Social Icons

Ahad, 1 Mac 2015

Ibu Bapa Penentu Hidup Mati Kita

Kita lahir ke dunia sebab ada ibubapa. Tanpa mereka berdua, tidak adalah kita. Itu sunnatullah. Allah jadikan manusia ada ibu dan bapa. Tidak patut ada manusia yang melupakan hal yang asas ini. Allah mengajar kita agar mengakui ada orang lain yang berjasa pada kita. Menjadi manusia yang baik ialah manusia yang mengenang jasa.

Manusia diminta mengutamakan syukur - mengenang nikmat Allah yang tidak terhingga pada kita. Itulah kesyukuran yang wajib di terjemahkan dalam bentuk tindakan - mentaatiNya, mengikut semua perintahNya dan meninggalkan semua laranganNya. Terlalu banyak hal yang kita lupa dan lalai dalam mensyukuri nikmat Allah. 

Terima kasih kita yang kedua tentunya kepada Rasulullah saw yang sangat banyak jasa Baginda saw kepada kita. Bagindalah penyelamat kita dunia akhirat. Di dunia, Bagindalah yang telah menunjukkan jalan keselamatan iaitu islam untuk kita anuti dan patuhi seluruh ajarannya. Di akhirat Baginda menunggu umatnya dengan syafaat yang agung.

Kemudian, kita wajib taat, patuh dan berbakti kepada kedua ibubapa. Orang yang melupakan hal ini ertinya mereka orang yang sombong. Mereka gagal untuk tawadhuk merendah diri. Ibubapa adalah sumber kejayaan dan keselamatan. Tidak mungkin seseorang insan menempa kejayaan di dalam hidupnya jika masih ada kesalahan dengan ibubapanya. 

Sebab itu, telah ramai kita temui orang-orang yang tak tahu ke mana hala tuju dalam hidup. Ke sana ke mari tanpa ada matlamat. Ditipu, diseleweng, dianiaya dan diperlakukan berbagai-bagai ujian ke atas mereka - puncanya kerana mereka gagal melakukan ketaatan dan mendapatkan keredhaan ibubapa mereka. 

Kadang-kadang sombong tak mahu mengakui kelemahan dan kesilapan diri - masih terus mahu menempuh hidup tanpa redha ibubapa. Tanpa sedar nanti di hujung hidup mereka adalah sengsara.

Ibubapa sedang menunggu kita dengan doa dan kasih sayang mereka. kembalilah merujuk dengan mereka dan berbuatlah apa saja demi mendapatkan keredhaan mereka. Berhati-hatilah dengan apa jua tingkah laku, percakapan dan tindak tanduk kita. Antara syurga dan neraka mana pilihan kita?

Pada kali ini marilah kita membicarakan bagaimana cara untuk menjaga hati ibu bapa kita secara berkesan, seterusnya mewujukan keluarga yang bahagia dan harmoni.

1. Sentiasa Hormat Dalam Apa Jua Emosi

Bersikap hormat dalam keadaan apa jua emosi sekali pun. Mungkin kita pernah marah, pernah kecewa, tetapi perasaan itu sebaik-baiknya tidak mengurangkan rasa hormat kita kepada kedua-dua ibu bapa kita. Tetap tenang dan tetap bijak menjaga emosi dengan baik

2. Jangan membantah apabila ada pendapat yang berbeza.

Pendapat perlu disampaikan dengan cara yang halus dan sopan, bukan dengan keras. Beza generasi, beza usia, beza pengalaman membuatkan ruang perbezaan semakin luas. Jangan bersikap kasar dengan mengeluarkan perkataan yang tidak sopan. Tetaplah menjaga etika dengan mereka.

3. Jangan Meninggi Suara

Bagaimana sekalipun perasaan kita pada masa itu, jangan berteriak, membentak, bersuara dan bernada keras dalam berbicara dengan ibu bapa. Ya, memang sangat susah mengendalikan emosi ketika marah, tetapi cubalah lakukan dengan baik. Insyaallah, semuanya dapat diatasi dengan baik.

4. Menjaga Hati Ibu Bapa Dengan Selalu Meminta Izin

Meminta izin dan mencium tangan ibu bapa sebelum pergi atau selepas pulang. Kita menerapkan hal ini berdasarkan apa yang ibu bapa kita ajarkan sewaktu kita masih kecil dahulu. Kita pasti dapat merasakan kesan positif hasil tabiat ini.

5. Jangan Pernah Memarahi

Jangan sesekali memarahi ibu bapa walaupun ada yang kita rasakan tidak betul pada mereka. Teguran mesti disampaikan secara sopan. Mengapa perkara ini disampaikan berulang kali? Kerana ia sangat penting untuk kita jaga. Jangan sesekali membentak mereka meskipun mereka di pihak yang salah.

6. Jangan Berleter Kepada Ibu Bapa

Jangan mengajari, menasihati atau memberi ceramah kepada ibu bapa. Apabila mahu memberi pandangan atau ibu bapa meminta pendapat kita, perlulah memberikan dengan sopan dan berhikmah. Mungkin banyak perbezaan pandangan, pendapat, pengetahuan dalam banyak perkara yang tidak mungkin pernah sama. Tetapi mereka berhak bagi mendapatkan cinta dan sayang dari kita.

7. Jangan Menyampuk Perbicaraan

Jangan sekali-kali menyampuk perbicaraan ibu bapa. Ini etika asas yang mesti difahami secara betul. Jika etika ini kita terus lakukan hingga dewasa, ini akan menjadi nilai yang baik. Kita tahu bila sepatutnya bercakap dan bila kita perlu memerhatikan dengan baik. Kebolehan mendengar dan memerhati dengan baik jarang dimiliki oleh kebanyakkan orang. Sebahagian besar hanya pandai dalam hal percakapan, tetapi cukup runsing apabila perlu mendengar dengan baik percakapan orang lain. 

8. Menjaga Hati Ibu Bapa Dengan Mendahulukan Mereka

Tatacara lain adalah sikap sehari-hari iaitu mengutamakan atau mendahulukan ibu bapa dalam segala aktiviti seperti memberikan tempat duduk, memulakan makan minum dan sebagainya. Akhlak ini jarang kita dapati pada jiwa anak muda hari ini.

9. Jangan Sesekali Menyentuh Kepala Ibu Bapa

Jangan sesekali menyentuh kepala ibu bapa apabila sedang berhadapan atau berkomunikasi kecuali untuk tindakan tertentu seperti memotong rambut.

10. Menjaga Hati Ibu Bapa Bila Berhadapan dengan mereka

Apabila berhadapan dan berbicara dengan ibu bapa mesti bersikap sopan, tidak bercekak pinggang, tidak melutut, tidak bersuara keras dan membentak.

11. Membantu Tanpa Diminta

Apabila melihat ibu bapa dalam kesusahan seperti mengangkat beban berat dan mengerjakan pekerjaan berat lain, tanpa diminta kita sepatutnya segera membantu.

SUMBER: AQILAHNIK

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Sample text

Sample Text

Sample Text