Social Icons

Ahad, 8 Mac 2015

Luar Biasanya Rasa Syukur Rasulullah Saw!!


Orang Islam itu tidak ajaib. Tetapi, orang beriman diiktiraf sebagai menakjubkan. Kenapakah orang beriman mencapai tahap yang menakjubkan?

Hal ini kerana mereka mampu melalui segenap liku kehidupan dengan tabah dan ketenangan.

Rasulullah SAW bersabda: “Sungguh ajaib keadaan orang beriman, sesungguhnya semua urusan mereka berada dalam keadaan baik. Dan tiad ayang memperolehi keadaan ini melainkan orang yang beriman sahaja. Sekiranya dia dianugerahkan sesuatu, dia berSYUKUR. Maka jadilah anugerah itu baik untuknya. Sekiranya dia ditimpa musibah, dia bersabar. Maka jadilah musibah itu baik untuknya” Hadith riwayat Muslim.

Dipagi aman dan damai ini, saya teringat sebuah kisah Rasulullah tentang erti syukur.

BAGINDA Rasulullah s.a.w akan menampal sendiri pakaiannya yang koyak tanpa perlu menyuruh isterinya, malah Baginda juga memerah sendiri susu kambing untuk keperluan keluarga mahupun untuk di jual.

Setiap kali Baginda balik ke rumah dan dilihatnya tiada makanan yang siap untuk dimakan, Baginda tersenyum sambil menyinsing lengan baju bagi membantu isterinya di dapur. Sayidatina Aisyah pernah menceritakan bahawa baginda selalu membantu urusan rumahtangga.

Jika mendengar azan, Baginda akan cepat-cepat berangkat ke masjid dan segera pulang selepas bersembahyang.

Pernah pada suatu pagi Baginda pulang ke rumah dengar lapar sekali. Tetapi dilihatnya tiada makanan untuk dibuat sarapan. Makanan yang mentah pun belum ada kerana Sayidatina Aisyah belum lagi ke pasar.

Lalu Baginda bertanya “belum ada sarapan Ya Khumaira?”. Khumaira adalah panggilan manja untuk Sayidatina Aisyah yang bermaksud wahai yang kemerah-merahan. Sayidatina Aisyah menjawab dengan serba salah “belum ada apa-apa Ya Rasulullah”.

Mendengar jawapan Sayidatina Aisyah, Baginda pun berkata “jika begitu aku berpuasa hari ini” tanpa sedikitpun tergambar perasaan kesal di wajah Baginda.

Sebaliknya Baginda sangat marah sekiranya melihat seorang suami mengkasari isterinya. Pernah diceritakan pada suatu hari Baginda melihat seorang suami memukul isterinya.

Baginda lalu bertanya “mengapa engkau memukul isterimu?”.

Soalan itu di jawab oleh si suami dengan gementar “isteriku seorang yang keras kepala, walaupun telah di berikan nasihat tetapi dia masih berdegil, jadi aku pukul dia”.

Sahut Baginda “Aku tidak bertanya alasanmu tetapi menanyakan kenapa engkau sanggup memukul teman tidurmu dan ibu kepada anak-anakmu”.

Pernah Baginda bersabda “sebaik-baik lelaki adalah yang paling baik dan lemah lembut terhadap isterinya”.

Sebenarnya sikap Baginda yang prihatin, sabar dan tawadhuk di dalam menjadi ketua keluarga langsung tidak menjejaskan kedudukannya sebagai pemimpin umat.

Pernah pada suatu ketika, Baginda mengimamkan solat, dilihat oleh para sahabat pergerakan Baginda dari satu rukun ke satu rukun yang lain amat sukar sekali. Malah mereka mendengar bunyi menggerutup seolah-seolah bunyi sendi Baginda Rasulullah sedang bergesel diantara satu sama lain.

Setelah selesai sembahyang, Sayidina Umar yang tidak tahan melihat Baginda lalu bertanya “Ya Rasulullah, kami melihat seolah-olah tuan hamba sedang menanggung penderitaan yang amat berat, adakah tuan hamba sedang sakit?”.

Lalu baginda menjawab “tidak Umar, Alhamdulillah aku sihat dan segar”.

Umar yang tidak berpuas hati dengan jawapan tersebut terus bertanya “kalau tuan hamba sihat, kenapa setiap kali menggerakkan tubuh, kami mendengar seolah-olah sendi tuan hamba sedang bergeselan”.

Akhirnya Rasulullah mengangkat jubahnya. Para sahabat amat terperanjat. Perut Baginda yang kempis, kelihatan dililiti sehelai kain yang mengandungi batu-batu kerikil bagi menahan rasa lapar. Batu-batu kecil itulah yang menerbitkan bunyi setiap kali Baginda menggerakkan tubuhnya.

Para sahabat yang tadinya terperanjat terus bertanya “Ya Rasulullah, adakah tuan hamba fikir bila menyatakan lapar dan tiada makanan, maka kami tidak akan membawanya”.

Lalu baginda menjawab dengan lembut “tidak para sahabatku, aku tahu apapun akan kamu korbankan dengan seorang Rasulmu, tetapi apakah yang akan aku jawab di hadapan Allah nanti kerana aku sebagai seorang pemimpin menjadi beban kepada umatnya”.

Baginda menambah “biarlah kelaparan ini menjadi hadiah Allah buatku agar umatku kelak tiada yang kelaparan di dunia ini, lebih-lebih lagi di akhirat kelak”.

Sebab itulah Baginda tidak pernah merasa malu walaupun makan di sebelah seorang tua yang miskin, kotor dan dipenuhi dengan kudis.

Kecintaannya yang tinggi terhadap Allah dan rasa kehambaan yang sudah sebati dalam diri baginda menolak sama sekali rasa ketuanan. Seolah-olah anugerah kemuliaan dari Allah langsung tidak dijadikan alasan untuk merasa lebih daripada orang lain di depan orang ramai mahupun ketika bersendirian.

Walaupun pintu syurga telah terbuka seluas-luasnya untuk Baginda tetapi Baginda masih lagi berdiri di malam-malam sepi untuk terus beribadah kepada Allah. Pernah Baginda terjatuh kerana kaki-kakinya bengkak oleh sebab terlalu lama berdiri. Fizikalnya sudah tidak mampu lagi menanggung kemahuan jiwanya yang tinggi.

Apabila ditanya oleh Sayidatina Aisyah “Ya Rasulullah, bukankah tuan hamba telah di jamin syurga. Mengapa tuan hamba masih bersusah payah sebegini?”.

Baginda menjawab dengan tenang “Ya Aisyah, bukankah aku ini hanyalah seorang hamba. Sesungguhnya aku ingin menjadi seorang hambaNya yang bersyukur.”

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Sample text

Sample Text

Sample Text