Semua orang mahu hidup senang. Kalau pun tidak semua orang tetapi majoriti manusia mahu hidup senang. Kesusahan hidup telah dianggap sebagai musuh utama sehingga ada pihak yang isytihar perang terhadap kemiskinan. Begitulah takutnya manusia dengan kesusahan.
Sangkaan umum bahawa orang yang hidup senang tidak mengalami sebarang kesusahan adalah tidak tepat dan satu tanggapan yang silap.
Orang yang hidup senang juga mengalami berbagai kesusahan. Cuma bentuk kesusahannya sahaja yang berbeza. Tapi dari segi perasaan susah, tetap sama malah kadang-kadang perasaan mereka jauh lebih susah berbanding dengan orang yang hidupnya benar-benar susah.
Sepatutnya untuk menceritakan kesusahan orang senang, lebih terasa kalau orang yang senang itu bercakap sendiri. Orang lebih percaya daripada kita yang belum dan tidak pernah hidup senang. Tetapi dalam pengamatan, pengalaman dan penilaian kita terhadap realiti kehidupan orang senang, kita juga boleh dan dapat mengesan serta merasai kesusahan orang senang.
Sebagai contoh, kenapa berlaku perceraian di kalangan suami isteri yang terdiri daripada orang kaya, terkenal dan berkuasa?
Jika dilihat dari sudut harta, wang, kemewahan, glamour dan segala-galanya serba ada tentulah hidup mereka aman, damai, tenang dan bahagia. Tetapi kenapa berlaku juga sehingga bercerai berai?
Antara kesusahan orang senang ialah bagaimana untuk menjaga dan mengekalkan kesenangan mereka. Kadang kala menjaga dan mengekalkan kesenangan itu lebih sulit dan rumit berbanding untuk mendapatkannya. Itulah kesusahan mereka.
Pendek katanya seperti pepatah orang tua-tua, besar periuk, besar juga keraknya. Jadi kalau besar kekayaannya, besar juga keperluannya, berat juga tanggungan kesusahannya.
Janganlah anggap orang ada sejuta RM cukup untuk hidup berehat-rehat sepuluh dua puluh tahun tanpa kerja. Bila dah ada sejuta, hidup tentu berubah untuk sesuaikan dengan gaya jutawan. Gaya hidup baru itulah yang menyusahkan mereka pula.
Selain itu, kesusahan yang dihadapi orang senang juga seperti kurang masa dan kesempatan untuk bergaul dengan orang ramai, anak-anak terabai kasih sayang, rumahtangga bersengketa, tidak mesra jiran tetangga, kurang rapat dengan saudara mara dan sebagainya.
Kehidupan begini hakikatnya mengundang rasa benci dan iri hati manusia. Akibatnya mereka juga rasa tidak bahagia dan menderita kerana kurangnya perasaan kasih sayang yang sangat diperlukan oleh setiap jiwa manusia.
Kesimpulannya, kesusahan orang senang yang paling ketara ialah sukarnya untuk mereka mendapatkan kasih sayang manusia kecuali jika mereka mampu merendah diri, mengagihkan nikmat dan juga memberikan kasih sayang kepada orang lain terutamanya kepada golongan yang kurang bernaib baik.
KREDIT; BLOG BANDARTUA
KREDIT; BLOG BANDARTUA
0 ulasan:
Catat Ulasan