Menjadi raja sehari adalah detik paling indah dan bahagia dalam hidup seseorang. Perkahwinan menjadi begitu hebat kerana ianya menyatukan dua orang manusia berlainan jenis dalam satu ikatan lahir dan batin. Persetujuan untuk saling mencintai, memberi dan menerima serta saling melayari bahtera rumah tangga adalah janji dan harapan yang cukup agung.
Detik ijab dan kabul adalah detik paling mendebarkan. Ianya satu keadaan pengantin lelaki menyatakan mahu bertanggung jawab terhadap seorang wanita yang akan menjadi isterinya. Semua tahu risikonya tetapi habuan bahagia keindahan hidup luar biasa - terutama di awal perkahwinan - menjadi risiko itu dapat dilihat dari sudut positif.
Majlis perkahwinan biasanya berjalan meriah semeriah-meriahnya - sesuai dengan panggilan 'raja sehari'. Persiapan majlis yang 'bagai nak rak' itu pun berminggu-minggu bahkan mungkin berbulan-bulan.
Walau bagaimana pun, ramai pasangan pengantin alpa dalam menyiapkan hati dan jiwa masing-masing. Mereka lebih utamakan majlis mewah sehingga jadilah majlis yang berjalan kurang prihatin terhadap matlamat kahwin ikut syariat.
Persiapan jiwa bakal pengantin tidak disiapkan sedangkan perkahwinan adalah sebuah universiti. Tentunya bukan suatu yang mudah yang hanya diambil sambil lewa. Ini adalah univerisiti perkahwinan. Terdapat berbagai 'fakulti' di dalamnya yang kita mesti berupaya melepasi setiap ujian di dalamnya.
Sepatutnya setiap pengantin berusaha sendiri menyiapkan diri. Fikirkan soal ilmu tentang Allah dan rasul agar kita tahu dan faham peranan kita untuk menjadikan Allah dan rasul sebagai matlamat hidup. Fikirkan sejauh mana ilmu agama, ilmu tentang syariat perkahwinan dan ilmu bermuamalah suami isteri serta jiran tetangga. Melengkapkan diri dengan semua persoalan sedemikian adalah usaha bertahun-tahun sebelum ijab kabul.
Ramai juga pasangan muda-mudi berdebar menghadapi saat penting upacara akad nikah. Debaran itu kadangkala menyebabkan mereka tidak boleh menjawab soalan naib kadi. Pertanyaan popular seperti rukun nikah pun sering hilang daripada ingatan.
Pada majlis perkahwinan perlu kita membezakan adat dan ibadat. Dari kaca mata Islam, akad nikah lebih penting daripada kenduri kerana saat menjadi suami isteri ialah tatkala lafaz ijab dan kabul sempurna.
Ketika itu bermula layar bahtera perkahwinan suami isteri dan keluarga perlu diacu mengikut hukum syarak. Berapa ramai pengantin baru dan ahli keluarga yang menghantar pengantin memberi tumpuan kepada khutbah nikah yang disampaikan jurunikah?
Sebenarnya inti pati khutbah nikah amat bermakna dijadikan teladan dan sempadan dalam perkahwinan. Pengantin akan dinasihatkan sentiasa membaiki diri, bertolak ansur, mendalami ilmu agama, mempunyai rasa tanggungjawab dan tahu peranan masing-masing. Kerukunan rumah tangga hendaklah sentiasa disemai dan dibajai supaya mekar dan mencapai matlamat perkahwinan iaitu mawaddah wa rahmah (berkasih sayang).
Memang tidak dinafikan sesebuah rumah tangga mesti diuji. Maka anggaplah ujian sebagai pemangkin menambah kasih sayang antara suami isteri. Oleh itu, ketepikan ego dan dendam bagi memastikan layar bahtera rumah tangga dapat dilayari dengan baik.
Dengan cara itu, segala masalah rumah tangga dapat diselesaikan dengan baik. Saling memaafkan penting bagi memastikan kasih sayang sentiasa dipupuk. Penting juga diingatkan kepada pengantin baru bahawa perceraian bukan suatu permainan.
Seperti pernikahan, perceraian membawa implikasi besar kepada pasangan dan keluarga. Perceraian adalah perkara halal yang amat dibenci Allah. Lafaz talak jangan sekali-kali dibuat mainan kerana walaupun tanpa niat ia mungkin membawa kesan gugurnya talak.
Apatah lagi jika dilafazkan berkali-kali yang mungkin membawa kepada perceraian yang tidak boleh dirujuk. Apabila perkara itu berlaku, penyesalan tidak bermakna lagi.
Perkara yang sering dilupakan pasangan pengantin ialah belajar ilmu agama. Walaupun sudah bergelar suami atau isteri persoalan itu masih perlu diingatkan. Namun, sebagai peringatan kita yang sering lupa, suami wajib mengajar sekurang-kurangnya ilmu fardu ain kepada isterinya.
Jika suami tidak mampu mengajar isterinya, hendaklah mencari pengajar. Juga amat baik jika suami meluangkan masa mendalami ilmu agama kerana jika ada masalah dalam keluarga, suami isteri boleh merujuk agama bagi mencari penyelesaian. Risiko perceraian akan dapat dikurangkan.
Rasa khusyuk dengan Allah perlu dibina. Ianya pemangkin rasa hati yang mahu berbuat apa sahaja demi mencari keredhaan Allah. Hati mesti dibina dengan rasa takutkan Allah dengan sebenar-benar takut dan rasa rindukan nabi saw dengan sebenar-benar rindu.
Kerukunan, kebahagiaan serta keindahan rumah tangga akan berlaku bila kedua-dua suami dan isteri sudah saling memahami arah didikan hati yang ingin dicapai seperti di atas. jika hati sudah kuat hubungannya dengan Allah dan Rasul, susah dan senang bukan lagi penghalang mencapai kebahagiaan!!
SUMBER: Marjaat Humaira
0 ulasan:
Catat Ulasan