Dari Blog HasrulHassan
Wanita Syurga - Srikandi Mulia di Sisi Rasulullah S.A.W - Hari ini saya ingin kongsikan sebuah artikel cukup menarik mengenai wanita syurga. Satu pengisian yang boleh dikongsikan kepada semua, baik untuk wanita mahupun lelaki. Bagi wanita, tentulah menjadi impian dan harapan untuk menjadi bidadari dan wanita syurga. Bagi lelaki, tentulah menjadi impian untuk berdamping dengan bidadari dan wanita syurga.
Dalam sirah Nabi Muhammad S.A.W telah terkandung kisah dan cerita mengenai wanita syurga ini. Mereka adalah srikandi mulia di sisi Rasulullah. Mereka merupakan wanita cukup hebat dalam dunia Islam. Dan sepatutnya muslimah di Malaysia malah satu dunia patut mencontohi srikandi-srikandi ini. Para muslimah pasanglah impian terhebat untuk berada di syurga Allah S.W.T. Dan buat lelaki, baik suami, ayah mahupun abang, pimpinlah wanita-wanita anda jalan yang lurus untuk berada di samping wanita-wanita syurga ini.
InSha Allah.
1) Wanita Syurga - Siti Khadijah a-Khuwailid rha. Siapakah wanita yang sanggup mendermakan seluruh hartanya pada saat semua orang enggan memberinya? Siapakah wanita yang darinya Rasulullah S.A.W mendapat zuriat keturunan? Siapakah wanita yang bijak meneguhkan hati seorang suami pada saat semua orang membencinya? Semua jawapan ini terhimpun pada Siti Khadijah a-Khuwailid rha. Terangkat kemuliaannya sebagai murabbiah paling terang daripada segenap gugusan bintang.
2) Wanita Syurga - Siti Aishah rha merupakan wanita pertama di hati Rasulullah S.A.W selepas Khadijah R.A. Wanita ini memiliki tujuh kelebihan yang tidak dimiliki wanita lain kecuali kelebihan yang diberikan Allah kepada Maryam binti ‘Imran. Aishah R.A lebih memilih kesederhanaan walaupun seringkali dilimpahkan kekayaan. Dia pernah membahagi-bahagikan 70,000 dirham wang perak padahal pada waktu yang sama dia menampal jahitan pakaiannya.
3) Wanita Syurga - Ummu Salamah rha. Siapa pula gerangan wanita tabah yang mekar berbapakan seorang tokoh Quraisy yang dermawan dan pemurah? Wanita ini dengan penuh kecekalan hati mendukung anak dari buaian lalu membawanya menaiki unta. Biarpun tiada sesiapa yang menemani perjalanan panjang yang melelahkan dan berisiko tinggi itu, namun si ibu tekad meneruskan perjalanan untuk menyusuli suaminya demi menyatukan kembali cinta tiga beranak itu di Madinah. Itulah Ummu Salamah. Tokoh wanita agung yang ternukil dalam Siyar A’lam Al-Nubala’ hasil nukilan Imam Al-Zahabi.
4) Wanita Syurga - Siti Fatimah rha. Suatu hari, Rasulullah S.A.W memberitahu Fatimah R.A bahawa dia bukanlah wanita pertama yang masuk ke syurga. Fatimah sangat sedih dengan perkhabaran itu dan cemburu kepada wanita tersebut. Fatimah tertanya-tanya, apakah amalan wanita itu sehingga beliau layak menjadi wanita pertama yang masuk ke syurga? Nekad untuk berjumpa dengan wanita yang bernama Muti’ah, Fatimah akhirnya diizinkan masuk ke rumah wanita itu pada hari ketiga lawatannya untuk menyelidik keistimewaan atau amalan wanita tersebut. Fatimah kagum dan terharu dengan layanan istimewa yang diberikan oleh Muti’ah kepada suaminya. Rasulullah memujuk Fatimah dengan mengkhabarkan Muti’ah ialah wanita yang akan menjadi penarik kudanya di syurga nanti. “Maka sebab itu dia akan masuk dahulu, namun hakikatnya engkaulah Fatimah wanita pertama yang masuk ke syurga,” Rasulullah memujuk sambil memandang Fatimah dengan penuh kasih.
5) Wanita Syurga - Zainab binti Khuzaimah rha. Terdapat seorang isteri Rasulullah S.A.W yang tidak berkesempatan meriwayatkan sebarang hadis kerana singkatnya hidup bersama Baginda. Walaubagaimanapun beliau tidak pernah menyembah berhala kerana keislamannya sejak dalam buaian lagi. Muslimah ini telah menyaksikan perjuangan Islam dan cabaran-cabarannya sejak awal kemunculan dan diberi julukan ‘Ummul Masakin’ yang bermaksud ‘Ibu Orang Miskin’. Itulah Zainab binti Khuzaimah. Zainab sedar, Rasulullah S.A.W telah berkorban untuk menikahinya demi menafkahi dan melindunginya. Justeru itu, dia menyibukkan diri dengan menyantuni orang miskin selain beribadah kepada Allah SWT.
Terlalu banyak srikandi mulia di sisi Rasulullah S.A.W yang kisah kehidupannya wajar diselusuri untuk diteladani oleh wanita muslimah di zaman ini. Dalam setiap pancaroba yang dilalui, pastinya boleh dikaitkan dengan pengalaman eksklusif para wanita syurga yang diharungi hanya berpaksikan kesetiaan terhadap Allah dan Rasul. Masih ramai yang belum dapat dikenali, inikan pula untuk dihayati.
0 ulasan:
Catat Ulasan