Social Icons

Selasa, 25 November 2014

Muhyiddin Dedah Punca Rakyat Tolak UMNO

(Muhyiddin Dedah Berita Gempar Dalaman Umno)
  

Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menggesa pemimpin parti berhenti meneruskan budaya menabur kemewahan kepada pengikut.

Muhyiddin menyifatkan budaya tersebut yang dibawa oleh "kepala perang" (warlord)dalam Umno tersebut menyebabkan kos politik terlalu mahal.

"Kita perlu buktikan ‘warlord’ bukan sebahagian daripada budaya Umno. Kita menolak sikap sekalangan yang cuba untuk kekal berkuasa dengan menabur kemewahan kepada pengikut.

"Sehinggakan ada yang kata tak payah buat kerja dalam Umno. Yang perlu dibuat ialah kumpul kekayaan untuk tabur kemewahan kepada pengikut supaya mereka sentiasa setia. Keadaan ini menyebabkan kos politik menjadi semakin mahal," kata Muhyiddin semasa merasmikan pembukaan sayap parti tersebut malam ini.

Muhyiddin mengakui terdapat ramai 'warlord' dalam Umno yang beranggapan mereka berkuasa dan mampu mengugut pemimpin atasan parti dalam pilihan raya.

"Mereka ini amat berkuasa kerana mempunyai ramai pengikut setia yang sanggup melakukan apa sahaja untuk mereka.

"Dengan sokongan pengikut, 'warlord' akan menggugut pemimpin atasan parti untuk berikan apa sahaja yang mereka minta. Jika tak diberi, mereka akan sabo parti dalam pilihan raya," katanya.

Sekiranya budaya tersebut tidak dihalang, Muhyiddin bimbang Umno kelak dipenuhi pemimpin tidak berbolehan dan berkelulusan tetapi mereka yang memiliki wang sahaja.

"Yang tiada wang tidak boleh masuk politik. Walaupun ada bakat, ada kelulusan, ada kebolehan, mereka tak mampu untuk bergerak aktif dalam parti jika tiada wang.

"Saya bimbang, akhirnya nanti yang naik dalam parti adalah orang yang ada wang, bukan orang yang ada kebolehan. Orang kata 'money is everything in politics'. No money, no talk. Seolahnya, wang adalah kuasa, wang adalah segala-galanya," katanya.

Muhyiddin juga berkata perkara itu sebagai punca barah politik wang dalam Umno akan semakin membesar.

"Budaya ini akan menyebabkan politik wang berleluasa di dalam parti," katanya.

Beliau berkata, apabila berlaku keadaan begitu, Umno akan hilang kepercayaan daripada rakyat dan akhirnya menolak parti.

"Rakyat akan mula menuduh bermacam perkara yang tidak baik terhadap parti kita. Inilah punca masalah trust deficit atau defisit kepercayaan terhadap Umno.

"Jadi, ingatlah. Apa guna kita naik dalam hiraki parti, tetapi rakyat menolak parti kita kerana mereka tidak suka dengan imej dan sikap kita," katanya.

Dalam ucapannya lagi, Muhyiddin Yassin menggesa supaya budaya itu dihentikan segera sekiranya mahu melihat kelompok anak muda berminat untuk bersama Umno, jika tidak mereka bakal berdepan kehilangan sokongan hampir 60% pengundi yang terdiri daripada Gen Y itu.

"Untuk itu, kita perlu mempersiapkan Umno untuk menjadi parti masa hadapan, parti harapan umat Melayu, parti idaman generasi muda Melayu dan parti yang sesuai dengan dinamika politik nasional," katanya.

Muhyiddin berkata, penghalang antara Umno dan rakyat perlu dikurangkan dan dipecah melalui kerja sukarela, yang akan membawa mereka lebih dekat dengan akar umbi. ~malaysian insider

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Sample text

Sample Text

Sample Text