Social Icons

Selasa, 10 Mac 2015

Misi Khas Menangkap Burung Di Hutan Pahang?

Misi Madu Kelulut

Sehari dua ini Pak Lang akan ke rumah abang di Pahang untuk mengambil madu kelulut yang banyak khasiat. Semoga ada rezeki yang banyak kali ini. Mahal juga harganya tapi beli dengan abang - boleh berkira la. 

Rencananya hendak usahakan juga beberapa buah sarang untuk di letakkan di dalam Mini Zoo Limpahan Kasih, Puchong. Mini Zoo ini kami usahakan untuk memelihara beberapa spesis binatang seperti arnab, burung peru, burung merpati, burung puyuh, ayam kampung, itik nila dan itik air (telor). 

Misi Tangkap Burung Hutan

Insya Allah bila ke Pahang nanti, salah satu misi kami ialah menjerat burung hutan!!! (tapi bukan yang jenis dalam perlindungan MERGASTUA / PERHILITAN).

Berbalik pada khasiat madu kelulut, memang terasa kesannya pada Pak Lang terutama pada usus. Pencernaan mudah, keluar peluh, sendawa (buang angin) dan cuci saluran penghadaman. 

Khasiatnya seperti berikut. Jika sesiapa nak order untuk berubat - sila beritahu Pak Lang. Boleh Pak Lang tolong belikan.

Kenali Lebah Kelulut

Madu adalah makanan sunnah yang digalakkan Rasulullah saw. Madu lebah kelulut termasuk makanan sunnah. Jadi tentulah khasiatnya istimewa dan luar biasa. 

Perlu diingat sunnah dalam memakan ubat atau mengambil apa jua makanan atau minuman ialah menghadapkan hati kepada Allah. Allahlah tempat tujuan permintaan kita. Khasiat atau kelebihan ubatan, makanan atau minuman hanyalah sebab atau mengambil ikhtiar. Kita disuruh berikhtiar tetapi keyakinan asas mestilah pada Allah swt. 

Sebab itu Rasulullah saw berdoa dalam berbagai versi permintaan kepada Allah dalam apa jua tindakan Baginda. Guru Pak Lang mengangkat tangan dengan serius ketika hendak makan, menaiki kenderaan, mendoakan seseorang, mendoakan sesiapa yang meninggal dunia dan lain-lain. 

Ketika mahu menelan ubat yang kecil halus sekalipun tetaplah dia akan mengangkat tangan berdoa mengharapkan bantuan dan pertolongan Allah. Maksudnya yang dapat kita faham, elakkan bersandar hati dengan ubat-ubatan atau rawatan sebaliknya bergantung haraplah kepada Allah semata-mata. 


Cara Ambil Madu Kelulut

Lebah kelulut merupakan lebah yang bersaiz kecil berbanding lebah madu yang biasa kita lihat. Lebah kelulut juga mempunyai habitat yang agak pelik iaitu dalam tunggul-tunggul kayu. Mengambil lebah kelulut ertinya mendapatkan kayu yang dibuatkan sarang lebah kelulut di situ. 

Kayu pokok ini biasanya masih hidup cuma ada bahagian kayu ini yang berongga yang membolehkan lebah kelulut ini membuat sarangnya di situ. Cukup dengan bukaan atau lubang yang kecil untuk masuk ke dalam rongga kayu yang luas dan besar di dalamnya, lebah kelulut akan menghasilkan madu di dalam rongga tersebut. Mungkin juga ada rongga sedemikian di dalam tunggul mati, lebah kelulut akan bersarang juga di situ.

Untuk mengambil sarang tersebut, biasanya perlu mencarinya di hutan tebal. Pohon kayu itu perlu di tebang dan dikerat bahagian yang ada lebah itu sahaja untuk di bawa pulang. 

Harga sepotong kayu sepanjang 3 - 4 kaki ini ialah sebanyak RM250.00. Agak wajar harga sebanyak itu jika dilihat pada kesusahan mengangkatnya keluar dari dalam hutan. 

Bayangkan mengangkat beban seberat tong gas sejauh beberapa kilometer dalam keadaan jalan penuh semak belukar berduri. Apatah lagi perjalanan sukar itu sambil tubuh disengat lebah kelulut. Sengatannya tidaklah sebisa lebah biasa dan tidaklah sekuat gigitan semut api - tapi tetaplah 'terasa' juga. 

Batang kayu berongga berisi sarang lebah kelulut ini adalah tempat tinggal ratu lebah. Menariknya ratu lebah ini tidak terbang meninggalkan koloninya walau apa pun berlaku. 

Bila sampai ke rumah, batang berongga ini akan di potong dan dibuatkan rumah khas bagi membolehkan lebah kelulut membuat sarangnya. Batang berongga itu memang sengaja di potong sekira-kira ruang untuk membina sarang baru sudah tidak ada melainkan di bahagian atasnya. 

Di bahagian atas inilah dibuatkan rumah kecil sebagai tempat lebah menyambung membuat sarangnya. Madu akan mula terhimpun di bahagian atas papan di dalam rumah yang dipasang di atas bongkah kayu ini. Mudahlah mengambil madu kelulut itu dari bahagian atas. Hanya perlu diangkat 'bumbung' rumah itu, madu sudah dapat di hisap keluar.  

Maka tidak hairanlah kenapa para pengusaha menggunakan rumah kotak yang diperbuat daripada kayu sebagai pelindung koloni lebah kelulut.

Madu yang dihasilkan oleh lebah kelulut ini tidaklah sepekat madu tualang yang banyak di pasaran sekarang. Ia dapat dilihat daripada tesktur warnanya. Namun begitu, khasiat madu kelulut ini masih ajaib seperti yang dijangka.

Madu lebah kelulut merupakan madu yang tinggi khasiatnya kerana saiz lebah yang begitu kecil membolehkan ia menyedut madu daripada bunga jauh lebih dalam.

Dikatakan bahawa pihak MARDI telah melakukan pelbagai penyelidikan berkenaan lebah kelulut ini. Nampaknya memang ia antara sumber terbaik untuk kesihatan. Sehingga hari ini, lebih kurang 30 spesis lebah kelulut dikumpul.

Antara Khasiat Madu Kelulut Yang Ajaib
Kencing manis
Strok
Kanser
Hipertension
Gaut
Sakit sendi
Kuatkan tenaga batin
Anti penuaan
Jerawat
Kudis, kurap atau jangkitan kulat pada kulit
Tingkatkan metabolisme
Memulihkan kecederaan dalaman

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Sample text

Sample Text

Sample Text