Social Icons

Ahad, 1 Mac 2015

Suara Hati Bakal Pengantin

Bacalah suara hati seorang anak gadis yang akan menyambut hari istimewa dalam hidupnya. Pak Lang paparkan di sini tulisan beliau sebagai mengingatkan semua yang pernah menjadi pengantin bahawa inilah luahan hati kita semua sebelum menempuh gerbang rumah tangga.

Hanya yang terbaik di kalangan umat ini yang akan terpilih berjaya menjadikan rumah tangga sebagai bahtera indah menuju syurga. Beruntunglah mereka yang berbahagia dengan rumah tangga dunia. Dan paling beruntung (tidak terhingga) bila mana berjaya menyambung kebahagiaan rumah tangga di dalam syurga di akhirat.

Tahniah untuk bakal pengantin ini..

DALAM MENJADI YANG TERBAIK
Bersama saya, Nadia Mujahidah

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang
Assalamualaikum dan selamat sejahtera saya ucapkan buat pembaca entri saya pada kali ini.

Entri terakhir yang menjadi catatan saya adalah pada April 2014 yang lalu. Selama tempoh itu, banyak yang berlaku dan banyak yang berlalu. Dan sedar atau tidak, mungkin juga inilah entri terakhir saya dalam status bujang. Masyaallah.

Pertama dan selama-lamanya, syukur kita ke hadrat Allah swt, yang mengurniakan kita segala-galanya. Hamba yang berdosa moga diberi keampunan dan kesedaran agar tidak putus asa dengan usaha taubatnya.

MASIH BELUMKU MAMPU
Bak kata sahabat saya sebentar tadi menyakat, “Enti, minggu terakhir jadi anak dara,” kata Atiq. Err…. Ye tak ye juga. Saya baru sedar. Dalam kesibukan dengan persiapan perkahwinan dan urusan di kampus, saya baru sedar apabila sahabat saya sendiri yang menyebutnya. Keliru dengan apa yang dirasa. Risau, sedih, gembira dan pelbagai rasa. Terfikir, sudahkah saya cukup menjadi anak yang baik untuk menjadi isteri yang baik? Mampukah saya taat kepada seorang suami dengan sikap degil terhadap ibu dan ayah selama ini masih belum dapat dikikis sepenuhnya?

Ayah dan ibu, belum pun dirasa hasil titik peluhku dari bekerja dan berpendapatan sendiri, kini jodohku bakal tiba. Kutahu mereka merestuinya, kutahu mereka melepaskanku dengan rela, namun dengan penuh harapan agar mereka tidak dilupa. Sungguh, aku bukan manusia sempurna, mengecilkan hatimu bukanlah niat sebenarnya. Jika aku masih tersalah, janganlah maaf diberi tanpa putus asa. Teruslah menasihatiku agar tidak leka. Teruslah mengingatkanku walau aku sudah berpunya.

Di saat ini, aku berehat menunggu masa. Kesibukanku tidak sesibuk mereka, bersengkang mata menyiapkan segala, menghadapi hari majlis ikatan kaseh satu-satunya puteri mereka. Semoga segalanya berjalan lancar dan dikurniakan keberkatan di dalamnya.

MENJAGA HATI IBU BAPA DENGAN BERKESAN
Pembaca yang dihormati sekalian, sejauh manakah kita telah menunjukkan cinta kita kepada ibu dan ayah? Sedar atau tidak, dalam tahu atau tidak, sesungguhnya pengorbanan mereka terlalu besar buat kita. Benar, kita manusia biasa dan tidak akan pernah sempurna dan akan ada kurangnya. Namun, haruslah kita mengusahakan yang terbaik.

Seorang ustazah pernah berpesan, “Nadia, selepas kahwin nanti, lebih banyak hati yang perlu dijaga. Terutamanya perasaan dan hati ibu dan ayah dan mertua.”

Dalam menjaga hati, saya tertanya, bagaimanakah caranya yang mungkin boleh diusahakan. Pernah ibu kata, “Ibu tak minta duit along, ibu tak nak minta apa-apa, Cuma jaga hati ibu.” Berat saya rasa, kerna saya tidak pernah mahu melakukannya. Namun, saya manusia biasa. Terlalu banyak kekurangannya.

BOLEH DIUSAHAKAN
Di sebuah blog, saya terbaca cadangan cara dari penulisnya agar dapat menjaga hati ibu dan ayah. Mungkin boleh dipraktikkan dan semoga sifat ini dapat dijadikan kebiasaan dan dibawa sehingga bila-bila nanti. Antaranya adalah bersikap hormat dalam keadaan apa jua emosi sekali pun. Mungkin kita pernah marah, pernah kecewa, tetapi perasaan itu sebaik-baiknya tidak mengurangkan rasa hormat kita terhadap ibu dan ayah. Berusahalah untuk tetap tenang dan tetap bijak menjaga emosi dengan baik.

Ayah kata begini, saya kata begini. Ibu kata begitu, saya pula kata “tidak… sebenarnya begini…” Huhu, sahabat yang memerhati menghalang, “cuba dengar dulu….” Hehe. Nadia…Nadia… Terukkan saya? Dalam soal pandangan dan pendapat, sampaikanlah dengan cara yang halus dan sopan, janganlah berkeras. Bukankah beza generasi, usia dan pengalaman membuka ruang perbezaan yang luas?

Adakalanya, dikemuncak, suara ini bagaikan meninggi. Astaghfirullah..bercakapnya dengan ayah dan ibu tu kan… Bagaimana sekalipun perasaan kita pada masa itu, usahalah agar tidak berteriak, membentak, bersuara dan bernada keras. Susah…. mengendalikan emosi ketika marah, tetapi cubalah lakukan dengan baik. Insyaallah, semuanya dapat diatasi dengan baik. Jangan sesekali memarahi mereka, walaupun ada yang kita rasakan tidak betul pada mereka. Meskipun mereka di pihak yang salah.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Sample text

Sample Text

Sample Text