Kisah ini adalah berkaitan HIJRAH UMMU SALAMAH KE HABSYAH. Selamat membaca mudah-mudahan kita semua akan mendapat manfaat.
ETHIOPIA YANG DULUNYA HABSYAH.
Dilahirkan sebagai Hind binti Huhayfah ibn al-Mugheerah al-Makhzoomi, berasal daripada kabilah yang mulia dan terkenal iaitu Makhzoom, Ummu Salamah mengahwini ‘Abdullah ibn ‘Abdul-Asad juga dikenali sebagai Abu Salamah.
Pasangan bahagia ini adalah antara kumpulan pertama memeluk Islam dan dikatakan wanita yang pertama berhijrah ke Habsyah. Apabila penentangan ke atas kaum Muslimin di Makkah meningkat, Rasulullah SAW mengizinkan sahabat-sahabat baginda berhijrah ke Habsyah agar keimanan mereka tidak terus-menerus diasak.
Peristiwa ini berlaku pada bulan Rejab tahun ke-5 kenabian. Kumpulan ini terdiri daripada 12 orang lelaki dan 4 orang wanita. Mereka diketuai oleh `Uthman bin `Affan. Ruqayyah, puteri Rasulullah SAW dan Ummu Salamah turut bersama di dalam kumpulan ini.
Di Habsyah, mereka mendapat tempat kediaman yang lebih baik. Bagi seorang wanita, bukanlah sesuatu yang mudah mengembara ke tempat baru, dunia asing daripada tempat asal dan sanak-saudara. Tambahan pula ketika itu, terlalu sedikit maklumat yang diketahui mengenai Habsyah dan keadaan perjalanan yang bakal ditempuhi.
Ummu Salamah bersama suaminya, berhijrah ke Habsyah dengan bergerak dari Makkah ke kawasan persisiran pantai yang kini dikenali sebagai Jeddah. Dari situ mereka terpaksa menggunakan kapal laut belayar ke Habsyah, berlabuh di persisiran pantainya, sebelum meneruskan perjalanan menuju ke ibu kota Habsyah yang lebih jauh di pedalaman.
Pendek kata, penghijrahan pertama ini memaksa kaum Muslimin merentasi padang pasir di dua negara, di bawah panahan matahari terik, melalui lautan luas terbentang dan menyeberangi hutan-hutan Afrika sebelum sampai ke Kota Habsyah di mana Raja Najasyi bersemayam.
Perjalanan yang amat memeritkan. Bukan perjalanan percutian, sebaliknya sebuah perjalanan memohon perlindungan sementara bagi mengukuhkan iman ke atas agama yang baru berkembang.
Pulang Ke Makkah Bertahun
Ummu Salamah menetap sebagai imigran di Habsyah sehinggalah berita pengislaman Umar Al-Khattab dan Hamzah bin ‘Abdul Muttalib tiba kepada mereka dan menggembirakan mereka.
Kerinduan yang menggamit kepada tanah air memaksa Ummu Salamah dan suaminya mengambil keputusan pulang ke Makkah dengan harapan pengislaman dua tokoh utama kaum Quraisy berjaya mengurangkan kezaliman Abu Jahal dan konco-konconya ke atas Islam.
Apabila sampai di Makkah, rupa-rupanya kaum musyrikin Quraisy tidak sedikit pun mengurangkan penentangan mereka. Ummu Salamah ketika ini sudah mempunyai seorang cahaya mata bernama Salamah.
Rasulullah SAW kemudiannya menandatangani Perjanjian ‘Aqabah bersama kaum Ansar yang menjemput kaum Muslimin berhijrah ke Madinah. Rasulullah SAW menyeru kaum Muslimin supaya berhijrah ke Madinah.
Maka di sinilah bermula penghijrahan kali kedua buat Ummu Salamah. Ketabahannya dalam menyahut seruan hijrah demi mempertahankan iman, tidak dapat kita gambarkan dengan kata-kata. Emosi seorang wanita, ibu dan isteri yang dipisahkan daripada keluarga kerana agama yang dipertahankannya.
Ummu Salamah menceritakan: “Apabila suamiku Abu Salamah mengambil keputusan berhijrah bersama-sama Rasulullah SAW, dia menyediakan unta buatku dan anak lelakiku Salamah. Dia keluar mengepalai kami (keluar dari Kota Makkah). Apabila kaum lelaki dari Banu al-Mugheerah (kabilah keluarga Ummu Salamah) melihat suamiku, mereka menghalangnya dan berkata kepadanya “Kami tak boleh menghalang engkau pergi ke mana jua engkau mahu, tetapi tinggalkan saudara wanita kami (Ummu Salamah) ini di sini, kami tak boleh membenarkan dia di tanah asing.”
Mereka mengambil tali unta dari suamiku dan membawaku pergi darinya. "Apabila Banu ‘Abdul-Asad (kabilah keluarga Abu Salamah) pula mendengar akan hal ini, mereka menjadi marah dan berkata “Demi Allah, kami tidak akan benarkan anak lelaki Abu Salamah bersama Ummu Salamah kerana Banu al-Mugheerah telah merampas Ummu Salamah dari saudara lelaki kami. Mereka mengambil secara paksa anakku Salamah dariku."
Begitulah Banu ‘Abdul-Asad pergi membawa Salamah, Banu al-Mugheerah menjadikanku tawanan, dan suamiku meneruskan penghijrahannya kerana patuh kepada Rasulullah SAW. Begitulah mereka memisahkan aku, suamiku dan anakku.”
Tidak dapat digambarkan keperitan dan emosi bagi seorang wanita yang dipisahkan daripada keluarganya yang tercinta. Dipisahkan daripada anak yang kecil kerana tekanan kaum yang menentang Islam ketika itu.
Ianya perpisahan yang paling perit dalam perjuangan menuju kepada Allah, tetapi Allah tidak akan mensia-sia mereka yang berjuang di jalan-Nya melalui Surah al Kahfi ayat 30: Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh sudah tetap Kami tidak akan menghilangkan pahala orang-orang yang berusaha memperbaiki amalnya..”
Apakah kebenaran yang lebih besar daripada mengorbankan diri ke jalan Allah dalam apa jua bentuk yang kita mampu? Adakah kita telah mengambil pengajaran daripada kisah Abu dan Ummu Salamah?
Ummu Salamah seterusnya menceritakan : “Aku keluar setiap pagi dan duduk di al-Abtah (al-Abtah adalah sebuah bukit di Makkah, di mana beliau dipisahkan daripada suami dan anaknya, bermakna beliau menggagahkan diri keluar dari Kota Makkah melihat ke arah Madinah), dan aku akan menangis sehingga petang. Aku berkeadaan begini selama tujuh hari sehinggalah seorang sepupuku datang dan melihat air mataku berlinangan. Dia kemudiannya pergi kepada Banu al-Mugheerah (kabilahku) dan berkata “Tidakkah kamu sekalian mahu melepaskan wanita malang ini pergi? Kamu sekalian telah memisahkan dia daripada anak dan suaminya!
Banu al-Mugheerah kemudiannya berkata “Pergilah Ummu Salamah dan sertailah suamimu”. Banu ‘Abdul-Asad kemudiannya menyerahkan semula anak lelakiku kepadaku. Aku kemudiannya menyediakan kelengkapan untaku sendiri, memegang erat anak lelakiku dalam dakapan dadaku dan bersiap untuk ke Madinah. Tiada seorang pun bersamaku dan itulah saat yang paling sukar yang aku hadapi. Apabila aku sampai ke Tan’eem (sebuah tempat di luar Kota Makkah) aku terserempak dengan ‘Uthman ibn Talhah dari Banu ad-Dar. Dia bertanya kepadaku “Ke manakah kamu hendak pergi wahai anak perempuan Abu Umayyah?” Aku menjawab, “Aku ingin menyertai suamiku di Madinah.” Lantas dia bertanya lagi “Ada sesiapakah yang bersamamu?” Ku jawab, "Tiada. Demi Allah, hanya Allah dan anakku sahaja yang bersama ku.” Dia, ‘Uthman ibn Talhah berkata, “Demi Allah, kamu tidak akan pergi berseorangan.” Dia memegang cemeti untaku, dan menuntunnya. Demi Allah, aku tidak pernah berada dalam perlindungan seorang lelaki Arab sebaiknya. Apabila sampai ke tempat tertentu, dia akan menghentikan unta agar aku boleh berehat, dan dia akan pergi jauh dari ku berteduh di bawah pokok. Apabila masa untuk berangkat tiba, dia akan membawa unta kepadaku, beranjak sedikit dan memerintahkan ku “Naik!”. Apabila aku naik ke atas unta dan telah berasa selesa, dia sekali lagi akan memegang cemeti dan menuntun untaku. Begitulah keadaannya sehinggalah kami sampai ke Madinah. Apabila dia melihat perkampungan Banu ‘Amr bin Awf di Quba, dia mengatakan “Suamimu di kampung ini.” Dan benarlah, Abu Salamah berada di situ.”
Begitulah keluarga bertiga itu disatukan dengan ketabahan seorang wanita bernama Ummu Salamah. Keluarga itu kecil, tapi jihadnya terlalu besar dan bagaimana ia menjadi simbol kepada unit-unit kecil yang menjayakan hijrah, hijrah dari Makkah ke Madinah, berhijrah dari kejahilan kepada keimanan yang seterusnya berkembang ke seluruh pelosok alam.
Ummu Salamah, wanita di antara dua hijrah itu, keluar dari Makkah berseorangan, hanya ditemani anaknya yang masih kecil. Kepercayaan dan ketakwaan beliau kepada Allah, adalah dalam skala yang sukar kita gambarkan.
Dan Allah telah membalas kepercayaannya itu, dengan menemukan beliau kepada seorang pemandu yang berakhlak, ‘Uthman ibn Talhah yang masih belum memeluk Islam ketika itu. Pertemuan itu di Tan’eem, sebelum Ummu Salamah pergi lebih jauh ke tengah padang pasir yang kaya dengan bukit bukau dan lembah serta bukit pasir (sandunes) juga haiwan buas dan reptilia yang sentiasa menunggu mangsa.
Benarlah janji Allah dalam Surah At-Talaq ayat 2 dan 3: Maksudnya: “Sesiapa yang bertakwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya), nescaya akan diberikannya kelapangan (jalan keluar dari segala perkara yang menyusahkannya). Dan diberikannya rezeki yang tidak disangka-sangka. Dan (ingatlah), sesiapa yang bertawakal (berserah diri bulat-bulat) kepada Allah, maka dicukupkan baginya (keperluan untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala yang dikehendaki-Nya. Allah telah pun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.”
Maka jika kita masih di Makkah atau Madinah, atau jika kita akan ke sana suatu hari nanti menunaikan ibadat haji dan umrah, pandanglah Bukit Thur itu dengan suatu pandangan yang lebih bermakna. Itulah, titik tolak penghijrahan kita daripada yang batil kepada yang haq. Dan seinci pun, kita tidak akan berganjak ke belakang!
0 ulasan:
Catat Ulasan