Social Icons

Isnin, 5 Januari 2015

Kematian Yang Indah Ialah Kematian Yang Berjaya

Sumber: Blog Mantan Blogger

Tarikh 1 Jan 2015, sekitar jam 1.30 petang, aku kehilangan seorang kawan. Pernah kami bersama-sama sebagai satu pasukan dalam Syarikat Rufaqa Corp di Labuan, sekitar tahun 2004. Beliau yang dimaksudkan ialah YBhg Tuan Nasarrudin b Awang Al-Hafiz. Penulis atau beliau hanya mahu dikenali sebagai Penyusun buku Catatan Sejarah Rasulullah SAW. Menghembuskan nafas terakhir ketika sedang menjalani rawatan sakit jantung di Hospital Sg Buloh, Selangor.

Apa yang ingin aku kongsikan ialah pesanan doktor kepada isteri Almarhum yang pertama iaitu Puan Aisyah bt Yob:
"Kamu tengok suami kamu tenang sahajakan. Dia nampak ok je, tapi sebenarnya dia tenat sangat. Jadi puan bersedia untuk terima segala ketentuan Allah dan kami para doktor akan buat yang terbaik."

BERSEDIA UNTUK TERIMA SEGALA KETENTUAN ALLAH.

Apa yang dinasihatkan oleh doktor seperti yang dikongsikan di atas tadi, sangat kita hargai. Ia salah satu etika yang sangat baik. Dan bertambah-tambah baik, bila ianya dikaitkan dengan 'ketentuan Allah'.

Persoalannya:
• adakah kita hanya perlu bersedia setelah dipesan oleh doktor?
• bersedia untuk terima ketentuan yang Allah bakal takdirkan kepada insan kesayangan kita sahaja?
• ketentuan Allah terhadap diri kita, bagaimana?
• doktor dan pasukan perubatan pula, bagaimana?

Aku dan mungkin para pembaca mudah lupa atau langsung tidak pedulikan pesan Allah dan RasulNya.

Ali Imran ayat 185:
كُلُّ نَفْسٍ ذَآئِقَةُ ٱلْمَوْتِ ۗ وَإِنَّمَا تُوَفَّوْنَ أُجُورَكُمْ يَوْمَ ٱلْقِيَٰمَةِ ۖ فَمَن زُحْزِحَ عَنِ ٱلنَّارِ وَأُدْخِلَ ٱلْجَنَّةَ فَقَدْ فَازَ ۗ وَمَا ٱلْحَيَوٰةُ ٱلدُّنْيَآ إِلَّا مَتَٰعُ ٱلْغُرُورِ
Tiap-tiap yang bernyawa akan merasakan mati. Dan sesungguhnya pada hari kiamat sajalah disempurnakan pahalamu. Barangsiapa dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, maka sungguh ia telah beruntung. Kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdayakan. 3:185 

Al Jumuah ayat 8:
قُلْ إِنَّ ٱلْمَوْتَ ٱلَّذِى تَفِرُّونَ مِنْهُ فَإِنَّهُۥ مُلَٰقِيكُمْ ۖ ثُمَّ تُرَدُّونَ إِلَىٰ عَٰلِمِ ٱلْغَيْبِ
 وَٱلشَّهَٰدَةِ فَيُنَبِّئُكُم بِمَا كُنتُمْ تَعْمَلُونَ
Katakanlah: "Sesungguhnya kematian yang kamu lari daripadanya, maka sesungguhnya kematian itu akan menemui kamu, kemudian kamu akan dikembalikan kepada (Allah), yang mengetahui yang ghaib dan yang nyata, lalu Dia beritakan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan". 62:8

Sabda Rasulullah SAW:
"Bahawa Malaikat Maut memerhati wajah setiap manusia di muka bumi ini 70 kali dalam sehari. Ketika Izrail datang merenung wajah seseorang, didapati orang itu ada yang sedang gelak ketawa. Maka berkata Malaikat Maut : Alangkah hairannya aku melihat orang ini, sedangkan aku diutus oleh Allah Taala untuk mencabut nyawanya, tetapi dia masih berseronok-seronok bergelak ketawa."

Jelas sejelas-jelasnya. Semua yang bernyawa pasti akan mati. Kematian yang kita ingin lari darinya, pasti akan menemui kita, sebagai takdir yang tetapkan sejak azali lagi. Dan Malaikat Maut dalam menjalankan tugasnya, memerhati wajah kita sebanyak 70 kali setiap hari. Kita tidak akan terlepas. Tepat tarikh, masa dan ketikanya, kita akan mati. Tapi kenapa kita tidak bersedia? Bukan sekadar bersedia menerima kematian orang yang disayangi. Bahkan bersedia menerima kematian kita sendiri, yang bakal menjelma bila-bila masa.

KEMATIAN YANG INDAH

Diakhir tulisan aku kali ini, ingin aku menyentuh lagi perihal perginya YBhg Almarhum Tuan Nasarrudin bin Awang. Beliau seorang penyusun / penulis buku Catatan Sejarah Rasulullah SAW. Disaat mendapat rawatan di Sg Buloh, keadaannya sangat uzur sehingga tidak mampu bercakap. Untuk berinteraksi, beliau hanya menulis sahaja.

Bagiku - begitu indah kematian yang diciptakannya. Beliau seolah tahu saat kematiannya sangat hampir. Maka beliau sempat menulis untuk berinteraksi. Apa yang ditulis oleh Almarhum?

     "T. KASIH SEMUA.
      Ampun maaf semua.
        Assalamualaikum."


Tiga ungkapan ditulis saat-saat akhir beliau menghembuskan nafas, petanda bahawa beliau tahu saat untuk meninggalkan dunia yang fana ini. Kematian di bulan Rabiulawal atau lebih tepat 10hb RabiulAwal 1436H, 2 hari sebelum masyarakat yang cintakan Rasul SAW, meraikan hari keputeraan Baginda.

Dan satu lagi catatan dalam Facebook ketika beliau berkunjung ke Haramain, dalam keadaan yang uzur kerana perlu menjalani rawatan 'dialysis' iaitu mencuci buah pinggang. Apa yang beliau catatkan?

"Tawaf Wida'....nak bergerak ke Madinah sblm (sebelum) subuh...Ya Rasulullah terimalah daku sambutlah tanganku..."


Kawanku Nasarrudin!

Sememangnya engkau telah meletakkan contoh sebagai pejuang yang gigih. Tidak kenal erti sakit dan tidak kenal erti rehat. Pernah aku ditegur oleh YBM Bonda Hatijah Aam, agar meniru roh perjuangan mu.

Engkau membawa roh perjuangan Rasul SAW, berkat Mursyid kita, hingga ke akhir hayat mu. Semoga engkau sedang bergembira di alam yang baru, bertemankan roh Baginda Rasul SAW.

Engkau tinggalkan kepada kami (berkat Mursyid) sebuah buku / kitab; Catatan Sejarah Rasulullah SAW, untuk kami baca dan hayati, hingga benar-benar mencintai dan merindui Baginda.

Dan rindunya aku, untuk dapat menjejaki roh mu, yang telah berjaya, menjejaki roh Mursyid kita dalam merindui Nabi SAW dan takutkan Allah.

Selamat beristirehat sehingga sampai saat engkau dipelawa masuk ke syurga Allah, berkat Rasul SAW. Aamin!


Pembaca budiman,

Cukup setakat ini dan aku akan sambung penulisan tentang Sembahyang Dapat Rasa Takutkan Allah, ditulisan akan datang. ٳنشاء الله 

Ampun maaf
---------*---------

Biodata

Nasarrudin bin Awang.

Lahir pada 15/5/1972 di Pantai Remis, Perak.

Hafiz Al-Quran dalam waktu yang singkat ketika belajar di Karachi, Pakistan

Melanjut pelajaran hingga ke Jordan dan mendapat keputusan cemerlang dalam bidang syariah.

Isteri-isteri:

1) Siti Aisyah bt Yob

2) Ummu Athirah bt Roslan

3) Raden Nurul Ayunni bt Shumardi Jaya

Anak-anak:

1) Muhammad Batholullah

2) Abu Ubaidah

3) Muhammad Abu Laith

4) Hanisah

5) Muhammad Ahnaf

6) Muhammad Anis

7) Najiebah

8) Muhammad Al Fateh

9) Muhammad Idris

10) Suwaibah

11) Asyaari

* Semoga kalian semua tabah, sabar dan redha. Didoakan, Allah juga redha ke atas roh Almarhum Tuan Nasar, kalian semua dan kami semua. آمين يا رب العالمين 

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Sample text

Sample Text

Sample Text