Ada ramai manusia yang kita bertemu sepanjang hidup kita. Masalahnya tidak ramai yang berupaya bercakap sesuatu yang menambah iman dan motivasi diri. Yang ramai manusia kita temui ialah yang berfikiran negatif.
Pesan orang yang soleh, segera tinggalkan orang sebegitu. Jangan suka dekat dengannya. Orang yang berfikiran negatif dan berjiwa kecil lebih cenderung kepada kejahatan atau pecah belah. Mereka suka bercakap hal orang lain - mengumpat dan mengadu domba.
Orang mukmin itu sangat positif fikiran dan jiwanya. Sebab itu Allah iktiraf keajaiban mereka. “Allah sungguh kagum kepada orang mukmin, apabila menerima nikmat ia bersyukur dan apabila ditimpa musibah ia bersabar.” – (Maksud al-Hadis).
Orang mukmin lebih utamakan mengkoreksi diri. Terlalu banyak hal ehwal diri yang perlu diperbaiki. Dalam hatinya penuh dengan rasa bersalah dengan Allah. Dirasakan, tidak ada ruang kosong dalam hidupnya yang tidak diisi dengan dosa.
Walaupun Allah mengkagumi hati orang mukmin yang sangat redha dengan apa sahaja yang datang dari Allah, mereka tetap merasa mereka bukanlah orangnya. Ajaibnya kerana hati mereka kekal dengan rasa bersalah dengan Allah. Justeru mereka dilihat sanggup dibuat apa saja oleh Allah.
Senang derita adalah hal yang dirasakannya sama. Sihat atau sakit tiada bezanya kerana hati mereka yang terlalu menyanjung Allah. Indahnya hati yang takut Allah menjadikannya tidak sempat merasa hebat atau istimewa.
Pak Lang bertemu dengan seorang wanita muda yang pada Pak Lang luar biasa orangnya. Dia adalah seorang usahawan yang sangat berjaya. Nantilah Pak Lang ceritakan kemudian.
Apa yang dia katakan pada Pak Lang?
"Ustaz! Saya orang 'marketing'. Saya jual produk saya dan strategi marketing saya ialah supaya orang nampak dan kenal saya. Jika orang sudah nampak dan kenal saya, baru mudah saya hendak perkenalkan produk saya kepada mereka."
Lalu Pak Lang menyampuk, bertanya 'Semua orang berniaga buat macam tu kan?"
"Ya, saya memang akui tapi dalam diri saya saya tak mahu sekadar macam tu. saya nak marketing diri saya ke tahap yang lebih agung dan bermakna."
Wah!! hebat 'budak' ni punya wawasan, kata Pak Lang dalam hati. Dia baru berusia 29 tahun dan baru 2 tahun berumah tangga.
"Macamana tu?" Pak Lang mahu dia terus bercakap. Pemikirannya jelas dan bernas.
"Saya selalu memotivasikan ini dalam diri saya. Untuk berjaya di akhirat, saya mahu berusaha 'marketingkan' diri saya kepada Allah. Alangkah beruntungnya saya jika di Padang Mahsyar - di tengah berbilion umat manusia, Allah nampak saya dan panggil saya keluar untuk segera dihisabkan .... dan Allah permudahkan hisab saya.. Inilah doa dan harapan saya ustaz!"
Pak Lang sedar dia ungkapkan itu dalam nada sebak dan bimbang. Tapi dia masih mahu menyambung - berkongsi rasa hatinya,
"Ustaz! Banyak lagi yang saya perlu belajar, tetapi apa ilmu yang saya tahu saya akan berusaha mengamalkannya kerana Allah. Saya berusaha menjadi seorang isteri solehah yang sangat-sangat berkhidmat kepada suami saya, saya berusaha bangun Tahajjud, bertaubat, berbuat baik, menolong orang, bersedekah, solat Dhuha, puasa sunat dan sebagainya. Pada saya, apa yang saya ada, untuk dikongsi dengan semua umat Islam. Saya mahu melihat umat Islam tidak terhina di mata orang bukan Islam. Inilah tujuan bisnes saya!!"
"Alhamdulillah! Barakallahu fik" Itulah yang Pak Lang ungkapkan mendoakannya Semoga Allah terus pegang hatinya dan terus membimbing usahawan muda itu.
Bukan mudah mendapatkan Allah tetapi jika sesiapa yang Allah mahukannya, mudahlah perjalanannya menuju Allah. Kata-katanya menginsafkan Pak Lang. Ya! Bagaimana kita di Padang Mahsyar?
"Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkaulah yang akan menghimpunkan sekalian manusia, untuk (menerima balasan pada) suatu hari (hari kiamat) yang tidak ada syak padanya. Sesungguhnya Allah tidak memungkiri janjiNya." (Ali-Imran:9)
Dikumpulkan semua manusia dari awal kejadian hingga akhir untuk diperiksa iman dan amalan mereka. Pada hari itu semua manusia dari zaman Nabi Adam AS, sampai ke zaman Nabi besar junjungan kekasih Allah SWT, termasuk semua jin biasa, jin yang terlalu jahat yang telah menjadi syaitan. Begitu juga semua jenis binatang akan dikumpulkan dengan qudrat (kuasa Allah SWT) di Padang yang dikenali dengan Mahsyar (Padang yang dikumpulkan). Sudah tentu amat ramai bilangannya, lelaki dan perempuan.
Manusia dikumpulkan dalam keadaan bertelanjang bulat (hadith sahih) Tiada lagi perasaan malu diantara mereka. Kemudian diberi pakaian kepada orang-orang pilihan di kalangan mereka yang telah berjaya mentaati Allah SWT.
Kita dibawa ke dunia untuk diuji dan diberi kebebasan melakukan apa sahaja yang diingini. Dunia bermakna dekat dan rendah. Dekat dengan kita tetapi rendah mutunya berbanding akhirat dan syurga.
Dikumpulkan semua manusia pada hari yang tiada syak iaitu hari “Qiyamat” yang bermaksud kebangkitan semula. Manusia akan dihidupkan semula dari tulang sulbi mereka.
Allah SWT tidak akan mungkir janjinya untuk kumpulkan manusia pada hari itu. Semua manusia, jin dan binatang dihimpunkan. Malaikat menyeru mereka ke Padang Mahsyar.
"Pada hari itu mereka menurut seruan panggilan yang menyeru mereka dengan tidak dapat melencong dari menurutnya dan diam khusyuklah segala suara kepada Allah yang melimpah-limpah rahmatNya sehingga engkau tidak mendengar melainkan bunyi yang amat perlahan." - Surat Taha 108.
Sabda Rasullah SAW: “Semua manusia akan dikumpulkan di hari Kiamat di satu tempat. Mereka akan mendengar satu seruan yang berbunyi: `Di manakah mereka yang meninggalkan tempat tidurnya dan menghabiskan malamnya dengan beribadah. Akan ada satu golongan yang bangkit dan masuk Syurga tanpa hisab.
Ertinya VIP akhirat sudah mula diistimewakan Allah di Padang Mahsyar. Soalnya bagaimana kita dapat dikenali Allah ketika itu? Dapatkah kita menjadi VIP Allah di tengah-tengah perhimpunan maha dahsyat itu? Allah.... Soalan yang menakutkan!! Ampunkan kami ya Allah..
0 ulasan:
Catat Ulasan