Social Icons

Sunday, 18 January 2015

Peluk Artis K-POP - Kedudukan Mahram Untuk Para Wanita

Asas hukum yang wajib diketahui oleh semua muslimah ialah berkenaan persoalan mahram. Siapakah golongan yang menjadi mahram wanita dan siapakah pula yang tidak tergolong dari kalangan mahramnya? 

Persoalan ini amat penting kerana ia berkait dengan beberapa persoalan hukum yang lain seperti hukum perkahwinan, batasan aurat, pergaulan, hukum bermusafir, bersentuhan dan berdua-duaan. 

Rasulullah s.a.w telah bersabda: “Janganlah seorang lelaki bersunyi-sunyian dengan seorang wanita melainkan bersamanya mahram. Tidak harus seorang wanita bermusafir lebih daripada tiga hari melainkan bersamanya suaminya atau ahli keluarga yang menjadi mahramnya.” H.R Bukhari, Muslim, Abu Daud, Tirmizi dan An-Nasa’i. 

Justeru itu, siapakah mahram bagi wanita? Menurut istilah para fuqaha, mahram wanita ialah lelaki yang diharamkan untuk dikahwini buat selama-lamanya sama ada disebabkan ikatan nasab keturunan, ikatan perkahwinan ataupun ikatan penyusuan. 

Oleh sebab golongan yang menjadi mahram wanita ini melibatkan kaum kerabat terdekat, maka nas al-Quran dan al-Sunnah telah memperincikan tentang golongan yang dikatakan mahram, kerana bukan semua yang dianggap sebagai kaum kerabat terdekat bagi wanita adalah mahramnya. 

Dalil utama yang menyenaraikan secara khusus golongan yang dikatakan mahram ialah ayat 23 daripada Surah al-Nisa’ yang bermaksud: 

“Diharamkan kepada kamu (wahai kaum lelaki) berkahwin dengan (perempuan-perempuan yang berikut): ibu-ibu kamu, anak-anak perempuan kamu, saudara-saudara perempuan kamu, saudara-saudara perempuan bapa kamu, saudara-saudara perempuan ibu kamu, anak-anak perempuan dari saudara kamu yang lelaki, anak-anak perempuan dari saudara kamu yang perempuan, dan ibu-ibu kamu yang telah menyusukan kamu, saudara-saudara perempuan sepersusuan, ibu-ibu isteri kamu (ibu mertua), dan anak-anak tiri yang dalam pemeliharaan kamu dari isteri-isteri yang kamu telah campuri; tetapi kalau kamu belum campuri mereka (isteri kamu) itu (dan kamu telah pun menceraikan mereka), maka tiadalah salah kamu mengahwini mereka. Dan (haram juga kamu berkahwin dengan) bekas isteri anak-anak kamu sendiri yang berasal dari benih kamu. Dan diharamkan kamu menghimpunkan (dalam perkahwinan) dua perempuan yang bersaudara, kecuali yang telah berlaku pada masa yang lalu. Sesungguhnya Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” 

Selain daripada ayat al-Quran di atas, Rasulullah s.a.w telah bersabda yang bermaksud: “Diharamkan (perkahwinan) kerana penyusuan sebagaimana diharamkan (perkahwinan) kerana nasab keturunan.” H.R Muslim. 

Berpandukan dalil-dalil hukum yang utama tersebut, senarai golongan yang menjadi mahram bagi wanita dapat dibahagikan sebagaimana berikut: 

1. Mahram wanita dengan sebab nasab keturunan: 
    a.   Bapa dan datuk (bapa kepada bapa atau bapa kepada ibu) hingga ke atas 
    b.   Anak lelaki dan cucu lelaki hingga ke bawah 
    c.   Saudara lelaki seibu sebapa, saudara lelaki sebapa dan saudara lelaki seibu 
    d.   Anak lelaki kepada saudara lelaki dan anak lelaki kepada saudara perempuan hingga           ke bawah (anak saudara, cucu saudara, cicit saudara dan seterusnya) 
    e.   Saudara lelaki kepada bapa dan saudara lelaki kepada ibu sehingga ke atas (bapa 
          saudara, datuk saudara, moyang saudara dan seterusnya) 

2. Mahram wanita dengan sebab perkahwinan: 
    a.    Bapa mertua hingga ke atas 
    b.    Bapa tiri iaitu suami baru kepada ibu 
    c.    Datuk tiri iaitu suami baru kepada nenek sama ada sebelah bapa atau sebelah ibu 
    d.    Menantu lelaki 
    e.    Anak lelaki tiri hingga ke bawah daripada suami baru yang telah dikahwini oleh                      seseorang wanita 

3. Mahram wanita dengan sebab penyusuan: 
    a.    Bapa susuan dan datuk susuan (bapa kepada bapa susuan atau ibu susuan) hingga             ke atas 
    b.     Anak lelaki susuan hingga ke bawah 
    c.     Saudara lelaki susuan 
    d.     Anak lelaki kepada saudara lelaki susuan atau anak lelaki kepada saudara                             perempuan susuan 
    e.    Saudara lelaki kepada bapa susuan dan saudara lelaki kepada ibu susuan hingga ke            atas 
    f.     Suami kepada anak susuan 
    g.    Bapa susuan kepada suami 

Senarai mahram wanita dengan sebab penyusuan ini disimpulkan daripada sabda Rasulullah s.a.w yang telah disebutkan tadi yang memberi maksud bahawa sebagaimana terdapat sebilangan lelaki yang dihukum sebagai mahram bagi seseorang wanita kerana nasab keturunan, demikian juga terdapat sebilangan lelaki lain yang dihukum sebagai mahram bagi seseorang wanita disebabkan penyusuan. 

KREDIT SUMBER

0 comments:

Post a Comment

 

Sample text

Sample Text

Sample Text