalah waktu di mana syaitan dan jin giat beroperasi. Mereka akan memasuki segenap ruang termasuk kediaman manusia sama ada untuk menggoda atau menumpang makan. Sabda Nabi Muhammad SAW dalam Shahih Muslim:” Apabila seorang itu memasuki rumahnya dan mengingati Allah (dengan membaca Bismillah) ketika memasukinya dan ketika ingin makan, maka syaitan akan berkata kepada golongannya: “Kalian tidak memiliki tempat untuk bermalam dan tidak juga makanan malam. Sebaliknya apabila seorang itu memasuki rumah dan tidak mengingati Allah ketika memasukinya, syaitan berkata kepada golongannya: “Kalian telah mendapat tempat bermalam.”

Perintah Rasulullah SAW agar menutup bekas air dan makanan ada asasnya. Penemuan sains dan perubatan moden menunjukkan bahawa makanan atau minuman yang terdedah akan mudah dimasuki kuman dan bakteria. Ianya boleh mengundang pelbagai penyakit dan kemudaratan kepada kesihatan manusia. Dalam memperkatakan perihal kuman, virus dan bakteria ini, Syeikh Rashid Ridha menyatakan: ”Dan Ahli ilmu kalam (Tauhid) berkata: Sesungguhnya jin itu adalah (makhluk Allah) yang hidup, bertubuh halus dan tidak boleh dilihat. Dan sesungguhnya di dalam kitab Tafsir Al Manar, telah kami nyatakan berkali-kali bahawa makhluk Allah yang hidup, bertubuh halus, yang dikenali di zaman ini sebagai mikroorganisma menerusi mikroskop, adalah sebenarnya satu jenis dari bangsa jin. Dan telah pun terbukti bahawa ianya merupakan antara punca bagi kebanyakan penyakit.”

Kebolehan jin, syaitan dan iblis memasuki tubuh manusia melalui salur darah telahpun diketahui oleh Rasulullah S.A.W. melalui sabda Baginda: ”Sesungguhnya syaitan itu bergerak bebas di dalam tubuh anak Adam melalui saluran-saluran darahnya.”

Virus dan bakteria adalah unsur luar yang tidak dikenali yang memasuki tubuh manusia sama ada melalui udara, air atau sentuhan pada kulit dan bergerak di dalam tubuh badan manusia melalui salur darah lalu menempati di sel-sel serta organ-organ dalaman. Ini adalah bersamaan dengan sifat kejadian jin yang halus dan boleh mengubah bentuk mengikut keadaan. Ia boleh memasuki tubuh manusia melalui rongga tubuh yang terbuka dan terdedah seperti mulut atau hidung mahupun liang-liang roma. Fakta ini mempunyai persamaan dengan hasil kajian perubatan moden yang mendedahkan punca bagaimana sesuatu penyakit yang merebak iaitu antaranya melalui udara, sentuhan mahupun makanan yang tercemar. Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a.: ”Jika seseorang dari kalian menguap, maka tutuplah mulut dengan tangannya kerana sesungguhnya syaitan masuk (ke dalam mulut yang terbuka).”

Begitu juga saranan agar menutup bekas makanan dan minuman agar tidak dimasuki kuman. Serangga dan haiwan melata seperti lipas, tikus, nyamuk, cicak dan lalat yang tinggal di tempat-tempat yang disukai jin seperti longkang, tandas dan tong sampah merupakan kenderaan yang menjadi tunggangan jin berbentuk virus. Apabila serangga begini menyentuh makanan yang tidak ditutup maka mereka akan memindahkan virus tersebut kepada makanan. Dan serangga-serangga ini kebanyakkannya keluar di waktu senja iaitu saat syaitan keluar berkeliaran.

Dalam kitab Al Muwatta karangan Imam Malik, beliau mendengar riwayat bahawa Saidina Umar hendak pergi ke Iraq. Ka’ab al Ahbar menasihatkan kepadanya dengan berkata: “Wahai Amirul Mu’minin, janganlah engkau ke sana kerana di sana sembilan persepuluh sihir dan di sana juga ada kumpulan jin yang fasik serta wabak penyakit yang berjangkit.” Ianya jelas menunjukkan bahawa antara hikmah suruhan menutup bekas makanan adalah untuk menghindari mudarat penyakit yang berpunca dari gangguan jin melalui pemakanan.

3. Membaca Bismillah bagi menghalang syaitan masuk

Sifat kejadian jin dan syaitan sememangnya halus dan tiada berbentuk sebagaimana kejadian api. Walau bagaimanapun, keistimewaan ini mempunyai beberapa batasan. Antaranya ialah mereka tidak dapat menembusi sesuatu yang disebutkan nama Allah (Bismillah) padanya. Nabi Muhammad SAW bersabda yang diriwayatkan oleh Imam Muslim: “Dan kuncilah pintu-pintu kalian dan sebutlah nama Allah (dengan membaca Bismillah) kerana sesungguhnya syaitan tidak dapat membuka pintu-pintu yang dikunci (dengan menyebut nama Allah). Ikatlah bekas-bekas air kalian dan sebutlah nama Allah, tutuplah bekas-bekas makanan kalian dan sebutlah nama Allah, walau pun (tutupan) itu sekadar meletakkan sesuatu di atasnya dan matikanlah lampu-lampu pelita kalian.”

Selain makanan dan minuman, aurat manusia juga menjadi perhatian syaitan. Sesetengahnya menjadikan kemaluan manusia sebagai kediaman, dan sesetengah yang lain pula duduk bertenggek pada aurat yang terdedah seperti rambut, punggung dan dada wanita. Walaupun makhluk ini boleh melihat aurat manusia, namun penglihatan tersebut menjadi terhalang sekiranya manusia membaca doa-doa tertentu yang diwaridkan dari Rasulullah SAW. Sebagai contoh, doa masuk tandas sebagaimana hadis yang diriwayatkan dari Saidina Ali b. Abu Thalib bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Tabir antara mata jin dan aurat-aurat Bani Adam jika salah seorang di antara kamu masuk bilik mandi hendaklah ia mengucapkan Bismillah”. Begitu juga dengan aurat yang ditutup rapi semata-mata kerana Allah (bukan kerana fesyen) menyebabkan syaitan dan jin tidak dapat masuk. Maka disebabkan itulah Rasulullah SAW menyarankan umatnya agar berdoa dengan doa masuk tandas mahupun ketika hendak bersama dengan isteri. Amalan-amalan memagar dan mendinding rumah kediaman dengan menggantung pelbagai bahan azimat, menyelit kertas-kertas wafaq dan tangkal, atau menabur bahan-bahan tertentu yang kononnya boleh menghalang kemasukan makhluk halus adalah tipudaya syaitan sangat berbahaya. Makhluk yang ditugaskan untuk menjaga rumah itu adalah syaitan dan jin yang sebenarnya akan menimbulkan masalah dan huru hara dalam rumah di kemudian hari.

4. Memohon Perlindungan Allah dari angkara sihir dan bahaya malam

Oleh kerana amalan sihir melibatkan penggunaan syaitan dan jin, maka tidak hairanlah jika ada mangsa-mangsa sihir yang menjadi bertambah tenat dan meracau-racau terutama bila tibanya malam. Pada waktu malam, segala kejahatan mengambil peranan. Dalam surah al Falaq, Allah sendiri memberi peringatan khas kepada umat Islam agar sentiasa berdoa memohon perlindungan denganNya dari segala kejahatan: “Katakanlah (Wahai Muhammad); “Aku berlindung kepada (Allah) Tuhan yang menciptakan sekalian makhluk dari bencana makhluk-makhluk yang Dia ciptakan; Dan dari bahaya gelap apabila ia masuk; Dan dari kejahatan makhluk-makhluk yang menghembus-hembus pada simpulan-simpulan (dan ikatan-ikatan); Dan dari kejahatan orang yang dengki apabila ia melakukan dengkinya”.

Oleh yang demikian, kita sepatutnya mengisi waktu malam dengan amalan-amalan yang boleh mengundang rahmat dan keredhaan Allah seperti bersolat, berzikir, membaca Al Quran dan seumpamanya. Sekiranya rumah kita dipenuhi dengan lagu-lagu yang melalaikan, atau filem-filem yang mengandungi unsur khurafat dan tercela, atau aktiviti-aktiviti yang dimurkai Allah, maka serangan sihir mudah berlaku kerana kita telah gagal membenteng diri dan keluarga dengan perlindungan Allah.

5. Menjaga aurat terutama kepala ketika keluar rumah waktu senja

Waktu senja adalah waktu syaitan giat menghasut dan menggoda manusia. Mereka akan mencari ruang dan pintu yang boleh mereka tembusi pada tubuh manusia. Para ulama bersepakat bahawa otak manusia merupakan antara sasaran utama syaitan kerana itulah pengawalan segala aktiviti anggota tubuh. Kita mungkin pernah mendengar pesan orang-orang tua kita agar menutup kepala ketika keluar rumah pada waktu senja. Pesanan ini mungkin ada hikmahnya. Kita dapat perhatikan amalan orang-orang alim yang mendoakan kebaikan anak-anak dengan mengucup atau meniupkan doa pada ubun-ubun mereka. Amalan ini dilakukan dengan harapan agara ubun-ubun itu akan sentiasa mengilhamkan perkara-perkara baik untuk dikerjakan oleh anggota tubuh. Sebahagian lagi menyarankan agar kita menutup ubun-ubun dengan sesuatu agar ia tidak terdedah kepada bisikan syaitan yang suka meracuni hati dan fikiran manusia.

Kajian sains terhadap struktur otak manusia menemukan kebenaran ini. Menurut Prof Keith L. More, di dalam otak manusia terdapat satu bahagian yang dikenali sebagai frontal lobe yang menjadi pusat segala perancangan manusia. Sama ada perancangan itu baik atau jahat, ianya bermula dari situ. Menurut Sheikh Zahlun Najar dan Abdul Majeed Alzendanee, itulah ubun-ubun. (rujuk Al Islam keluaran Mac 2010). Allah telah pun menegaskan hal ini melalui firmanNya dalam surah al Alaq ayat 15-16 yang bermaksud: “Jangan sekali-kali berlaku derhaka! Demi Sesungguhnya jika ia tidak berhenti (dari perbuatannya yang buruk itu), nescaya Kami akan menyentap ubun-ubunnya (dan menyeretnya ke dalam neraka), (iaitu) ubun-ubun (orang) yang berdusta, yang bersalah.” Dalam surah Al Rahman ayat 41, Allah juga berfirman: “Orang-orang yang berdosa dapat dikenal dari tanda-tandanya, lalu dipegang dari atas ubun-ubun kepala dan kakinya (serta diseret ke neraka);

Menurut satu qaul dalam mazhab Shafii, seseorang yang tidak menutup kepalanya dengan suatu tutupan dianggap sebagai orang fasiq dan tidak bersifat adil. Boleh jadi, itulah sebab orang-orang tua dahulu menyarankan agar kita menutup kepala supaya syaitan tidak dapat meracuni fikiran kita.

6. Tidak membiarkan roh dan jasad lalai ketika tidur

Oleh kerana syaitan suka berada di antara dua keadaan, maka waktu tidur adalah antara waktu yang mudah untuk seseorang dimasuki syaitan. Ini kerana waktu tidur terletak antara hidup dan mati seseorang sebagaimana sabda Nabi SAW: “Tidur itu saudara mati.” Oleh yang demikian, ketika manusia tidur dalam keadaan lalai, maka mudahlah syaitan menerjah masuk ke dalam mimpi dan perasaannya. Adakalanya orang yang tidur akan mengalami mimpi-mimpi yang menakutkan hasil serangan syaitan itu tadi. Begitu juga dengan orang yang suka tidur di waktu senja menjelang maghrib. Mereka akan mengalami kecelaruan fikiran tatkala bangun dari tidur. Memang tiada dalil yang melarang seseorang tidur selepas asar. Tetapi apabila diperhatikan kepada bahaya membiarkan jasad dalam keadaan separuh sedar di saat syaitan berkeliaran, maka sesetengah ulama melarang seseorang dari tidur selepas asar. Sesetengahnya berpendapat sekiranya dilakukan 40 hari berturut-turut boleh menyebabkan jadi gila (Dalam bahasa arab, orang gila disebut ‘Majnun’ yang bermakna ‘orang yang dimasuki jin’). Besar kemungkinan ini disebabkan oleh penguasaan syaitan terhadap otaknya.

Dalam kitab Mishkatul Masabih ada disebutkan: “Tidur sedikit di waktu tengahari tidaklah dikeji. Rasulullah saw ada juga melakukannya. Ini dapat mengimbangi kekuatan tubuh badan setelah bertahajjud di malam hari.” Ibn Qaiyim menambah:”Tidur di siang hari amat dikeji kerana ia akan mewarisi penyakit kebengkakkan (muka kelihatan sembab dan tidak bercahaya) malapetaka, merosakkan warna kulit, menimbulkan penyakit radang limpa, melemahkan urat saraf dan melemahkan syahwat. Sekeji-keji tidur ialah ketika awal hari (matahari terbit) dan terlebih keji lagi ialah tidur di akhir siang hari (selepas Asar).”

Bagi seseorang yang terpaksa keluar ketika mana para syaitan sedang berkeliaran mencari mangsa, maka pendekatan yang harus dilakukan ialah dengan mengamalkan apa yang ditunjuki oleh Nabi SAW iaitu:
(1) berdoa mohon perlindungan dari kejahatan jin dan syaitan,
(2) pastikan diri dalam keadaan suci dari hadas,
(3) hati dan fikiran kena selalu berzikir ingat kepada Allah,
(4) tidak keluar bersendirian kecuali ditemani seorang mahram,
(5) menjauhi dari melalui kawasan-kawasan gelap atau sarang maksiat,
(6) menutup aurat terutama bahagian kepala.

-Husaini-
KREDIT SUMBER

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Sample text

Sample Text

Sample Text