Penyakit ego adalah penyakit hati. Ianya penyakit maknawi. Ego adalah virus terkeji yang tidak dapat dilihat melalui mata walaupun mikroskop. Ego hanya dapat dirasakan kewujudannya melalui tingkah laku sombong, bangga diri dan takabur pada diri manusia yang ego.
Penyakit ego hanya boleh dirawat dengan disiplin ilmu tasauf kerana hanya ilmu tasauf yang mempunyai kaedah merawat penyakit hati. Kaedah ilmu tasauf ialah melalui tafakkur (berfikir dan merenung), bermujahadah melawan nafsu yang mengajak diri untuk bersikap sombong dan sebagainya. jalannya banyak, panjang dan berliku.
Secara ringkasnya, berikut dinyatakan langkah-langkah yang patut dilakukan:
Mula-mula gunakan fikiran untuk fikir tentang nasib orang yang sombong! Iblis tercampak ke neraka walaupun dia ketua segala malaikat. Begitu juga nasib diktator dan penyombong-penyombong lainnya di dunia ini, mana ada yang baik-baik? Semuanya mati dalam kehinaan, semua tinggal seorang diri.
Orang benci, orang kata dan orang pulaukan. Walaupun depannya orang mengangguk-angguk. Siapa suka begitu? Kalau begitu kenapa menyombong diri? Kehebatan kita sementara saja. Boleh jadi dia tinggalkan kita sebelum kita tinggalkan dia. Berapa banyak orang kaya jatuh papa kerana kekayaan diragut oleh kebakaran, banjir. Berapa banyak kejadian peniaga jadi bangkrap dan diisytiharkan muflis. Berapa ramai menteri yang masih muda tapi sudah jatuh dari jawatannya.
Bila-bila masa saja Allah boleh hantar penyakit-penyakit bahaya pada kita. Bila-bila masa saja Allah boleh miskinkan kita kalau Allah mahu. Sepatutnya kita takut dengan Allah. Bila terbuat perangai sombong segeralah taubat. Jangan sampai Allah murka. Macam-macam boleh jadi nanti. Berani melawan Allah? Namrud konon nak lawan Allah, baru nyamuk masuk telinga terus ke kepala, bermain-main dalam otaknya. Itupun sudah tewas, terus mati masuk neraka. Firaun yang sombong mengaku Tuhan, maka Allah belah lautan, tenggelamlah ia. Mati dek air, jadi bangkai yang tercampak.
Apalah dibanggakan kehebatan kita itu. Dia tidak menyelamatkan kita malah mungkin kalau salah gayanya, sebab nikmat itu boleh jatuh di dunia apalagi di akhirat ... jatuh neraka hidup menderita.
Kita kan asal dari setitis mani, air mani tu kan hina? Kalau jatuh ke air, itik pun tak sudu, di daratan ayam tak patuk. Maka kalaulah kita mahu sedar diri, patutnya kita selalu menghinakan diri kita dan merasa hina untuk Allah, sehina air mani.
Kemudian bermurah hati dengan manusia. Hiburkan manusia sebagaimana kita suka dihiburkan. Barulah orang suka dengan kita. Katakan selalu pada diri: "Wahai diri, engkau bagaikan sampah yang selalu menyusahkan orang. Bila-bila masa Allah boleh buangkan engkau dalam bakul sampah-Nya iaitu Neraka Jahanamn."
Sebagai tambahan ubat sombong ini amalkanlah ayat Quran ini tiap-tiap hari.
Terjemahannya: Sesungguhnya pohon zaqqum itu makanan orang yang banyak dosa, (ia) sebagai kotoran minyak yang mendidih di dalam perut, seperti mendidihnya air yang sangat panas. Peganglah dia kemudian seretlah dia ke tengah-tengah neraka. Kemudian tuangkanlah di atas kepalanya seksaan (dari) air yang sangat panas. Rasakanlah, sesungguhnya kamu orang yang perkasa lagi mulia. Sesungguhnya ini adalah azab yang dahulu selalu kamu meragu-ragukannya. Sesungguhnya orang yang bertaqwa berada dalam tempat yang aman (iaitu) didalam taman-taman dan matair-matair, mereka memakai sutera yang halus dan sutera yang tebal, (duduk) berhadap-hadapan, demikianlah. Dan Kami berikan kepada mereka bidadari. Mereka tidak akan merasakan mati di dalamnya kecuali mati di dunia. Dan Allah memelihara mereka dari azab neraka sebagai kurnia dari Tuhanmu. Yang demikian itu adalah keberuntungan yang besar. Sesungguhnya Kami mudahkan Al Quran itu dengan bahasamu supaya mereka mendapat pengajaran. Maka tunggulah, sesungguhnya mereka itu menunggu (pula). (Surah Ad Dukhaan : 43 - 59)
Dan selawatlah pada Nabi sebanyak mungkin, setiap masa, sebagai ubat untuk melembutkan hati.
0 ulasan:
Catat Ulasan