Maharku UntukMu Tuhan
Alhamdulillah… Syukur ku ke hadrat Mu Ya Allah, terima kasih kerana Engkau memberikan aku taufik-Mu untuk ku kuat bertapak di jalan ini..
Hampir seminggu, sukar untukku gambarkan perasaanku.. tenang, bahagia, sebak, hati aku sayu..
Bermulanya semua ni dengan satu peristiwa.. Entah kuasa apa yang menguatkan aku. Aku tekad. Ku bisikkan dalam hatiku
“Eqa, you should change starting from now!”
Dan malam itu, aku iron sepasang baju kurung berwarna merah. Aku ambil semula tudung bidang 55 yang dah lama aku beli tapi tak pernah aku ‘berani’ untuk memakainya.. Siap iron semua, aku ambil wudhuk, baca doa, dan tidur dalam zikrullah.
Bangun keesokan hari, aku seolah-olah seperti bermimpi. Aku fikir dan bertanya sendiri, adakah betul tindakan ku atas apa yang bakal ku lakukan nanti? Aku tahu, sekali aku melangkah, aku tidak boleh berpatah balik..
“ahhh tak, aku tekad dan takkan berpaling lagi.. ” Suara hati kecilku menyakinkan diri sendiri.
Usai solat subuh, aku sarungkan baju kurung seperti biasa, dan part paling aku rasa nak menangis…….. aku sarungkan tudung labuh itu ke kepala. Allahu Rabbi.. Aku seperti lihat seorang Zulaikha yang baru. Mungkin tidak cantik bagi mata orang lain, tapi cantik pada pandangan Allah. Tertutup, tiada satu aurat pun yang terdedah. Aku tahu, Allah suka Zulaikha yang ini berbanding dulu. InsyaAllah..
Sejujurnya, kadang-kadang aku rasa macam nak turn back. Saat tengok banyak baju-baju fesyen yang baru dan cantik-cantik aku beli, belum tudung lagi.. Kalau di kira, mahunya beribu untuk semua itu. Tapi, biarlah..
Makin aku fikir, makin hatiku kuat berkata;
“No, ini yang kau nak eqa, ini yang Allah redha”.. Pahala yang akan aku peroleh, lebih jauh besarnya di akhirat kelak berbanding nikmat dunia yang sementara ni.
Masuk lab, senior-senior Master and PHD pandang. Tapi aku buat seoalh-olah tiada apa-apa yang berlaku. Dalam diam, aku nampak mereka tersenyum. Tapi satu benda yang buat aku rasa nak gelak, 3 hari aku bertudung labuh, mama tak pernah perasan! Aku pergi UM, dia tengah solat sunat. Aku balik UM, dia tengah sibuk masak. Jadi memang dia takkan perasan.
Suatu malam kami keluar makan, dan waktu itulah mama baru perasan. Tapi dia senyap, hanya pandang aku dari atas ke bawah. Pagi keesokan harinya, aku terjaga awal pagi, jam 3 lebih. Aku nampak mama solat tahajjud, menangis.
“Ini sahaja yang aku mampu, jadi anak solehah buat mama dan abah.” Ku bisik dalam hati. Walau dia tidak pernah berkata, tapi aku tahu, dia sangat gembira.
Satu sebab yang buat aku tekad sebenarnya, aku ingin redha Allah. Segalanya kerana Allah. Di samping untuk diri dan jaga diri, hanya untuk insan bergelar suami. Aku ingin mencapai “Cinta High Class”. Aku nekad, persiapan diri itu perlu. Diri ini, hanya perhiasan untuk suamiku kelak. Mahkota diri ini, hanya boleh dilihat oleh suamiku sahaja. Akan aku jaga dengan rapi, hanya untuk dia. Aku tidak boleh merubah dia, tapi aku boleh merubah diri sendiri untuk jadi yang terbaik buat dia kerana aku tahu, walau aku belajar hingga ke PHD, walau jawatan apa pun akan aku pegang suatu hari nanti, syurga ku terletak pada redha suamiku dan redha suami bererti redha Allah buatku.
Apapun perubahan ini aku lakukan hanya semata-mata kerana Allah. Nikmat mana lagi yang aku perlu dustakan? Terlalu banyak yang telah Dia kurniakan padaku. Tidak bersyukurlah andai aku tidak ‘membayar’ segala yang telah Dia ‘pinjamkan’ buat diri ini.
Bagiku kini, cukuplah pandangan Allah, aku tidak memerlukan pandangan makhluk lain, yang tiada apa kelebihan pun berbanding aku, yang hanya sama diciptakan oleh Dia. Hidup ni tidak lama, mungkin esok lusa aku akan pergi namun sekurang-kurangnya aku telah berusaha mengikut suruhan Dia iaitu cuba menjadi wanita solehah, hamba yang bertaqwa disisiNya.
Wanita cerdik yang solehah, impian ku. Moga Allah permudahkan jalan ini untuk ku dan moga aku mampu istiqamah dalam penghjrahan ini hingga ke akhirnya. InsyaAllah wa Amin.
Inilah MAHAR ku untuk MU Tuhan, atas segala nikmat yang Engkau kurniakan selama ini. Terima kasih kerana Engkau memilih ku, mengetuk pintu hati ini untuk kembali dekat padaMu.- Artikel iluvislam.com
0 ulasan:
Catat Ulasan