Social Icons

Sabtu, 3 Januari 2015

RM1 Bilion, Jumlah Kerosakan Akibat Banjir.


PETALING JAYA: Banjir dahsyat yang melanda telah menyebabkan kemusnahan dan kerugian terhadap negara, infrastruktur dan rakyat.

Apa yang menjadi keutamaan adalah perhatian terhadap beribu-ribu penduduk yang kehilangan tempat tinggal dan ahli keluarga yang kehilangan nyawa akibat bencana itu.

Tetapi ketika keadaan banjir di seluruh negara kembali pulih, sebenarnya kehilangan dan kerugian yang dialami adalah lebih daripada yang dijangkakan.

Antaranya, 69,000 pekebun kecil getah dan sehingga 50,000 penanam kelapa sawit di mana ladang-ladang mereka telah ditenggelami banjir.

Mereka mengalami kerugian dari segi sumber pendapatan memandangkan ladang yang ditenggelami air dalam tempoh yang panjang boleh merosakkan tanaman kelapa sawit.

Di Kelantan sahaja, yang merupakan negeri pantai timur yang paling teruk dilanda banjir, terdapat kira-kira 150,000 petani dan penternak yang mana sawah padi dan kebun sayur-sayuran, ternakan dan kolam ikan mereka musnah akibat banjir.

Jumlah kerosakan harta benda dan infrastruktur di semua negeri terbabit masih diselaraskan tetapi kosnya setakat ini sudah mencecah RM1 bilion.

Pada Jumaat, anggaran jumlah kerugian diumumkan berjumlah RM878 juta.

Ia termasuklah RM350 juta untuk membaiki sekolah-sekolah di lima negeri, RM200 juta untuk kerosakan harta benda, RM100 juta untuk membaiki jalan raya di Kelantan, RM132 juta untuk membaiki jalan raya di Terengganu dan RM96 juta untuk membaiki 93 runtuhan tanah di sepanjang jalan-jalan rosak di empat buah negeri.

Penyelarasan ini tidak termasuk kerugian yang ditanggung oleh sektor getah, kelapa sawit dan pertanian, yang merupakan antara aktiviti ekonomi utama bagi penduduk di negeri-negeri pantai timur.

Persatuan Kebangsaan Pekebun-Pekebun Kecil Malaysia (PKPKM) berkata kira-kira 119,000 pekebun kecil telah terjejas dan satu kajian untuk menentukan kerugian yang dialami masih dijalankan.

"Ini merupakan menjadi banjir dahsyat dan paling teruk untuk pekebun kecil kelapa sawit di Pahang dan Terengganu serta pekebun kecil getah di Kelantan," kata Presiden PKPKM Datuk Aliasak Ambia.

Beliau berkata pekebun kecil getah memerlukan bantuan dalam bentuk peralatan, seperti cawan dan pisau toreh, manakala pekebun kecil kelapa sawit mengharapkan bantuan baja.

PKPKM mempunyai kira-kira 375,000 ahli yang menanam pokok getah, kelapa sawit dan koko di atas tapak tanah kurang dari 40 hektar.

Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad berkata pihak berkuasa pembangunan tanah telah menjalankan satu kajian untuk menentukan sejauh mana kerosakan dan kerugian.

"Setakat ini, apa yang boleh saya katakan adalah sebahagian besar daripada kerosakan itu berlaku di ladang kami di Gua Musang, Kelantan, dan di beberapa bahagian di Pahang," katanya.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata anggaran yang lebih tepat dari segi kerosakan masih tidak boleh dilakukan kerana kebanyakan petani masih berada di pusat pemindahan.

Tambahnya, disebabkan petani yang terjejas, ia secara tidak langsung akan meningkatkan harga sayur-sayuran di seluruh negara kerana komoditi itu menjadi sukar didapati dan jalan raya tidak boleh diakses, menyebabkan hasil tanaman sukar berada di pasaran.

Pengurus Tenaga Nasional Bhd (TNB) Kelantan Md Yuslan Md Yusof juga tidak boleh meletakkan angka kerugian tetapi menambah bahawa banjir telah merosakkan peralatan seperti suis, transformer, kabel, konduktor dan tiang elektrik, kebanyakannya di Tanah Merah, Gua Musang dan Kuala Krai.

Menteri Kerja Raya Datuk Fadillah Yusof berkata, beliau hanya boleh memberikan anggaran tepat mengenai kerosakan sebaik sahaja air surut.

Kementerian Pertahanan telah berjanji untuk membantu Kementerian Kerja Raya dari segi tenaga kerja untuk membaiki infrastruktur awam yang rosak, terutama jalan raya. (mStar)

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Sample text

Sample Text

Sample Text