Social Icons

Rabu, 11 Mac 2015

Wanita Perlu Tahu Kenapa Suami Tak Suka Balik Ke Rumah

Sebelum baca tajuk di atas, layan dulu gambar-gambar sepupu Pak Lang, Bang Ya (Yahaya Ahmad) bersama isteri ke empatnya (Siti Zawiyah). Gambar mereka bertiga beranak ini hanya hiasan saja. Tapi ajaibnya Si Zawiyah ini yang hendak kahwin dengan Bang Ya. Bukan mudah wanita berusia 27 tahun mahu berkahwin poligami dengan seorang lelaki berusia 60 tahun. Ha! Tu dia!! Boleh pun bahagia rumah tangga kalau kena cara didik isteri. Apa pun Pak Lang doakan Bang Ya sekeluarga sihat dan terus berjuang untuk Allah dan Rasul!!



Kisah rumah tangga yang biasa terjadi

Ada satu peristiwa yang tak dapat Pak Lang lupakan terjadi pada tahun 2004. Bukan insiden apa-apa pun cuma kisah rumah tangga. Kita yang sudah lama hidup ini tentulah dapat bayangkan suasana rumah tangga orang lain. Hasrat hati nak membantu - lalu Pak Lang kongsikan di sini hari ini. 

Satu pagi di Seremban Dua, Pak Lang minum teh tarik dengan beberapa rakan. Sambil menunggu hidangan roti canai dari gerai Ust Jai, kami berbual-bual.

Kebetulan meja kami panjang. Pak Lang duduk di hujung. Di belakang adalah dinding kedai. Walapun ruangan kedai terbuka luas, kami tidak nampak orang di sebalik dinding. Kami hanya dapat mendengar orang bercakap di sebaliknya. 

Kebetulan ada telepon awam di tepi dinding tersebut. Perlu diingatkan, masa itu masih ada yang menggunakan telepon awam. Sekarang semuanya sudah ada telepon bimbit walaupun warga emas berusia 90 tahun. Mak cik pak cik yang tua dan tidak reti nak guna pun sudah diajar anak cucu bagaimana menggunakan telepon bimbit - demi keperluan masing-masing.

Jadi telepon awam masa itu masih berfungsi. Sedang duduk-dudk itulah Pak Lang perasan ada kelibat seorang wanita yang gemok, mengilik dua orang anak kecil. Kedua-duanya comot. Sebahagian badan siibu kelihatan pada Pak Lang - itupun setelah Pak Lang memalingkan muka apabila mendengar suaranya bercakap di talian. 

Pak Lang yang paling dekat mendengar dengan jelas perbualan wanita tersebut dengan seseorang. Kalau ikut bahasanya, tentu yang sedang dihadapkan cakap dalam telepon itu adalah suaminya.

Apa boleh buat, Pak Lang sensitif sangat hal sebegini. Jadi, perbualan kakak ini 'melekat' di ingatan Pak Lang. Bukan sengaja hendak ambil tahu hal rumah tangga orang lain tapi ianya berlaku di 'tepi telinga' Pak Lang. Simpati pun ada, sedih pun ada. Kasihan dengan kakak ini walaupun siapa yang bersalah belumlah pasti. 

Apa yang berlaku adalah dialog suami isteri yang menggambarkan perkahwinan mereka sedang bermasalah. Lalu jika sesuatu berlaku, apa pula yang akan terjadi pada mereka. Adakah masing-masing akan bertemu dengan orang lain yang membahagiakan. Lalu bagaimana pula hal anak-anak. Itulah lintasan hati Pak Lang kalau mendengar isu rumah tangga sebegini. 

Begini dialognya...Ianya hanya kedengaran sebelah pihak sahaja. Suara orang yang menjawab panggilan itu tentulah tidak dapat kami dengar tapi dapatlah diagak....

"Abang kat mana ni?"

"Malam tadi abang tidur kat mana?

"Kenapa abang tak balik. Saya demam ni abang tahu tak?"

"Abang cakap la...abang kat mana malam tadi?"

"Ala abang jangan la temberang dengan saya..."

"Ok! ok abang cakap bila abang nak balik rumah? Saya demam, kepala ni sakit sangat, badan panas. Abang tak kesian kat saya ke?"

"Abang!! abang! abang! hish.." Talian terputus. Kedengaran gagang telipon di hempas kuat.

Sekali lagi Pak Lang menjeling melihat kakak tadi bergegas meninggalkan deretan kedai di situ. Jalannya garang dan tidak nampak gaya orang demam!! Tidak tahulah siapa yang betul. Demikianlah episod yang sentiasa terjadi dalam masyarakat. 

Isteri yang tidak puas hati dengan suami sanggup mengheret anak untuk mendengar dialog panasnya dengan suami atau bapa anak-anaknya. Si suami yang menerima pangilan telepon sebegitu akan tertekan, akan marah dan terus dengan egonya. Bayang 'bentuk pendidikan' yang tertanam dalam hati jiwa anak-anak yang masih mentah.

Tidak ada siapa yang menang dengan kemarahan. Orang yang berjaya ialah yang sabar dan redha serta menjadikan Allah tempat mengadu. 

Sebenarnya perkahwinan terjadi apabila dua orang lelaki dan wanita bersetuju untuk hidup bersama samada di dalam susah mahupun senang, sewaktu sakit ataupun sihat.Keduanya bersedia menerima segala kekurangan dan kelebihan diri masing-masing dengan hati yang terbuka. 

Rumahtangga yang harmoni adalah apabila pasangan suami isteri cuba untuk memahami kehendak dan keperluan pasangan mereka dan menggunakan medium komunikasi yang berkesan supaya salah faham dapat dielakkan. 

Untuk mengekalkan hubungan suami isteri, hindarkan sifat suka memendam perasaan daripada pengetahuan pasangan. Luahkan segala isi hati mengenai apa pun dengan cara positif dan berhikmah. Jadikan pasangan kita tempat mencurahkan perasaan berkongsi rasa apa yang di dalam hati. Yang dikatakan pasangan hidup adalah kerana mereka sebahagian dari diri dan hidup kita.

Masalah rumah tangga akan terus terjadi. Pergeseran dan pergolakan akan silih berganti dengan keseronokan dan kebahagiaan. Ianya lumrah dan terjadi pada semua rumah tangga. Yang berbeza ialah rupa masalah, kecil atau besar ujian yang menimpa. hakikatnya rumah tangga adalah ujian dari Tuhan. 

Isu suami tidak suka berada di rumah bersama isteri dan anak-anak terjadi kerana beberapa kemungkinan, antaranya adalah:

Sifat Semulajadi: Memang sifat suami ada yang tidak gemar berada di rumah dan sebagai isteri, juga mungkin sudah sedia maklum, mungkin terbiasa dengan kehidupan sewaktu bujang atau tidak betah berada di rumah - secara semula jadi.

Kerja: Tuntutan kerja memaksa suami untuk jarang berada di rumah walaupun suami ingin berbuat demikian.

Penampilan Isteri: Kebiasaannya suami tidak gemar berada di rumah kerana tidak suka melihat keadaan isterinya yang tidak terurus, muka serabut, tidak menarik dan tidak wangi.

Sikap Isteri: Bagi isteri yang suka membebel dan wajah isteri yang sentiasa masam kerana penat bekerja juga akan membuatkan suami tawar hati untuk berada di rumah.

Pengabaian Isteri: Bagi pasangan yang mempunyai ramai anak, isteri mungkin kurang memberi perhatian kepada suami, ini menyebabkan suami rasa tidak diperlukan di rumah.

Keadaan Rumah: Keadaan rumah yang bersepah, tidak kondusif dan tidak bersih membuatkan suami tidak selesa untuk berehat di rumah.

Hobi Isteri: Isteri lebih gemar menonton drama kegemaran daripada berbual dengan suami, keadaan ini akan memaksa suami keluar mencari teman-teman.

Ajakan Rakan: Suami mungkin tidak pandai menolak ajakan rakan-rakan lain untuk melepak di luar, jadi kebanyakan masanya dihabiskan di luar bersama teman-teman.

Masalah suami jarang berada di rumah dapat di atasi sekiranya isteri tahu apa aktiviti suami sepanjang berada di luar rumah. Bukan ambil tahu hal ini sehingga suami merasa dia dikontrol isteri tetapi dengan bijaksana seseorang isteri akan dapat mengetahuinya. Kena ada cara yang terbaik dengan niat yang ikhlas. Elakkan bersangka buruk dengan suami. Allah ikut sangkaan kita.

Sangka baik dan beri sepenuh kepercayaan kepada suami terlebih dahulu. Jangan kecurigaan yang di'tembak' setiap hari. nanti suami jadi meluat dan benci. Ego lelaki kena dijaga. Sebaik terbukti suami ada hal yang negatif, perkara pertama siisteri kena lakukan ialah muhasabah diri. Semak apa kesalahan dan kesilapan diri. Jauhkan diri dari berkata aku (isteri) yang benar. Katakan dalam hati "Pasti ada salah silap aku sehingga Allah uji aku dengan ujian sebegini".

Sebab itu sebaik bergelar suami isteri, masing-masing kena saling memahami, saling bertolak ansur dan saling berlapang dada. Jika masing-masing sudah seia sekata, sukarlah syaitan memecahkan mereka. Belai dan binalah rumah tangga yang saling boleh berunding dan berbincang. Ianya suasana yang normal jika lelaki terus menerus mahukan hiburan dari siisteri dan mendapatkan ketenangan di dalam rumah berbanding di luar rumah.

Tentulah ada suatu yang tidak kena jika suami sudah jemu dengan isteri dan suasana dalam rumah. 

Walaupun begitu sekiranya isteri tidak berpuas hati dengan tabiat suami yang suka lepak-lepak di luar - sehingga jauh malam, cubalah selami secara rasional. Kadang-kadang kena lah di fahami sifat sesetengah lelaki yang suka melepak. Maaf kadang-kadang siisteri sudah alpa dalam memberi hiburan kepada suami.

Bila suaminya masih 'orang baik', isteri yang kurang melayannya dia boleh maafkan tapi kecenderungannya untuk lama-lama di dalam rumah akan berkurangan. Dia tidak cuba mencari perempuan lain tapi mungkin imbalannya ialah bersembang-sembang santai dengan kawan rakan yang senasib di kedai-kedai mamak. Atau pun mereka akan buat trip memancing setiap bulan. Atau main golf di luar daerah dan sebagainya. Tujuan terlindungnya ialah untuk dapat rileks di luar rumah. Duduk dalam rumah pun tidak di layan!

Apa pun elakkan menyamakan diri dengan pasangan kita. Hakikatnya lelaki dan wanita itu ternyata dilahirkan berbeza dari semua segi. Oleh itu kita wajar kenali pasangan kita dengan sebaiknya kerana kitalah yang akan menentukan keharmonian rumahtangga kita,

Belajarlah mencari hal yang positif tentang pasangan hidup kita dan sama-samalah membina hubungan positif sampai bila-bila. Belajarlah untuk mengagumi suami atau isteri kita sebagai insan terbaik anugerah Allah  untuk kita. Belajarlah bersyukur dengan nikmat bersuami atau beristerikannya. Nanti pasti Allah akan tambah kenikmatan hidup berumah tangga. Insya Allah. 

Jadikanlah Ya Allah rumah tangga kami semua terutama para pembaca blog ini, rumah tangga yang engkau pimpin setiap penghuninya untuk mendapatkan rasa takut setakut-takutnya padaMu dan mendapatkan rasa rindu serindu-rindunya dengan RasulMu saw.  Amin....

1 ulasan:

  1. Terimakasih perkongsiannya. Ilmu mengenai Tujuan dan Falsafah Pernikahan nampaknya perlu direnungkan kembali.

    BalasPadam

 

Sample text

Sample Text

Sample Text