"Ana akan balik ke Malaysia untuk pastikan Islam menang di negara kita!!"
Itulah ungkapan kata-kata semangat seorang 'akhi' - kawan Pak Lang semasa di Mesir. Itulah cita-citanya ketika Pak Lang tanya apa yang akan dilakukannya (berjuang?) apabila kembali dari menuntut ilmu. Masa itu ayat Al-Quran dari Surah At-Taubah, ayat 122:
Ertinya: “Dan tidaklah wajar orang-orang yang beriman itu keluar semuanya (pergi berperang); Oleh itu, hendaklah keluar sebahagian sahaja (yang pergi berperang) dari tiap-tiap puak di antara mereka, supaya orang-orang (yang tinggal) itu mempelajari secara mendalam ilmu yang dituntut di dalam agama, dan supaya mereka dapat mengajar kaumnya (yang keluar berjuang) apabila orang-orang itu kembali kepada mereka; mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (dari melakukan larangan Allah).”
Inilah antara ayat Al-Quran yang selalu dibacakan sebagai pendorong semangat kami dalam menuntut ilmu dan menyiapkan diri sebagai pendidik atau pendakwah. Semangat ini berterusan hingga pulang ke Malaysia. Maka sepanjang berada di Mesir, disamping mengikuti kuliah di Al-Azhar, ramai yang melibatkan diri dengan gerakan dakwah atau menjadi kader parti politik Islam tertentu atau badan-badan Islam yang bertaraf antarabangsa. Hebat kan?
Kawan ini memang seorang yang aktif dalam kerja-kerja tarbiyah, usrah dan dakwah. Sangat bersemangat dan kadang-kadang kasar dalam bertindak. Persatuan mereka di Mesir tidak boleh dikritik atau digangu gugat. Mereka sanggup bertindak agresif kalau kehendak mereka terhalang.
Tetapi, memang benar apa yang disebutkan oleh guru Pak Lang. Cita-cita dan semangat mereka ketika di universiti biasanya menguncup bila menempuh alam realiti. Mereka jadi 'ulamak pemalu' bila kembali ke tanah air. Sedangkan cakap mereka semasa di Mesir berdegar-degar, nak buat itu dan nak buat ini.
Ramai yang berkobar-kobar hendak pulang berjuang di dalam politik Islam bila pulang ke Malaysia. Semasa di Azhar, merekalah yang memimpin kumpulan usrah dan persatuan pelajar. Sibuknya mereka mengalahkan menteri. Insiden berebut-rebut ahli usrah pun berlaku gara-gara pelajar yang disasarkan untuk dilatih menjadi kader mereka mengikut kumpulan yang 'tidak Islamik'.
Setelah mereka pulang ke tanah air, Pak Lang sudah tidak mendengar khabar berita lagi. Senyap sunyi dunia perjuangan mereka. Bila kebetulan terserempak di mana-mana, pertanyaan basa basi hanyalah soal kerja makan gaji kat mana, tinggal di mana, anak berapa, itu saja.
Cita-cita dan semangat membara semasa di Mesir rupa-rupanya tidak bersambung. Pulang ke tanah air tidak langsung berperanan mengubah masyarakat. Sekadar ke pejabat atau mengajar - ikut jadual. Selebihnya masa habis dengan keluarga dan rumah tangga atau beli tanah - berkebun. Ramai yang hilang dari dunia perjuangan tanpa dapat dikesan.
Alhamdulillah, walaupun begitu, ada juga rakan dan teman sepengajian Pak Lang, hari ini sedang berjuang di bidang pendidikan - secara serius dan penuh cita-cita perjuangan. Mereka tidak sekadar makan gaji tetapi menjadikan tugas mendidik sebagai keutamaan. Mereka mahu melihat tumbuhnya generasi baru yang segar dengan perasaan cintakan Allah dan rasul.
Ikuti keluhan seorang rakan junior di Mesir mengulas di dalam blognya. CINTA RASUL:
Suatu masa dahulu, di alam universiti, antara perkara yang sering difikirkan ialah:
"Bagaimana saya boleh mengubah dunia dari fasad yang berleluasa?" Maklumlah zaman tu zaman tarbiyah, duduk pulak kuliah dakwah...
Sekarang ini selepas hampir lebih 10 tahun, Allah pilih untuk menjadi guru besar sekolah rendah tahfiz. Adakah ini jawapan kepada permintaan ingin mengubah dunia?!
Mendidik anak kecil dengan Al-Quran. Bukan hanya menghafaz. Tapi memahami, mengamalkan, menanam akhlak-akhlak mulia.
Masa untuk mencurah ilmu-ilmu yang dituntut sepanjang 30 tahun ini. Bukan tugas mudah.
Hasilnya bukan boleh peroleh sehari dua, bukan juga seminggu dua, bukan juga setahun dua, tapi perlu MASA YANG PAAAAAANJANG!
Bila terlebih tegas, sering hadir rasa menyesal. Berpanjangan. Bila tidak boleh mengawal, rasa tidak berjaya. Perlu lebih banyak belajar.
Lebih banyak kasih sayang. Lebih banyak usaha. Lebih banyak mencuba. Lebih banyak bergantung, berharap dan memohon dari ALLAH.
Inginkan kesempurnaan, namun kesempurnaan hanya milik ALLAH. Tapi tidak mahu ia jadikan alasan untuk melakukan kerja dengan tidak sempurna
PERMUDAHKANLAH YA ALLAH!
*Sudah banyak impian dan cita-cita yang ALLAH tunaikan walau kita sering lalai.
0 ulasan:
Catat Ulasan