Social Icons

Ahad, 25 Januari 2015

Caliph Buskers : Perjalanan Seni

Kisah jalanan Caliph Buskers
Oleh MOHD. IZUAN ROSELI

KUMPULAN Caliph Buskers yang dianggotai oleh (dari kiri) Nirwan, Zaki, Azmi, Fendy dan Shahzmeen akan terus menyanyi di jalanan walaupun sudah popular di mata khalayak.

“Kami menyanyi bukan kerana mahukan sanjungan, jauh sekali demi kemewahan harta-benda, kami hanya mahu menghiburkan hati semua orang, kerana dengan menghiburkan mereka, kami bahagia dan puas.

Itulah nikmat yang lebih besar berbanding nikmat melihat,” ujar vokalis Caliph Buskers, Khairul Azmi Saat, pada pertemuan sulung dengan dengan penulis. Luahan daripada Khairul itu langsung tidak dijangka. Tanpa bertentang mata, riak daripada wajah tenang Azmi memancarkan keikhlasan. Sepanjang bicaranya, berkali-kali Azmi memberi penekanan, biarpun nama sudah menjadi sebutan, mereka akan tetap kembali menyanyi di jalanan.

“Walaupun kini semua mata melihat kepada Caliph Buskers, kami tidak akan sesekali berhenti bermain di jalanan. Jiwa kami di sana, menghiburkan sahabat-sahabat yang sanggup berpanas melihat persembahan kami,” lentur Azmi sambil diiyakan teman-teman.

Itulah pendirian yang mempamerkan keistimewaan Caliph Buskers, yang dibarisi oleh enam individu orang kelainan upaya (OKU) yang cacat penglihatan, Khairul Azmi Saat, 28, selaku vokalis, Nirwan Zainal Abidin, 26, (gitaris), Fendy Abdullah, 24, (pemain dram), Syahzmeen Abdul Rahman, 24, (tamborin), Mohd. Zaki Ismail, 36, (gitaris) dan Nor Nadira Rubina, 24, (shaker). Nor Nadira bagaimanapun tidak hadir ke sesi fotografi yang dijalankan di Studio Utusan bersama-sama anggota yang lain kerana komitmen kerja.

Kurang seminggu selepas muncul sebagai band pengiring kepada kumpulan Mojo pada Anugerah Juara Lagu (AJL) tempoh hari, gitaris Zaki Ismail memberitahu, perubahan yang sangat ketara melanda mereka usai persembahan pada malam tersebut.

Lagu Romancinta yang membawa pulang trofi Persembahan Terbaik pada malam berkenaan bagaikan tsunami yang mengubah landskap jalan seni Caliph Buskers.

“Kami tidak pernah menyangka impak daripada persembahan tersebut membawa perubahan besar dalam karier seni kami. Sebelum ini, hanya segelintir sahaja yang menyedari kehadiran kami, kini boleh dikatakan hampir ke mana sahaja kami pergi, ada sahaja mata yang melihat.

“Walaupun ada kalanya timbul perasaan kurang selesa, namun, pada masa yang sama kami sangat bersyukur. Mungkin ini rezeki yang Allah berikan kepada setiap manusia yang dikehendakinya, kami menerima seadanya,” kata Zaki yang merupakan ahli anggota yang paling senior dalam Caliph Buskers.

Selepas kemenangan besar itu, Caliph kini sibuk memenuhi undangan bergambar dan temubual bersama akhbar, stesen televisyen dan radio tempatan. Malam tadi, kumpulan berkenaan turut diundang membuat persembahan di Pasar Seni, Kuala Lumpur anjuran sebuah stesen radio.

Permulaan Caliph Buskers

Diajak bercerita mengenai permulaan tercetusnya Caliph Buskers, Azmi memberitahu, kumpulan tersebut secara rasminya ditubuhkan sekitar Januari tahun lepas. Bagaimanapun, perkenalan dengan setiap ahli kumpulan telah terjalin lebih lama daripada usia penubuhan kumpulan tersebut.

“Secara rasminya, Caliph Buskers ditubuhkan pada Januari tahun lepas, tetapi kami sudah mengenali antara satu sama lain sejak tahun 2012 lagi. Ketika itu, sama-sama belajar dalam bidang refleksologi dan urutan dengan Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MBA) di Brickfield, Kuala Lumpur.

“Selepas menyedari masing-masing mempunyai minat mendalam dalam bidang muzik, kami sering melakukan latihan di studio di MBA bersama-sama sehingga masing-masing bersetuju untuk bernyanyi di jalanan sebagai buskers.

“Kaki lima kompleks beli-belah Sogo menjadi permulaan kepada karier seni kami. Menghiburkan orang ramai dengan lagu yang menjadi permintaan mereka menjadi rutin kami dari pukul 2 sehingga 3 petang setiap hari di sana,” kata Azmi yang pernah bekerja sambilan sebagai pengurut di pusat urutan milik ahli anggota kumpulan tersebut, Zaki di Golden Touch, Sri Petaling, Selangor.

Zaki kemudiannya menyambung cerita, mengapa mereka memilih untuk meneruskan hidup sebagai penyanyi jalanan. Katanya, mereka ingin bebas dan tidak terikat terhadap muzik asal sesebuah lagu.

“Kami suka dengan muzik yang lebih santai ataupun muzik yang disampaikan secara akustik. Muzik tersebut lebih ringkas dan boleh dipelbagaikan dalam pelbagai genre dan bentuk melodi.

“Lagipun, apa yang penting ialah penonton dapat menikmati muzik yang disampaikan, sekali gus terhibur dengan persembahan kami,” katanya.

Turut menghuraikan maksud di sebalik nama Caliph Buskers, gitaris utama kumpulan tersebut, Nirwan memberitahu, Caliph Buskers berasal daripada perkataan Arab yang diambil daripada perkataan ‘khalifah’. Khalifah bermaksud seseorang yang mengetuai segerombolan ataupun segelintir kumpulan.

“Pemilihan nama Caliph itu sendiri membawa makna besar kepada setiap ahli anggota kumpulan ini. Kami mahu kumpulan ini menjadi permulaan dan pelopor kepada pemuzik yang terdiri daripada golongan istimewa lain.

“Kami juga mahu memberi semangat kepada mereka supaya berjuang meneruskan semangat bermain muzik. Kekurangan upaya bukanlah penghalang bagi seseorang itu mengecapi kejayaan,” kata jejaka yang berasal dari Sarawak itu.

Terma muzik

Ditanya mengenai definisi muzik dalam perjuangan Caliph, Azmi memberitahu, minat dan gemarkan bunyi-bunyian menjadi alasan dia dan seluruh anggota Caliph Buskers menjadikan muzik sebagai jalan kelangsungan hidup mereka.

“Kami tidak mampu melihat dengan baik. Hanya pendengaran menjadi senjata utama kami. Deria tersebut satu deria penting kepada kami untuk meneruskan survival kehidupan.

“Jadi, muzik merupakan elemen yang dapat diserap dengan cepat dan mampu memberi impak kepada kami. Melalui muzik, kami mampu meluahkan ekspresi dan emosi kami.

“Setiap muzik yang kami lontarkan bukan disebabkan keasyikan muzik itu semata-mata namun membabitkan emosi dan rasa jiwa kami,” ujar Azmi yang sudah berkeluarga dan mempunyai seorang cahaya mata.

Merancakkan perbualan masuk ke bahagian genre muzik, Caliph Buskers bersetuju bahawa mereka bukanlah kumpulan muzik yang terikat kepada sesuatu genre sahaja.

“Apabila berbincang mengenai muzik buskers, ia meliputi pelbagai genre dan tidak khusus kepada sesuatu genre sahaja. Pada dasarnya, seseorang pemuzik jalanan itu perlu tahu mempelbagaikan muzik supaya sesuai dengan permintaan peminat.

“Ketika melakukan persembahan di jalanan, kami bermain dengan pelbagai muzik mengikut permintaan penonton yang hadir,” lontar Azmi yang memberitahu bahawa pengangkutan menjadi masalah utama kumpulan itu setiap kali ada persembahan.

Pengangkutan yang digunakan oleh kumpulan Caliph Buskers ialah dengan menaiki LRT.

Sepanjang membuat persembahan di sekitar Kuala Lumpur, terutama di pekarangan kompleks membeli-belah Sogo, Caliph Buskers juga tidak pernah berdepan masalah dengan pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur kerana mereka mempunyai permit yang dikeluarkan pihak DBKL sendiri.

Ditanya mengenai asas menggunakan peralatan muzik, kesemua ahli kumpulan Caliph Buskers hanya mampu tersenyum. Tidak seperti pemuzik profesional lain, mereka mengakui tidak mempunyai sebarang pendidikan muzik secara formal.

“Kami tidak mempunyai sebarang pendidikan muzik, tiada nota yang mampu menjadi panduan kepada kami. Kami hanya mendengar lagu di radio dan cuba mengikut setiap nota dan chord mengikut bunyi yang sama,” kata gitaris kumpulan tersebut, Nirwan yang belajar bermain gitar sejak berumur sembilan tahun.

Masa hadapan

Caliph Buskers kini bukan lagi pemuzik jalanan yang biasa. Bagai memperoleh durian runtuh, ‘fenomena Romancinta’ versi Caliph Buskers terus hangat diperkatakan oleh peminat industri hiburan tempatan.

Populariti sekelip mata yang jatuh ke riba Caliph Buskers tentunya diikuti rencana besar yang sedang diatur.

“Kami telah pun berbincang dengan pihak pengurusan KRU Music untuk beberapa projek khas dan merakamkan beberapa buah single. Kami bukan akan menjadi artis bawah naungan mereka, jadi kami masih mempunyai kebebasan untuk bermain muzik di jalanan,” tegas Azmi.

Ditebak mengenai arah tuju kumpulan berkenaan, Azmi dan rakan seperjuangannya tertawa sebelum memberikan jawapan. Kata Azmi, Caliph Buskers akan terus berkarya selagi ada peminat.

“Kami akan terus menghiburkan orang ramai di kaki lima dan terus berkarya dalam arus muzik perdana. Perjuangan kami tidak akan terhenti di sini.

“Kami mahu membuktikan kepada masyarakat bahawa kekurangan upaya bukanlah satu faktor konkrit mengapa seseorang itu tidak boleh mengecapi kejayaan sama seperti insan normal lain,” kata Azmi mengakhiri perbualan.






romancinta - caliph buskers

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Sample text

Sample Text

Sample Text