Social Icons

Ahad, 23 November 2014

Dr Mahathir Malu Dengan Kaum Cina Sebab Melayu Malas

Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengaku malu dengan kaum Cina dalam penguasaan Bahasa Inggeris dan sifat amanah yang kekurangan dalam kaum Melayu. – Gambar fail The Malaysian Insider, 14 September, 2014.

Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mempertahankan kritikannya kaum Melayu malas, serta mengakui malu dengan kaum Cina yang disifatkannya lebih maju ke hadapan.

Dr Mahathir berkata, kaum Melayu masih tidak rajin, memberikan contoh situasi yang berlaku di pusat pengajian tinggi di mana hampir majoritinya perempuan berbanding lelaki.

"Belum rajin. Umpamanya tidak rajin belajar. Kalau kita pergi universiti, 70% perempuan. Budak-budak jantan (lelaki) apa dia buat? Jadi mat rempit, itu saya kata tidak rajin," kata Dr Mahathir dalam wawancara eksklusif bersama Mingguan Malaysia hari ini.

Menurut Dr Mahathir, walaupun mendapat tempat di institusi pengajian tinggi, kaum Melayu tidak manfaatkan masa sepenuhnya untuk belajar secara serius dan tidak membaca buku.

Dr Mahathir mengaku malu dengan kaum Cina, mengambil contoh dalam penguasaan Bahasa Inggeris.

"Saya malu, budak-budak Cina belajar tiga bahasa tetapi bercakap Bahasa Inggeris lebih fasih daripada budak-budak Melayu.

"Kita belajar dua bahasa, Bahasa Melayu dan Inggeris, tetapi orang Melayu cakap cukuplah apa hendak belajar Bahasa Inggeris lagi," kata beliau merujuk kepada keputusan Putrajaya memansuhkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang diperkenalkannya.

Bekas presiden Umno itu berkata lebih mengecewakannya, kaum Melayu tidak bersikap jujur dan amanah serta terlalu mementingkan wang berbanding kaum Cina.

"Kedua berkenaan kejujuran, ikhlas dan amanah.

"Sekarang ini saya ada kedai roti, saya hendak terus terang, saya amat malu kerana di antara pekerja Melayu, Cina dan Myanmar atau mana-mana, pekerja Melayu kadang-kadang kalau tengok duit dia lupa, dia tidak jujur.

"Dia nampak duit, kalau boleh sapu, dia sapu.

"Orang Cina tidak begini," katanya kepada akhbar Utusan Malaysia edisi Ahad itu.

Dr Mahathir turut mengungkit sikap orang Melayu yang tidak mahu membayar hutang walaupun berkemampuan.

"Berapa banyak orang Melayu bila berhutang, tidak bayar.

"Dapat biasiswa tidak bayar balik. Bukan tidak ada duit tetapi tidak bayar. Kita kena amanah," katanya.

Menurutnya lagi, atas faktor itu juga banyak kontrak diberikan kepada Cina kerana lebih amanah berbanding kaum Melayu.

"Kita hendak beri kontrak, kita beri kepada Cina sebab kita tahu dia buat elok.

"Ini kelemahan kita, kita tidak amanah," katanya.

Bekas perdana menteri paling lama berkhidmat itu mengakui beliau mengkritik kerana enggan menipu diri sendiri, sebaliknya belajar untuk berdepan dengan realiti.

"Saya tidak pernah hendak tipu diri. Kalau malas, saya kata malas.

"Kalau orang tidak suka, tidak sukalah," katanya.

Baru-baru ini, Dr Mahathir juga secara terbuka mengakui gagal mengubah kaum Melayu yang dianggap sebagai pemalas.

Baginya, untuk kaum Melayu berjaya, mereka perlu menjadi lebih rajin dan tekun, serta mengubah cara bekerja.

"Kita kena kerja lebih tekun, lebih kuat dan lebih rajin.

"Macam saya perkenalkan Dasar Pandang Ke Timur kerana saya perhati orang Jepun rajin bekerja," katanya. – 14 September, 2014.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Sample text

Sample Text

Sample Text