Isu beberapa remaja wanita yang memeluk dan dipeluk artis K-POP baru-baru ini menjadi isu hangat di negara kita. Memang ianya memalukan tetapi isu ini sudah membongkar banyak perkara lain. Tidaklah Pak Lang mahu mengulasnya tentang hal tersebut.
Pak Lang mahu mengajak kita memandang isu ini dengan lebih jauh. Ianya persoalan dasar dan asas. Inilah yang kita perlu lihat. Jangan hanya terbelalak melihat apa yang dipaparkan di YOU TUBE. Yang naik ke pentas itu hanya 4 orang tetapi semua wanita muslimah yang ada di dalam konsert itu bagaimana pula kedudukan mereka?
Maksudnya bagaimana diri semua remaja yang ada dalam konsert itu? Adakah mereka juga terkinja-kinja berebut untuk naik ke pentas tapi tidak mendapat peluang tersebut?
Dan adakah remaja muslimah lainnya di Malaysia ini juga berfikiran yang sama atau berharap yang sama berlaku kepada mereka?
Kita ketahui kegilaan remaja Malaysia walaupun muslimah - terhadap artis Korea memang semakin berleluasa. Apakah faktor penariknya, carilah sendiri tetapi yang kita kena tanya ialah apa pula tugas kita menghadapi situasi sebegini?
Isunya ialah hal sebegini sudah merata. Pergaulan bebas ini sudah menjadi 'biasa' dan 'tak kisah' di dalam masyarakat kita. Bukan sekadar remaja, yang dewasa dan tua-tua pun masih seronok bergaul bebas tanpa batasan. Hukum hakam tolak ke tepi. Yang penting ikut situasi agar dikata tahu 'membawa diri'. Betulkah begitu? Tentulah ianya sangat salah dari sudut agama tetapi ramai yang buat tak kisah. Bila terjadi viral, baru hendak bertindak.
Kenapa tidak diusaha cara yang 'smart'? Kenapa setiap kali isu, baru kita menepis dan merespon? Kenapa kita lesu ketika ketiadaan isu. Kenapa pula kita jadi harimau lapar melompat tinggi apabila melihat pelanduk bogel melintas di hadapan mata?
Siapa yang bersalah? Tentulah kita semua. Pihak berwajib dalam agama tentulah lebih banyak dan lebih teruk kena di soal Allah di akhirat.
Apa yang boleh Pak Lang katakan, ini semua adalah gambaran tidak berlakunya usaha dakwah di kalangan masyarakat. Maksud Pak Lang, usaha dakwah yang pelbagai bentuk dan kena pada setiap kelompok sasaran.
Apa yang berlaku hari ini, pendakwah hanya sekadar berceramah dengan pelbagai gaya penarik masing-masing. Memang ramai yang berkumpul mendengar kuliah tetapi semuanya satu jenis watak manusia yang sudah mahu membuat perubahan diri. Merekalah yang memenuhi ruang masjid dan mengelilingi pentas ceramah. Kelompok yang liar dan bergelumang dengan maksiat masih terpinggir dan terbiar.
Persoalannya apa tindakan dan langkah kreatif untuk mengajak golongan peminat K-POP ini untuk mendapat iman dan Islam? Pendekatan yang bagaimanakah yang perlu dilakukan? Apakah method dakwah yang sesuai digunakan? Apakah pengisian yang perlu disampaikan secara yang mereka akan terpaku menghayatinya?
Inilah cabaran kepada para pendakwah. Cakap memang mudah. Menghukum lebih-lebih lagi sangat mudah. Soalnya bagaimana hendak bertindak secara kontemporari sesuai dengan arus masyarakat yang sebegini rupa?
Inilah yang perlu dicari jalan penyelesaiannya. Siapa sahaja yang ada kesedaran mesti berusaha di sudut ruang yang termampu. Mana-mana NGO yang berkemampuan kena perbanyakkan usaha mendekati kelompok yang dimaksudkan ini.
Kena dilakukan pendekatan yang segar dan menarik minat mereka kepada seni budaya Islam yang ala-ala K-POP juga. Dan ini semua kena dilakukan secara viral, secara riuh- rendah agar suasana dan nuansa mahukan hiburan sebegini menjadi fenomena baru.
Tidaklah dinafikan, ada artis-artis baru yang agak menonjol penampilan mereka dari sudut dakwah. Mungkin hanya sekadar lagu-lagunya berbentuk mendidik dan berunsur kerohanian atau ketuhanan tetapi itu pun sudah cukup menjadi viral. Pengaruh artis sebegini lebih kuat berbanding kumpulan nasyid. Kumpulan nasyid hanya dapat sampaikan mesej kepada khalayak yang baik-baik. Adapun khalayak yang 'nakal-nakal' di kalangan remaja perlukan artis baru yang 'senada' dengan mereka. Inilah yang tidak ada.
Artis remaja perlu ada ilmu dan iman yang kuat dan mantap. Mereka perlu siap sedia berdepan dengan cabaran dan godaan besar di tengah pengaruh K-POP. Malangnya artis yang ada tidak ramai yang mampu bertahan. Mungkin lagu mereka laku di pasaran yang ketandusan bahan sedemikian tetapi pengaruh artis sebegitu tidak cukup mempengaruhi masyarakat remaja.
Sebab itu, kena ada strategi menaikkan atau mencungkil bakat artis yang mampu ke tengah ruang gelanggang K-POP ini. Dan pendekatannya tidak sekadar ceramah dan tazkirah atau bernasyid berkasidah. Artis da'i ini kena terjun menjadi wira remaja yang sedang ketandusan jiwa ini. Wujudkan fenomena mereka mahukan artis 'K-POP Islami'.... Banyak cara yang boleh dilakukan dan harus diingat yang mampu berbuat ialah artis yang ada cita-cita dan semangat perjuangan membela Allah dan Rasul.
Artis yang mampu mencabar budaya K-POP Korea ini mesti mempunyai hati yang takut dengan Allah - takut yang sebenar-benar takut. Dan harus diingat, artis-artis Islami ini mesti cantik, anggun dan menarik. Pakaian menutup aurat mereka mesti 'ada kelas' tersendiri. Dan mereka boleh berlegar di segenap ruang pentas dengan gaya lincah tetapi bersopan. Mereka kelihatan sangat mulia, bernilai tinggi pada keperibadian dan penampilan. Mereka bukan gadis murahan yang biasa ditonton selama ini.
Dan dengan membawa hati takut Allah, mereka akan tampil menawan hati-hati remaja yang sedang ketandusan iman. Jika mereka muncul di pentas, hati remaja lain yang menonton akan jadi cair. Keghairahan kepada maksiat akan luntur dan menurun. Penampilan sahaja pun sudah mampu membentuk suasana positif.
Mengajak manusia kepada Allah dan Rasul adalah kunci mengubah siapa sahaja. Kepada Allah hati manusia mahu diajak untuk mendapat rasa takut setakut-takutnya. Terhadap Rasulullah saw, hati manusia diajak untuk rindu serindu-rindunya. Inilah strategi power luar biasa yang mampu mengubah manusia untuk mencari iman.
Remaja penggila artis K-POP yang jumlahnya berjuta orang akan mampu disedarkan dan diinsafkan jika yang ditampilkan adalah artis remaja yang hatinya sedang berkecamuk dengan rasa takutkan Allah dan rindukan Nabinya!!!
Jika tidak ada sesiapa mahu menonjolkan artis yang bercita-cita membela Allah dan Rasul sebegini, nantilah dan 'bersabarlah'. Pasti akan sampai masanya Allah akan lakukan dan tonjolkan mereka. Allah maha bijaksana, maha merancang, maha membela agamaNya. Nanti kita akan terkejut menyaksikan ajaibnya cara Allah bertindak. Berfikirlah dan renung-renungkanlah!!
0 ulasan:
Catat Ulasan