Apabila Ketua Hakim Negara, Ariffin Zakaria menangguhkan keputusan kes rayuan liwat Anwar Ibrahim yang sebelum ini disabitkan dengan hukuman lima tahun penjara ke suatu tarikh lain, persoalan yang menjadi teka-teki ramai ialah bilakah ia akan diumumkan dan apakah pula keputusannya.
Sementara pihak pembela dan pendakwa melahirkan keyakinan keputusan nanti akan memihak kepada mereka, orangramai juga mulai membuat telahan dan andaian masing-masing. Ada yang yakin Anwar akan didapati bebas dan ada juga yang merasakan sebaliknya.
Ariffin yang mengetuai panel lima hakim di Mahkamah Persekutuan membuat penangguhan itu selepas tidak sampai sejam mendengar hujah penutup oleh pihak pembela dan pendakwa pada petang Jumaat selepas bersidang sejak tujuh hari lalu.
Beliau berkata, memandangkan banyak fakta dikemukakan, pihaknya memerlukan sedikit masa untuk membuat penilaian dan keputusan akan dibuat di tarikh lain yang akan diberitahu kemudian.
Berbanding kes rayuan di Mahkamah Rayuan sebelum ini yang mana keputusan diumumkan pada hari yang sama pendengaran hujah kedua-dua pihak pendakwa dan pembela berakhir, penangguhan keputusan ini mengulangi seperti apa berlaku dalam Mahkamah Tinggi sebelum ini.
Tidak dipastikan berapa lamakah panel lima hakim ini memerlukan masa untuk menilai fakta-fakta yang dikemukakan sebelum membuat keputusan muktamad. Ia mungkin seminggu, dua minggu, tiga minggu atau lebih lama daripada itu.
Tetapi memandangkan pada 25 hingga 29 November ini akan berlangsung Perhimpunan Agung UMNO, adalah dijangkakan keputusan kes rayuan Anwar ini hanya akan diumumkan selepas tarikh tersebut.
Ini tidak bermakna kes rayuan ini berkait secara langsung dengan UMNO, namun apa pun keputusannya nanti tidak dinafikan akan mempengaruhi mood perwakilan dan pemerhati pada perhimpunan itu. Adalah dipercayai Najib selaku Presiden UMNO dan Perdana Menteri tidak bersedia untuk berdepan dengan keadaan yang sukar dijangka itu.
Pada tarikh keputusan diumumkan nanti juga, Anwar dijangka akan menggerakkan kekuatan penyokongnya dalam PKR dan PR untuk berhimpun serta bersolidariti sebagaimana yang dilakukannya ketika menunggu keputusan di Mahkamah Tinggi pada 2012 dulu.
Jika Anwar didapati bersalah dan dimasukkan ke penjara sekali lagi misalnya, risiko yang mungkin berlaku ialah adanya beberapa siri perhimpunan lagi di ibu negara bagi membantah keputusan itu. Walaupun polis dan pasukan keselamatan dipercayai boleh mengawalnya, tetapi bagaimana ia berakhir sukar sekali dijangka.
Dalam masa yang sama, berikutan siri perhimpunan itu, kesannya kepada simpati rakyat mungkin bercambah dalam diam umpama "api dalam sekam".
Naib Presiden PKR, Tian Chua sendiri sebelum ini memberitahu sekiranya Anwar didapati bersalah dan dipenjarakan, pihaknya akan mengadakan himpunan rakyat secara besar-besaran di Dataran Merdeka bagi menunjukkan bantahan rakyat terhadap keputusan itu.
Dalam situasi yang sama, di kalangan ahli dan pemimpin UMNO yang berkampung di PWTC sendiri, mungkin ada yang turut simpati dan meluahkan kesedihan dengan nasib yang menimpa Anwar dan keluarganya walaupun tidak dinafikan ramai juga yang gembira bila Ketua Pembangkang itu berehat di penjara.
Gangguan seperti ini pastinya akan membuatkan Najib merasa tidak selesa dan terganggu jiwanya.
Kiranya Anwar didapati tidak bersalah dan bebas pula, mood perwakilan dan pemerhati dalam Perhimpunan Agung UMNO tidak mustahil bertukar menjadi kecaman dan serangan terhadap Najib dan kerajaan kerana gagal menguruskannya dengan baik.
Kumpulan konservatif dalam UMNO yang suka melihat Anwar dipenjarakan, hanya semata-mata bersandarkan emosi, mungkin sekali menuding jari terus kepada kepada Najib atas pembebasan itu.
Malah, tindakan kerajaan melantik peguam terkenal, Shafee Abdullah mengetuai pasukan pendakwaan akan turut menjadi kecaman serta dianggap pembaziran wang kerajaan berbanding jika menggunakan pasukan biasa daripada Jabatan Peguam Negara.
Sama ada Anwar bebas dan bersalah, membiarkan keputusan Mahkamah Persekutuan diumumkan sebelum Perhimpunan Agung UMNO, tetap mengundang kesan negatifnya kepada Najib dan kerajaan.
Untuk menjadikan keadaan lebih selesa dan Najib tidak perlu terlalu serabut dengan dibebani isu Anwar, membiarkan keputusan itu dibuat selepas Perhimpunan Agung UMNO adalah situasi yang dianggap selamat dan wajar.
Sehubungan itu, adalah dijangkakan tarikh untuk membuat keputusan kes rayuan Anwar ini akan diumumkan sama ada pada bulan Disember atau awal tahun 2015 nanti. (SH 08/11/2014)
KREDIT UNTUK Shahbudin Husin
0 ulasan:
Catat Ulasan