ISLAM adalah agama yang sangat mementingkan kebersihan dan kecantikan. Bahkan di sisi Islam orang yang menjaga kebersihan itu adalah mereka yang mempunyai iman yang tinggi.
Umat Islam perlu menjaga ketrampilan dan penampilan diri agar sentiasa kelihatan anggun dan hebat selari dengan garis panduan yang telah ditetapkan dalam al-Quran, as-Sunnah dan ijtihad para ulama yang muktabar. Nabi Muhammad SAW adalah contoh yang terbaik untuk kita jadikan ikutan dalam menekankan aspek kebersihan dan kesucian, khususnya berkaitan penampilan diri dan berpakaian.
Sekiranya kita meneliti hadis-hadis berkaitan dengan pakaian Rasulullah SAW, kita akan mendapati bahawa baginda amat suka memakai pakaian yang berwarna putih. Warna putih menampakkan kebersihan dan kesucian, walaupun baginda tidak melarang untuk memakai pakaian berwarna lain.
Ibnu Abbas meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Hendaklah kalian mengenakan pakaian yang berwarna putih. Orang-orang yang masih hidup antara kalian hendaklah mengenakan pakaian berwarna putih. Dan orang-orang yang telah meninggal dunia, hendaklah dikafankan dengan kain yang berwarna putih. Sesungguhnya, pakaian yang berwarna putih itu merupakan bahagian pakaian yang paling baik.” (riwayat Abu Daud, Ibnu Majah dan Ahmad)
Pakaian baginda bukan sahaja amat bersih malah sangat kemas dan wangi. Walaupun mempunyai pakaian yang terhad dan sederhana harganya, ia tidak langsung menjadi alasan untuk baginda memakai pakaian yang kotor dan tidak kemas.
Baginda amat menjaga tubuh badan Baginda agar sentiasa dalam keadaan sihat dan bertenaga. Paling penting, orang-orang yang berada di sekeliling merasa selesa bersama baginda.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Jika tidak menyusahkan ke atas umatku, aku ingin menyuruh mereka bersugi setiap kali mereka hendak melakukan solat. (riwayat Muslim)
Anas ra pula meriwayatkan: Aku tidak pernah menghidu wangian anbar, kasturi dan apa jua wangian yang lebih wangi daripada bau Rasulullah SAW. (riwayat Bukhari dan Muslim)
Demikianlah beberapa kaedah menjaga penampilan diri yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW.
Di samping kebersihan pakaian dan imej luaran ini, Islam juga amat mementingkan kebersihan dan kesucian hati. Hal ini kerana individu Muslim yang berjaya menyucikan hatinya, pasti akan memelihara zahir dan batinnya daripada melanggar perintah Allah SWT.
Peranan hati sangat penting dalam kehidupan manusia, khususnya dalam menentukan sikap dan perilaku. Nabi Muhammad SAW bersabda: Sesungguhnya di dalam diri manusia itu ada seketul daging. Apabila daging itu baik, maka baiklah seluruh anggota. Dan apabila daging itu rosak, maka rosaklah seluruh anggota, ketahuilah itulah hati. (riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Individu yang bersih hatinya, akan menjaga tutur katanya agar tidak mengguris perasaan orang lain. Apa sahaja yang diungkapkan melalui lidahnya akan menggembirakan hati orang lain dan menambahkan manfaat dalam kehidupan dunia dan akhirat. Orang yang bersih hatinya akan berfikir sebelum berkata-kata. Dia juga akan menjaga hatinya daripada perasaan-perasaan keji seperti bongkak, iri hati, dendam dan sebagainya.
Dia juga akan merasa senang dengan kejayaan orang lain di samping meningkatkan prestasi diri agar beroleh kejayaan yang sama.
Di samping itu, dia akan merasa susah dengan kesusahan yang dialami oleh orang lain dan berusaha untuk membantu menyelesaikan masalahnya, bukan memberatkan lagi bebanan tersebut.
Penulis: WAN JEMIZAN W. DERAMAN dan AHMAD TERMIZI MOHAMED DIN adalah daripada Jabatan Pematuhan Syariah, Takaful Ikhlas Sdn. Bhd
KREDIT SUMBER
0 ulasan:
Catat Ulasan