Fenomena Ekuinoks mulai tengahari esok
20 Mac 2015
gambar hiasan
KUALA LUMPUR - Seluruh dunia akan mengalami fenomena Ekuinoks - yang berlaku apabila matahari melintasi garisan Khatulistiwa - bermula tengah hari esok.
Pegawai Sains Agensi Angkasa Negara, Mohd Zamri Shah Mansor berkata fenomena itu berlaku apabila matahari melintasi garisan Khatulistiwa untuk mengubah kedudukannya dari hemisfera Selatan Bumi ke hemisfera Utara setelah enam bulan berada di hemisfera Selatan.
"Ketika ia berlaku, mereka yang berada di atas atau berdekatan dengan garisan Khatulistiwa terutamanya di kawasan Pontianak, Indonesia akan mendapati matahari berada tegak di atas kepala pada waktu tengah hari, bergantung kepada waktu tempatan masing-masing.
"Ketika matahari tegak di langit, orang ramai tidak dapat melihat bayang-bayang mereka seperti kebiasaan," katanya pada sidang media selepas penstriman secara langsung Fenomena Gerhana Matahari Penuh di Planetarium Negara di sini, hari ini.
Semasa fenomena Ekuinoks, seluruh dunia akan mengalami waktu siang dan malam yang sama panjang iaitu 12 jam siang dan 12 jam malam.
Sementara itu, penstriman secara langsung itu bertujuan menyaksikan Gerhana Matahari Penuh di utara Kepulauan Faroe di Lautan Norway.
Gerhana Matahari Penuh itu mengambil masa empat jam sembilan minit bermula pada 3.41 petang dan berakhir pada 7.50 petang waktu Malaysia.
"Fenomena ini berlaku pada 8.41 pagi waktu Kepulauan Faroe dan kemuncaknya berlaku pada 10.15 pagi ketika itu. Ketika inilah (10.15 pagi) penduduk di sekitar kawasan itu akan mengalami waktu gelap selama 2 minit," katanya.
Selain kawasan kepulauan Faroe, fenomena itu juga dapat dilihat di kawasan Lautan Artik dari Greenland ke Norway.
Mohd Zamri berkata fenomena gerhana matahari berlaku apabila bulan melintasi di antara Bumi dan Matahari yang penduduknya dapat melihat bayang-bayang matahari secara penuh atau separa.
"Fenomena kali ini merupakan fenomena gerhana matahari penuh terakhir buat penduduk Eropah sebelum gerhana matahari penuh berikutnya pada 12 Ogos 2026," katanya.
Pertanyaan lanjut boleh dibuat dengan menghubungi Planetarium Negara di talian 0322734301/4303/5484 atau layari laman web www.angkasa.gov.my ataupun laman sosial Facebook 'Agensi Angkasa Negara'. - Bernama
SUMBER; SINAR HARIAN
saya lihat matahari ditgh hari betul2 tegak di atas kepala dan x de bayang pun .
BalasPadam