Social Icons

Sabtu, 22 November 2014

Kenapa Seseorang Itu Diuji Allah?

Lakaran hati seorang teman yang sedang menempuh ujian di dalam kehidupan. Apa yang diluahkannya sesuai untuk renungan kita bersama. Selamat membaca. 

Pakej kehidupan dan hikmah ujian

Bertemu kembali khusus buat ahli keluargaku samada yang jauh apa lagi yang dekat. Puji puja buat Allah Tuhan Yang Maha Mencipta dan Allah Maha Baik terhadap segala ciptaanNya.

Selawat dan salam ke atas junjungan Nabi, kekasih Allah dan utusan Allah buat umat akhirzaman. Segala kemuliaan untuk ahli keluarga dan sahabat baginda yang Allah telah redha kepada mereka.

Wahai isteri-isteri, anak-anak dan menantu-menantuku. Kalian telah ditakdirkan menjadi ahli keluargaku. Ini semua bukan percaturan kita, tetapi inilah peraturan dan ketentuan Allah sejak azali lagi. Siapa kita untuk tidak menerima ketentuan Allah?

Marilah kita bersyukur, malu dan takut dengan Allah. Bersyukur kerana kita masih termasuk orang yang diberi hidayah Iman dan Islam. Selain itu terlalu banyak nikmat sehingga mustahil untuk kita dapat menghitungnya, namun wajib kita syukuri.

Malulah kita kepada Allah kerana kita belum mampu bersyukur malah sering saja terpaku pada nikmat tetapi terlupa kepada Allah Yang Maha Pemberi nikmat, namun Allah masih melimpahkan nikmatNya kepada kita. Bahkan melimpah-limpah!

Kita patut sangat takut kepada Allah kerana kekufuran kita kepada nikmat-nikmat Allah. Tidak beradabnya kita terhadap nikmat dan kepada Allah Yang Maha Memberi nikmat. Bukankah Allah mengancam kepada mereka yang kufur nikmat dengan siksa yang amat pedih?

Bersyukurlah sekalipun kadang kala keadaan sangat menguji kita. Apa pun perubahan dalam hidup ini semuanya ada hikmah di sisi Allah kecuali kekufuran. Cuma sanya kadang-kadang kita tidak faham. Tetapi sebaik sahaja kita diberi faham atau difaham-fahamkan dalam hati kita, maka perkara yang paling menguji kita itu, selepas berjaya melepasinya akan menjadi pengalaman yang sangat menghiburkan.

Wahai ahli keluargku. Lihatlah sejarah para nabi dan Rasul. Di antara mereka mempunyai pakej masing-masing. Ada yang sakit, miskin, diburu musuh, dibakar, dihina dan diperlecehkan oleh kaumnya dan macam-macam lagi. Walhal mereka para nabi dan Rasul itu semuanya adalah kekasih Allah.

Begitu juga di kalangan sahabat Nabi. Berbagai bentuk yang mereka lalui. Ada yang disula, dipanggang hidup-hidup, diseksa di tengah padang pasir, dihina dan dicerca, dibuang oleh keluarga dan macam-macam lagi.

Tidak perlu melihat jauh. Di kalangan sesama adik beradik pun berbeza pakej kehidupan. Belum pun begitu ramai, belum pun jauh. Masih dalam lingkungan keluarga kita sahaja. Itu pun dah berbeza pakejnya antara satu sama lain.

Apa pun yang kita lalui, yang ditakdirkan untuk kita, itu semua punya hikmah. Susah, senang, lapang, sempit silih berganti dalam hidup ini banyak hikmahnya. 

Antara hikmah ujian dan nikmat yang silih berganti dalam kehidupan ialah;

1. Melatih bersabar. Walau pun kita belum sabar, tetapi itulah latihan untuk kita menjadi seorang yang penyabar. Sedangkan ganjaran bagi orang yang sabar ialah masuk syurga tanpa hisab. Sabar adalah merupakan ibadah yang tidak perlukan modal masa, tenaga dan harta. Duduk diam sahaja pun dah dapat pahala berganda-ganda.

2. Melatih kita jadi cerdik. Bila kita diuji, kita akan berfikir bagaimana untuk berhadapan dan dapat melepasi ujian tersebut. Setelah kita mampu bersabar, maka akal akan mampu berfikir secara waras, matang dan bijaksana.

3. Cepat matang. Orang yang hidupnya selalu diuji akan lebih cepat matang berbanding orang yang jarang-jarang diuji. Orang yang sering diuji akan membentuk watak yang matang dan lebih tenang.

4. Dapat mengenal siapa kawan kita. Bila kita diuji, masa itulah kita mudah kenal siapa kawan, siapa yang hanya kenalan. Kawan tentu akan lebih mudah membantu apa yang perlu. Sekurang-kurangnya nasihat dan ingatan yang baik dan berhikmah.

5. Mengikis sikap penting diri. Bila kita diuji, baru kita sedar bahawa hidup ini perlukan kawan, perlu kepada orang lain. Ada masanya kita perlukan pertolongan dan bantuan orang lain. Maka sedarlah kita bahawa hidup ini bukan boleh hanya pentingkan diri sendiri sahaja. Sebab itu terbukti dalam kajian, orang susah lebih mudah membantu orang lain berbanding orang senang atau kaya.

6. Melembutkan hati. Orang yang sedang diuji, hatinya mudah tersentuh. Ini akan membuatkan mudah insaf dan rasa bersalah. Rasa bersalah perlu untuk kita dapat bertaubat sungguh-sungguh. Orang yang bertaubat nasuha dan taubatnya diterima Allah, akan bersih dari dosa seperti kanak-kanak baru lahir.

7. Membina jiwa yang kuat dan lasak. Orang yang sering diuji akan menjadikan jiwanya kuat dan lasak. Jiwa yang kuat dapat menyelamatkan daripada sifat mudah putus asa atau kecewa. Sedangkan orang mudah berputus asa dari rahmat Allah, salah satu sebab boleh jatuh kufur. Orang yang kecewa boleh mendorong sehingga membunuh diri. Lemah jiwa selalu sahaja menghinggapi orang yang senang, kaya dan terkenal. Jarang kes bunuh diri di kalangan orang yang susah dan menderita. Logiknya orang yang susah yang patut kecewa, tetapi kesusahan sedikit sebanyak telah menjadikan jiwa mereka kuat dan lasak.

8. Paling penting dapat rasa hamba. Bila kita diuji, baru sedar yang kita ini lemah dan tidak ada apa-apa kuasa. Semuanya dalam ketentuan Allah jua. Melalui ujian rasa kehambaan akan meningkat dan lama kelamaan menjadi darah daging. Inilah tujuan besar Allah uji hamba-hambanya. Iaitu supaya kembali menjadi hamba yang memiliki sifat kehambaan yang mendalam dan kekal sepanjang masa.

Jadi bersyukurlah jika dalam hidup kita sering diuji dengan kesusahan, penghinaan, kekurangan makanan, kekurangan kemudahan seperti kenderaan, tempat tinggal yang selesa dan mewah dan macam-macam bentuk ujian lain. Itu semua tanda kita ada dalan perhatian Allah. Bila Allah mahukan kita sentiasa mengadap kepada-Nya, maka dipalingkan kita dari makhluk-Nya. Bila kita mula sibuk dengan dunia, maka diputuskan pergantungan kita dengan dunia supaya kita berharap sepenuh kepada Dia. Itulah cara Allah menunjukkan kasih sayang kepada hamba-hamba-Nya. Sesungguhnya Allah memberi petunjuk kepada siapa yang dikehendaki-Nya. 

KREDIT SUMBER; matahati

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Sample text

Sample Text

Sample Text