Seorang ibu mengadu pada Pak Lang hal anak perempuannya.
"Ustaz! Anak perempuan akak sudah lama tak balik rumah. Dia ikut kenalan internetnya!"
"Ikut ke mana?" Tanya Pak lang
"Ikut tinggal sekali di rumah budak tu"
"Budak tu lelaki ke perempuan?"
"Perempuan juga tapi rupa dia macam budak lelaki"
"Rumah budak tu di mana? Dah pernah cari?"
"Jauh nun di Sabah, Ustaz! Tak tahu nak cari di mana. telepon pun tak dijawab".
Kelihatan kakak itu sugul sangat. Ketika berceritakan tentang anaknya, dia sudah mula mengalir air mata. Maklumlah anak yang disayang, sudah habis belajar di universiti, begitu pula jadinya.
Nadanya bercerita, ada sedih, geram dan kesal dengan apa yang berlaku. Kalau kena pada anda, bagaimana anda menanggungnya?
Pak Lang sedar, itulah masalah ramai ibubapa sekarang ini. Pak Lang kerap menerima aduan sebegini. Kes anak lari dari rumah - tak balik-balik sudah mencecah ribuan orang di seluruh negara. Mungkin ada yang sudah mati tetapi ramai yang masih hidup. 'Selesa' dengan cara hidup bebas tiada 'kongkongan' ibubapa kata mereka.
Statistik yang dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan kes remaja lari dari rumah dengan 6,270 kes dicatatkan sejak 2004 hingga Mei tahun 2007. Ianya meningkat mendadak di mana pada tahun 2010 sahaja kes berkenaan mencatatkan sebanyak 4,097 remaja yang membabitkan remaja seawal usia 10 hingga 17 tahun. Majoritinya gadis dalam lingkungan 13-16 tahun. Ertinya jika setahun 4,000 kes, tahun 2015 tentu terkumpul (sejak 2004): hampir 30,000 kes!!! Dan adakah hampir semuanya tidak dapat dicari?
Ya Allah tolong selamatkan anak cucu kami dan zuriat keturunan kami!!
Hakikatnya masalah sebegini semakin meruncing. Bagaimana merawatnya? Setakat ini belum ada yang serius melakukan usaha mengangani isu lari dari rumah secara terancang, tersusun dan berkesan. Semua hanya mampu memberi simpati tanpa ada jalan keluar. Yang ramai memaparkan teori yang pelbagai. Pendekatan yang praktikal tidak ada.
Isu asasnya bermula dari didikan atau tarbiyah. Proses mesti bermula sejak bayi dalam kandungan siibu. Bila lahir, perlu dipupuk, dididik, diberi tunjuk ajar, pengajaran, pendidikan mengenalkannya kepada Tuhan terlebih dahulu. Maksudnya sejak lahir - bermula dengan azan dan iqamat di telinga kanan dan kiri sibayi, proses memperkenalkan si anak kepada Allah Tuhan maha pencipta itu mesti berlaku secara berterusan dengan pelbagai teknik.
Teknik tidak boleh statik. Ianya kena digabung-jalinkan sehinga jadi bersepadu, normal, -secara resmi atau santai tetapi semuanya berkesan hingga membentuk jiwa hamba Allah.
Ramai ibubapa gagal dalam mendidik di peringkat awal. Hasil yang didapati ketika anak ini sudah remaja sangat mengejutkan. Anak-anak sudah pandai berbohong, kurang ajar dan berperangai tidak senonoh. Semuanya melukakan hati ibu bapa. Rasa tersayat-sayat daging di muka melihat karenah anak yang sudah berubah. Ibubapa hanya sedar dalam keadaan nasi sudah menjadi bubur.
Buluh tidak mungkin dapat di lentur. Masa rebung sudah berlalu. Buluh yang keras sudah berupaya bertindak sehingga sanggup membunuh ibubapa sendiri!!
Jadi apa yang perlu dilakukan bagi si kakak tadi ialah kembali kepada Allah. Pak Lang ajarkan beberapa teknik mendapatkan semula hati jiwa si anak dengan cara rohani. Itupun bergantung dengan kesungguhan kakak tersebut dan suaminya bertaubat dan muhasabah diri. Puncanya pada ibubapa maka ibu bapalah yang wajib merenung kesilapan diri mereka, mengakuinya dan bertaubat sungguh-sungguh.
Apa yang terjadi pada anak-anak adalah hasil 'program' samada sedar atau tidak oleh ibubapa. Menanam benih yang baik sahaja tidak cukup. Ianya perlu dijaga dari 'makhluk perosak'. Anak-anak perlu dibaja dengan kekuatan jiwa, iman dan Islam agar si anak jadi kuat hatinya dengan Allah dan Rasul. Anak itu akan jadi hebat dan luar biasa kalau kena cara didikannya.
Kalau tak kena cara, anak adalah musibah dan fitnah.
0 ulasan:
Catat Ulasan