KECACATAN BUKAN PENGHALANG UNTUK BERJAYA
TENGKU ARMAN HARRIS TENGKU ISMAIL
Golongan orang kurang upaya (OKU) kini bukan sahaja mampu menonjolkan kejayaan mereka sebagai penjawat awam malahan dalam bidang keusahawanan.
Golongan ini dilihat begitu gigih serta memiliki kesabaran yang tinggi apabila menceburi satu-satu bidang, seolah-olah kecacatan bukan penghalang untuk mengecapi kejayaan.
Bagi Tengku Arman Harris Tengku Ismail, 36, yang cacat pendengaran, kegigihan dan ketabahannya menjadikan beliau antara usahawan OKU yang berjaya dalam perusahaan membuat batik sutera di Terengganu.
Menceritakan pengalaman sebelum menceburi perusahan berkenaan sejak 10 tahun lepas, beliau mula bekerja sebagai pengimpal di sebuah bengkel kenderaan di Kuala Lumpur pada 1990 selepas menamatkan persekolahan di Sekolah Menengah Pendidikan Khas di Pulau Pinang dan Sekolah Menengah Vokasional di Shah Alam, Selangor.
Setahun selepas bekerja di ibu kota, beliau yang merupakan anak sulung daripada enam beradik terpaksa pulang ke Terengganu untuk mengambilalih tugas sebagai ketua keluarga selepas kematian bapanya, yang terkorban dalam nahas jalan raya.
TIMBA ILMU
Mengimbas pengalamannya dalam industri pembuatan batik sutera, Tengku Arman mula bekerja di kilang Romi Batik di Chendering di sini, pada 1991 serta sebuah syarikat batik di Batu Burok, selama beberapa tahun sebelum membuka syarikatnya sendiri.
Menurut ibunya, Wan Zaitun Wan Mansur, 59, semasa bekerja di dua tempat berkenaan, Tengku Arman mempelajari pelbagai cara pembuatan batik sehingga 1996 sebelum membuka sendiri syarikatnya iaitu Arman Batik di rumahnya di Kampung Tebauk di sini.
Zaiton, yang merupakan jurubahasa isyarat anaknya, berkata dengan keazaman untuk berjaya dalam industri tersebut, Tengku Arman mendirikan sebuah bangsal berhampiran rumahnya, dengan mengusahakan pembuatan batik secara kecil-kecilan. Berbekalkan bakat dan kebolehan anaknya, beliau berkata Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Terengganu telah memberi bantuan kewangan sebanyak RM2,000 kepada Tengku Arman untuk mengembangkan perusahaannya.
Beliau berkata, setelah perusahaan anaknya itu menampakkan kejayaan, Tengku Arman memohon pinjaman sebanyak RM20,000 daripada Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan perusahaannya bertambah maju sehingga mampu membayar balik pinjaman dalam tempoh yang singkat.
DUA KEDAI BATIK
"Saya rasa puas apabila Tengku Arman dapat menyelesaikan pinjaman Mara dalam tempoh yang singkat kerana ia memberi keyakinan kepada Mara untuk memberi pinjaman kepada golongan sepertinya pada masa akan datang.
"Ini kerana, agak sukar bagi golongan OKU untuk menceburi bidang perniagaan kerana terdapat segelintir masyarakat yang memandang serong terhadap mereka," kata Wan Zaitun.
Tengku Arman berkata selain dibantu isterinya, Azizah Md Yassin, 32, yang juga cacat pendengaran, beliau mempunyai tiga pekerja bagi membantunya mencating kain-kain batik.
Atas usaha gigihnya, Tengku Arman kini boleh berbangga kerana memiliki dua buah kedai batik sutera iaitu "Anas Butik" di Subang Jaya, yang diurus oleh diknya. Katanya, beliau menghasilkan kain-kain batik sutera dengan dua kaedah iaitu melalui blok serta mencating dan ia dijual antara RM200 dan RM400 sepasang.
TOKOH OKU
"Gerai musim perayaan, saya akan mengambil ruang di Subang Parade untuk menjual kain-kain batik sutera saya dan alhamdulillah, sambutan yang diterima sangat baik," katanya.
Tengku Arman yang mendirikan rumahtangga dengan Azizah sejak tiga tahun lepas dan belum dikurniakan cahaya mata, berkata beliau sering berulang-alik ke Kuala Lumpur untuk menghantar kain-kain batik sutera yang dihasilkannya.
Katanya, beliau berhasrat untuk memperluaskan lagi perniagaannya dan bercita-cita untuk membuka sebuah kedai di sini, tidak lama lagi.
Kesungguhan Tengku Arman dalam industri itu mendapat pengiktirafan dan beliau merupakan Presiden Persatuan Kebajikan Orang Cacat Pendengaran Terengganu (PKOCPT) yang pertama sejak ia ditubuhkan pada 2001.
PKOCPT mencapai kegemilangan di bawah kepimpinan Tengku Arman apabila diiktiraf sebagai persatuan OKU terbaik Terengganu sempena Hari Orang Kurang Upaya peringkat negeri anjuran JKM pada 2003.
Kebolehan dan pencapaian Tengku Arman itu juga telah melayakkan beliau menerima pengiktirafan termasuk sebagai Tokoh OKU Bahagian Ekonomi pada 2007 dan Tokoh OKU Keseluruhan pada 2005.
2. LEE THIAM WAH
Kita mungkin sudah biasa melihat rangkaian mini market 99Speedmart yang papan tandanya berwarna hijau gelap dan oren itu. Ramai mungkin tidak tahu siapakah pemilik rangkaian mini market itu. Untuk rekod, ia adalah milik seorang lelaki kurang upaya (OKU) bernama Lee Thiam Wah. Beliau memiliki lebih 2OO buah cawangan 99Speedmart di seluruh Malaysia (2011).
Lee berkerusi roda semenjak kecil. Sewaktu bayi, Lee lumpuh disebabkan polio dan hilang fungsi kakinya. Bapanya seorang buruh pembinaan dan ibunya seorang penjaja, mereka bekerja keras untuk menyara 11 anak. Mereka cuma mampu menyediakan pendidikan peringkat sekolah rendah kepada Lee. Untuk menghilangkan rasa sunyi, Lee belajar sendiri dengan membaca buku yang dipinjam dari jiran, dan menjual makanan ringan serta snek ditepi jalan.
”Saya perlu menolong diri sendiri. Tiada siapa yang hendak menggaji saya yang mempunyai fizikal yang terhad ini..”Lee memiliki simpanan RM5,000 ketika 23 tahun, cukup untuk memulakan kedai runcit. Dari situ beliau mula belajar tentang perniagaan runcit.
Lee menceritakan - ‘saya belajar apa pelanggan mahu, saya kenal siapa pembekal dan harga mereka. Dan saya kaji pesaing saya dengan cermat..’Beliau telah berjaya menubuhkan 8 pasar mini di sekitar bandar Klang, Selangor pada hujung tahun 1990an walaupun kegawatan ekonomi berlaku pada masa itu.Kejayaan ini adalah sumber keyakinan kepadan Lee dalam perkembangan perniagaan kedai serbaneka yang mempunyai potensi tinggi.
Pada Ogos 1992, pasar raya 99 yang pertama telah dibuka.Sejak tahun 1995, 7 buah lagi pasar raya yang menggunakan sistem kawalan stok dan inventori yang terkini telah dibuka di beberapa kawasan di Klang. Perniagaan kesemua pasar raya ini berkembang dengan kadar 8 peratus setahun.
Pada masa perniagaannya berkembang, beliau telah memperoleh banyak pengetahuan dan pengalaman dalam bidang perniagaan barangan serbaneka. Beliau mempunyai kepekaan yang tinggi terhadap setiap perkara yang melibatkan perniagaan ini seperti layanan pelanggan, pemilihan tempat perniagaan, kebersihan tempat perniagaan, pentadbiran perniagaan, penjualan dan promosi. Ini menghasilkan rangkaian pasaraya berjenama tinggi yang dikenali oleh penduduk Klang.
Daripada pengalaman dan kejayaan Lee dalam perniagaan ini, beliau telah mengilhamkan satu konsep kedai serbaneka moden yang mempunyai segala kemudahan dan keperluan yang boleh dijalankan dengan satu kedai. Justeru, 99 Speed Mart Sdn. Bhd. telah ditubuhkan untuk mengadakan francais kedai-kedai serbaneka di seluruh Malaysia.
Sembilan kedai-kedai serbaneka 99 Speed Mart Sdn. Bhd. telah wujud di sekitar Lembah Klang. Konsep kedai serbaneka 99 Speedmart telah direka untuk menawarkan kepada pengguna cara membeli-belah dengan mudah, cepat dan selesa tanpa kesesakan orang ramai yang biasanya dapat dilihat di pasar raya atau pasar raya besar. Ia juga menyediakan pelbagai jenis barangan dengan nilai yang terbaik untuk pengguna.
Slogan kedai serbaneka 99 Speedmart Begitu cepat, begitu mudah meliputi idea dan konsep kedai serbaneka 99 Speedmart iaitu Cepat dan Mudah. Ini kerana pengguna boleh mendapatkan barangan yang diperlukan dengan cepat serta mudah dari segi masa, wang dan penginapan.
Bagi menguatkan ‘ikatan’ dengan pembekal, Lee akan menjelaskan bayaran dengan hanya beberapa minit sahaja dengan mereka setiap kali beliau memperoleh barangan yang dipesan. Cara ini menyebabkan pembekal percaya kepada kejujuran Lee. Di kala ramai OKU yang bergantung sepenuhnya pada bantuan kerajaan, Lee memecahkan tradisi ini. Beliau pada awalnya terpaksa meminta bantuan adik beradiknya untuk menyusun barangan yang berat.
Keadaan beliau berkerusi roda tentunya menyebabkan pergerakannya terhad. ” Sudah tentu saya kena bekerja lebih kuat dari orang lain. Saya tidak boleh berbahasa Inggeris, berkerusi roda dan sekolah setakat darjah enam. ” Tapi bila berkerja keras, secara automatik boleh menambahkan rasa keyakinan diri dan ilmu pengertahuan,” kata Lee. Beliau juga tidak menggunakan kecacatan dirinya bagi meminta diskaun dari pembekal. Tiada keistimewaan khas, cuma bisnes dan berurusan seperti orang lain.
3. MOHD. KHAIRI OTHMAN
Mohd. Khairi Othman memberi makan ikan peliharaannya.
Hati ibu bapa mana yang tidak remuk apabila melihat anak yang lahir ke dunia tidak mempunyai sepasang tangan dan kaki sempurna seperti anak lain. Sudah pasti lebih gundah-gulana apabila memikirkan masa depan dan kepayahan yang akan ditempuhi permata hati mereka pada hari-hari mendatang.
Bagi pasangan Othman Ali, 75, dan Juliah Ismail, 71, dari Kampung Tanjong Pulai, Pekan, itulah hakikat yang perlu ditempuhi mereka sepanjang 31 tahun lepas setelah dikurniakan seorang anak kurang upaya (OKU), Mohd. Khairi yang hanya mempunyai tangan sehingga paras siku dan kaki di paras lutut.
Walaupun tidak sempurna seperti insan lain, Mohd. Khairi tidak pernah dididik menangisi akan kekurangannya itu. Hari ini, ibu bapa Mohd. Khairi mampu tersenyum bangga melihat anaknya itu bukan hanya mampu berdikari malah menjadi usahawan akuakultur, satu bidang yang melibatkan banyak aktiviti fizikal.
Semuanya bermula pada lapan tahun lepas, apabila Mohd. Khairi dipujuk sepupunya, Abdul Rashid Nordin agar menternak ikan dalam sangkar di tepi Sungai Pahang.
Meminjam
Beliau, yang memang gemarkan aktiviti memancing, kemudian bersetuju dan meminjam sebuah sangkar daripada sepupunya itu untuk menternak ikan tilapia.Berkat usaha gigihnya tanpa mengenal jemu, pada hari ini Mohd. Khairi berjaya memiliki 17 sangkar dengan ternakan ikan talapia dan patin hasil usaha gigihnya selama ini.
Beliau berkata, antara 600 dan 700 kilogram ikan bernilai kira-kira RM4,000 dapat dijual di pasar sekitar Pekan pada setiap pusingan hasil iaitu lima bulan sekali. Mungkin pendapatan yang puratanya kira-kira RM800 sebulan itu tidak berskala besar, namun bagi insan istimewa seperti Mohd. Khairi, ia cukup bermakna dalam membantu kehidupannya sekeluarga.
Rutinnya, Mohd. Khairi akan berkerusi roda dari rumahnya sebelum menuruni anak tangga ke sangkar ikan menggunakan kedua-dua lengan dan pehanya.Beliau kemudian memberi makan ikan dengan mengepit bekas berisi makanan ikan (palet), malah kadangkala mengangkat sendiri guni berisi makanan itu ke setiap sangkar ikan.
Beliau juga terpaksa membersih kawasan sangkar daripada sampah sarap yang hanyut ke kawasan sangkar bagi mengelak ikan ternakannya mati. Aktiviti itu dilakukannya setiap pagi dan petang. “Dengan keadaan fizikal macam ini, memang banyak cabaran perlu ditempuhi tetapi saya sudah biasa sejak kecil,” kata Mohd. Khairi ketika ditemui di sini.
Bagaimanapun, menurut Mohd Khairi, pada setiap pusingan hasil, beliau akan dibantu beberapa saudara dan rakannya untuk mengeluarkan ternakan ikan berkenaan untuk jualan.Seorang lagi pemuda OKU, Mohamed Mahidin, 38, dari Kampung Kiambang, Ganchong di sini juga tidak menjadikan kecacatan sebagai halangan untuk menjadi penternak ikan sangkar yang berjaya. Bekas pemenang pingat perak acara lompat tinggi pada kejohanan Sukan Paralimpik Asia 1998 di Bangkok, Thailand, itu kini berjaya mengusahakan 18 sangkar ikan talapia dan patin.
Beliau yang mengalami kecacatan di kaki kanan, berkata, penglibatannya dalam bidang akuakultur sejak enam tahun lepas membawa pulangan antara RM1,000 dan RM1,500 sebulan. Katanya, hasil ternakan tersebut mendapat permintaan tinggi daripada pengguna terutama di pasar besar Kuantan.Ditanya kesukaran yang dihadapinya bagi menjayakan projek itu, Mohamed berkata, beliau akan sedaya upaya berusaha mengatasi segala masalah.
“Lagipun saya memang dibesarkan di kawasan kampung, sudah biasa bermain sungai," katanya. Namun, katanya, cabaran yang paling besar ialah setiap kali musim banjir yang memaksanya memberhentikan sementara aktiviti penternakan ikan. Kedua-dua pemuda berkenaan seperti usahawan lain, juga menyimpan hasrat memajukan perniagaan masing-masing.
Dengan kerahan keringat bagi menjayakan perusahaan sangkar ikan tersebut, usaha Mohd. Khairi dan Mohamed telah mendapat perhatian Jabatan Perikanan .
Pada 23 Oktober lepas, kedua-dua pemuda berkenaan telah menerima bantuan menerusi Skim Perkhidmatan Sokongan Akuakultur (SPeKs) yang disampaikan sendiri oleh Pengarah Bahagian Pembangunan Akuakultur Jabatan Perikanan, Ismail Abu Hassan.
Skim berkenaan bertujuan meringankan beban kewangan serta meningkatkan pendapatan pengusaha akuakultur melalui penyediaan infrastruktur dan kemudahan sokongan. Bagi Mohd. Khairi bantuan tersebut akan dapat mempertingkatkan pengeluaran hasil ternakannya pada masa akan datang.“Penambahan sangkar ikan memerlukan modal yang besar dan bantuan ini pasti membantu," katanya.
Bagi Mohamed, beliau bercadang mengembangkan aktiviti ternakan ikan sangkarnya kepada industri hiliran dengan menghasilkan produk sejuk beku, pekasam dan keropok.Katanya, melalui pemerhatian yang dilakukannya, kesemua produk berkenaan kini semakin diminati dan mendapat permintaan yang baik di pasaran seluruh negara.
4. LATIP MD. ISA
Suatu masa dulu, Latip Md. Isa yang cacat kaki kirinya kerana menghidap polio sejak dilahirkan pernah dihina ketika mahu membeli peralatan untuk memulakan perniagaan.
Keadaan Latip, 53, yang tiada kaki kiri menyebabkan dia dipandang rendah oleh masyarakat dan dianggap tidak berkemampuan untuk melakukan sebarang pekerjaan. Namun, katanya, kata-kata hinaan tersebut membolehkannya kini menikmati pendapatan RM60,000 sebulan hasil perniagaan pemprosesan ayam daging dan perkhidmatan sewaan kanopi, lori dan katering di Bachang di sini.
‘‘Saya masih ingat lagi, pada ketika itu saya baru berjinak-jinak mengusahakan ternakan ayam, hasil jualan ayam, saya ada menyimpan sejumlah wang untuk dijadikan modal.
‘
‘Kemudiannya, saya bertanyakan harga sebuah peralatan di sebuah kedai namun dengan pandangan yang mengejek, pemilik kedai itu menyatakan saya tidak perlu bertanyakan harga barang tersebut kerana melihat keadaan saya, dia merasakan saya tidak mampu,” katanya.
Latip ditemui pada majlis sambutan Hari Orang Kurang Upaya (OKU) peringkat negeri yang disempurnakan oleh Pengerusi Anggota Badan Amal Kebajikan Isteri-Isteri Wakil Rakyat Negeri Melaka (Bistari), Datuk Wira Asmah Abdul Rahman di sini semalam.
Pada majlis itu, Latip menerima anugerah Tokoh Usahawan OKU daripada sembilan tokoh OKU lain yang dianjurkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat negeri dengan tujuan mengiktiraf potensi golongan itu meningkatkan kehidupan melalui kerjaya masing-masing.
Latip yang merupakan anak sulung daripada enam beradik dan hanya kurang upaya dalam keluarganya itu beranggapan kecacatan yang dialaminya itu tidak pernah menghalang minatnya menceburkan diri dalam perniagaan.
Biarpun terpaksa berjalan tempang kerana kaki kiri disokong oleh alat besi di dalamnya, ia tidak mematahkan semangat saya untuk meluaskan perniagaan jualan ayam daging dan tahun lalu, saya menambah perniagaan kepada menyewa kanopi, lori dan katering.
‘‘Alhamdulillah, saya kini mampu menikmati pendapatan kasar sehingga RM60,000 sebulan walaupun ketika mula-mula menternak dan memproses ayam, ia hanya daripada belas kasihan pemilik perusahaan tersebut,katanya.
5. Razali Rohani
Razali menghasilkan lukisan dengan menggunakan kaki
Siapa kata orang kurang upaya (OKU) tidak boleh hidup mewah, kekurangan diri mengehadkan peluang untuk mengejar impian dan masa depan yang lebih cerah.
Razali Rohani, 29 membuktikan tanggapan itu tidak benar. Dilahirkan tanpa kedua-dua belah tangan namun dia reda malah berusaha gigih mencungkil kelebihan diri untuk meraih rezeki lumayan.
"Setiap kekurangan yang ALLAH SWT kurniakan akan ada kelebihan yang hanya kita sendiri tahu, saya kini mampu hidup mewah dengan hasil jualan lukisan walaupun melukis dengan menggunakan kaki," katanya.
Berkat usaha gigih tanpa kalah dengan simpati masyarakat, anak ketiga daripada sepuluh beradik kini mampu berbangga apabila hasil kreativitinya diiktiraf di peringkat antarabangsa.
Kata Razali, dia sendiri tidak pernah mimpi untuk menjual hasil lukisannya sehingga ke Kanada, namun tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia ALLAH yang tentukan.
Anak kelahiran Kampung Mengabang Lekor ini berkecimpung dalam bidang seni sejak tujuh tahun lalu setelah menyertai Persatuan Pelukis Mulut dan Kaki di Ampang, Selangor.
Ternyata rezekinya mula melimpah apabila lukisan bertemakan corak batik dan pemandangan amat digemari masyarakat di luar negara.
“Sebagai OKU, peluang saya tidak banyak, oleh itu mengambil keputusan belajar kemahiran Pusat Pemulihan OKU Cheras, Selangor.
"Di sana saya mendalami bidang seni lukis dan komputer, saya ambil masa lima tahun untuk menamatkan pengajian," katanya.
Kata Razali, dia bukannya dilahirkan dengan bakat besar dalam bidang lukisan tetapi mengenangkan tidak banyak dapat dilakukan untuk mengubah nasib diri, dia belajar melukis.
"Kini pendapatan saya lebih daripada cukup untuk menampung sara hidup, saya juga gembira kerana mampu memiliki kereta yang telah diubahsuai untuk golongan seperti saya," katanya ketika ditemui pada Program Bumi Hijau dalam PDK Batu Rakit.
Menurutnya, lukisan yang dihasilkan bersaiz A3 mampu disiapkan dalam masa tiga hingga empat hari sebelum dihantar ke Kanada.
“Saya gembira dengan kerjaya ini kerana mampu membuktikan OKU juga boleh berjaya seperti juga mereka yang normal,” katanya.
Dia harap kejayaan yang dicapai mampu memberi inspirasi kepada OKU lain untuk berjaya dalam hidup dan tidak hanya bergantung kepada bantuan.
6. TUAH ATAN
Tuah Atan, seorang peguam yang hari ini dinamakan Tokoh OKU Melaka 2009, meminta ibu bapa yang mempunyai anak kelainan upaya supaya jangan sekali-kali membezakan mereka dengan anak-anak yang lain.
Katanya walaupun beliau dilahirkan dengan kecacatan namun kejayaannya adalah kerana ibu bapanya yang tidak kecewa atau berputus asa dengan keadaan dirinya.
"Saya rasa kanak-kanak OKU macam saya, kalau tak ada ibu bapa yang beri sokongan dan kasih sayang serta kefahaman, agak sukar untuk kita maju dan keluar dari kepompong kecacatan," katanya.
Tuah, 49, dilahirkan di Tanjung Kling dekat sini dengan hanya tangan kanan yang sempurna, tanpa kedua-dua kaki dari paras lutut manakala tangan kirinya hanya pada paras siku.
Beliau adalah pemegang ijazah sarjana muda (kepujian) undang-undang dan kini mempunyai dua pejabat firma peguam iaitu satu di Kuala Lumpur dan satu di Melaka.
Anak keempat dari sembilan beradik ini pernah memenangi pelbagai anugerah termasuk Tokoh Maal Hijrah (Profesional) pada tahun 1997 dan 2008.
Tuah berkata bahawa sejak bapanya, Atan Semilang, seorang pesara polis meninggal dunia lima tahun lepas, ibunya Mariam Karim, 72, adalah segala-galanya bagi dirinya.
"Emak tinggal di Seremban dan adalah orang pertama yang saya akan telefon setiap hari sebaik memasuki pejabat untuk bertanya khabar sama ada beliau sihat.
"Emak tak pernah membenci saya, ketepikan dan abaikan saya kerana kecacatan saya sebaliknya mengajar saya tentang kasih sayang ketika mendidik dan membimbing saya," katanya yang mempunyai seorang anak lelaki berusia 18 tahun bersama isterinya yang juga seorang peguam.
Tuah berkat OKU yang ingin mencipta kejayaan perlu berpegang kepada kepada pepatah "di mana ada kemahuan, di situ ada jalan."
7. John TC Yeh
John TC Yeh yang cacat pendengaran sejak lahir adalah siswazah Gallaudet University dan pemegang anugerah usahawan yang berjaya. Sejak empat dekad yang lalu, beliau telah membuktikan kebolehan beliau sebagai seorang pelajar kolej, pemimpin perniagaan pintar, majikan orang kurang upaya, seorang peguam, dan seorang suami yang penyayang dan bapa kepada tiga orang anak.
John yang berasal dari Taiwan telah datang ke Amerika Syarikat pada tahun 1962 bersama dengan ibu bapa dan adik-beradik beliau supaya beliau dan kakaknya, yang juga pekak, boleh menerima pendidikan yang terbaik. John telah mendapat kelulusan dari Sekolah Kendall untuk golongan yang cacat pendengaran dan kemudian pergi ke Gallaudet University di Washington, DC, di mana beliau mendapat ijazah Sarjana Muda dalam bidang matematik. Pada mulanya beliau bercita-cita untuk menjadi seorang guru matematik, tetapi memandangkan terdapat terlalu banyak halangan bagi mencapai cita-citanya termasuk hakikat yang majikan tidak akan mengambilnya bekerja kerana masalah cacat pendengaran.
Pengalaman bekerja pertama beliau adalah semasa bekerja sambilan di kafeteria Hot Shoppes semasa belajar di kolej di Washington. Dia kemudiannya telah menerima ijazah sarjana dalam bidang sains komputer di University of Maryland, namun setelah memohon untuk beratus-ratus pekerjaan beliau sekali lagi mendapati bahawa majikan dalam bidang pilihan beliau tidak akan mengambilnya bekerja.
Dalam tahun 1970-an, John menyimpulkan bahawa satu-satunya cara seseorang yang cacat pendengaran boleh berjaya di dalam perniagaan adalah dengan menjadi seorang usahawan. Disebabkan kekecewaan kerana kekurangan peluang pekerjaan teknikal dan pengurusan bagi individu pekak, dia dan saudara-saudaranya telah mengasaskan sebuah syarikat perisian, Integrated Microcomputer Systems, Inc. (IMS) yang mana jualan tahunannya mencapai sehingga berjuta-juta Dollar dan beliau juga mengambil beratus-ratus pekerja yang kebanyakannya golongan cacat pendengaran.
Pada tahun-tahun berikutnya, IMS dan John telah diiktiraf dengan banyak anugerah bagi kecemerlangan perniagaan dan teknikal, termasuk anugerah Norman Vincent Peale Foundation America, pengiktirafan sebagai majikan terbaik tahunan oleh Pengerusi persatuan Employment of People with Disabilities. Pada tahun 1989 dan 1990, IMS juga menerima anugerah industri bagi kecemerlangan teknologi tinggi dari KPGM Peat Marwick, dari Arthur Young dan Inc.
Pada tahun 1994, 16 tahun selepas penubuhan IMS, John dan adik-beradiknya telah menjual syarikat tersebut dan menjadi "semi-bersara." Dalam masa dua tahun, John telah mengasaskan sebuah lagi syarikat iaitu Viable Technologies, Inc.. Ia adalah sebuah syarikat yang menggunakan teknologi remote yang menawarkan harga berpatutan, perkhidmatan transkripsi waktu nyata (real-time) untuk pelajar-pelajar yang cacat pendengaran. Beliau juga adalah pengerusi WebbyNation, Inc., yang pakar dalam media, internet, dan perkhidmatan tanpa wayar yang mana syarikat induknya adalah deafbuy.com dan DeafNation.
Selama bertahun-tahun, di samping membuktikan kebijaksanaan dalam perniagaan, beliau juga telah menunjukkan kebolehan kepimpinan beliau sebagai peguam bela kecacatan dengan berkhidmat dalam banyak lembaga institusi yang tidak melibatkan keuntungan (non-profit institution) dan pendidikan, termasuk National Captioning Institute, National Asian Deaf Congress, National Deaf Business Institute, dan Gallaudet University.
8. ZHARIFF AFANDI
IBU memberi Zhariff ruang dan kebebasan untuk meneroka setiap cabaran.
'GIVING a hand... with a foot' (beri tangan... dengan kaki). Besar pengertian kata-kata ini dalam hidup Muhammad Zhariff Afandi, 29. Kekurangan diri bagi anak muda ini suatu kekuatan untuk menggapai kejayaan. Mari selami semangat dan jiwa besar anak muda ini...
TERBIT rasa kagum pertama kali bertentang mata dengan susuk personaliti ini. Biarpun lahir dengan ciri-ciri fizikal yang terbatas, semangat anak muda ini tampak terserlah hingga timbul keinsafan dalam hati.
Ternyata pertemuan penulis dengan personaliti pilihan XY - Ikon Lelaki minggu ini, Muhammad Zhariff Afandi di Taman Tun Dr Ismail (TTDI), Petaling Jaya, baru-baru ini membuka mata lantas mencetus semangat dan perspektif baru dalam hidup.
Lahir tanpa kedua-dua belah tangan, Muhammad Zhariff aktif dalam program kemasyarakatan serta aktiviti dianjurkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Keazamannya untuk menyumbang kepada komuniti melangkaui kekurangan dirinya sekaligus menunjukkan keluhuran budi anak muda ini.
“Individu ternama yang berjaya seperti Bill Gates, Steve Jobs dan ramai lagi pernah melalui banyak kegagalan sebelum melakar kejayaan. Jadi, untuk apa kita perlu berasa gagal dalam setiap usaha yang ingin dilakukan.
“Usah sesekali mengehadkan apa yang sudah kita lakukan, sebaliknya kita harus mencuba di luar sempadan yang ada untuk maju ke depan,” kata Muhammad Zhariff pada pertemuan itu. Jejaka ini memiliki latar belakang pendidikan dalam bidang perkembangan psikologi dari Universiti Graffith, Australia serta sarjana muda sastera dalam jurusan sosiologi di Kolej Damansara Utama (KDU), Kuala Lumpur.
Pada usia yang menginjak 30 tahun, Muhammad Zhariff sudah lebih 10 tahun terbabit dalam aktiviti kemasyarakatan hingga menubuhkan The Zhariff Initiative (TZI) iaitu suatu platform yang berkongsi inspirasi, pengetahuan, pengalaman dan kemahiran kepada komuniti lain.
“Zhariff Initiative bertujuan memupuk dan membangunkan nilai-nilai sosial yang bertanggungjawab untuk agensi korporat, kerajaan, institusi akademik dan pertubuhan lain,” kata penerima Anugerah Belia Perdana 2011 ini.
Ikuti inspirasi hidup Naib Presiden merangkap Ketua Pegawai Operasi (CEO) TZI Sdn Bhd ini dan selami jiwa kentalnya...
Apa yang mendorong anda menubuhkan syarikat yang memfokuskan inisiatif kepada komuniti?
Saya berazam untuk memiliki sebuah syarikat apabila berusia 30 tahun. Alhamdulillah, akhirnya, sebelum mencecah usia 30 tahun, saya berjaya menubuhkan syarikat yang memfokuskan usaha bagi membantu komuniti.
Sebelum nekad menubuhkan syarikat sendiri, saya menimba ilmu dan bekerja sebagai Ketua Bahagian Pembangunan di sebuah NGO yang membantu pesakit kanser payu dara selama setahun.
Saya juga ditawarkan bekerja di Kelab Rekreasi Dan Berkuda Denai Alam Selangor (DARC) untuk membangunkan model perniagaan baru yang mampu menggalakkan komuniti setempat menunggang kuda.
Boleh ceritakan lebih lanjut pengalaman ketika bekerja?
Sebenarnya, suatu ketika dulu, saya pernah menganggap mudah untuk mendapat pekerjaan sebaik tamat pengajian di Australia. Namun, sangkaan saya itu jauh meleset kerana daripada temu duga yang saya hadiri, baik di agensi kerajaan mahupun swasta, mereka tidak yakin dengan kemampuan.
Mereka tidak yakin walaupun melihat saya memiliki pengalaman dan rekod baik ketika menguruskan program NGO. Malah, ada juga syarikat yang kurang yakin kredibiliti saya untuk memohon jawatan pengurus acara disebabkan faktor fizikal diri ini. Inilah antara penguat semangat untuk saya buktikan kemampuan sebenar saya.
Bagaimana akhirnya TZI ditubuhkan?
Terus terang, saya memang bercita-cita untuk memiliki syarikat sendiri dan membantu komuniti. Selama lebih setahun berkhidmat di DARC dan melihat kejayaan model perniagaan ini sekalipun tidak berteraskan keuntungan, saya terdorong menubuhkan TZI.
Sudah sampai masanya untuk saya meneruskan cabaran lain berdasarkan keyakinan dan pengalaman, seterusnya membuat keputusan sendiri.
Apa agaknya cabaran dalam menubuhkan TZI?
Bukan mudah untuk meyakinkan pemberi modal kerana saya perlu mengambil masa lebih kurang tiga bulan menjalankan kajian dan menunjukkan model perniagaan. Selepas semuanya diatasi, saya akhirnya membangunkan syarikat yang pada asalnya ada tiga pekerja saja.
Saya bersyukur kerana bapa banyak membantu dan memperkenalkan dengan kenalannya. Saya akui agak tertekan pada mulanya kerana perlu menguruskan kakitangan, merangka strategi pemasaran dan mengendalikan acara. Namun, semua ini pengalaman berharga yang membolehkan kita berfikir di luar kotak minda.
Siapa sumber inspirasi anda?
Tentunya keluarga terutama ibu bapa saya yang sudah melakukan tugas dan tanggungjawab mereka dengan baik sejak saya kecil lagi. Saya dapat rasakan betapa cinta dan kasih sayang mereka hingga memberi saya setiap ruang dan kebebasan untuk meneroka setiap cabaran.
Ibu bapa tidak pernah menghalang untuk saya melakukan sesuatu walaupun menyedari kekurangan yang ada. Selain itu, kehadiran kedua orang datuk saya memberikan makna cukup besar dalam hidup.
Selain itu, kesungguhan seorang kenalan iaitu Ellynita Hazlina Lamin yang saya ketemu pada misi amal di Acheh, Indonesia, cukup membanggakan saya. Ellynita Hazlina yang menghidap barah dan saya memiliki kesungguhan dan minat sama.
Apa agaknya detik yang membanggakan anda sejak terbabit dalam aktiviti kemasyarakatan?
Saua rasa bangga apabila dapat membantu masyarakat. Apatah lagi dapat berinteraksi dengan orang ramai, bertemu insan istimewa, melakukan sesuatu yang membanggakan dan berkongsi cerita dan minat yang sama.
Saya anggar hingga hari ini, saya sudah berjumpa lebih 10,000 orang dan berkongsi pengalaman. Malah, saya baru saja diundang berucap di Ted Talk di Universiti Tun Abdul Razak. Saya akan berbicara soal inovasi sosial yang boleh mengubah batasan untuk maju ke depan.
Forum yang memberi kesempatan kita untuk berucap selama 15 hingga 18 minit ini menjadi platform terbaik bertukar pendapat dan boleh disaksikan di seluruh dunia.
Pernahkah anda mengalami kekecewaan dalam hidup?
Berasa kecewa dan patah semangat bagi saya sesuatu yang normal dalam kehidupan. Tidak semua orang senang atau tidak ada kerja yang mudah. Setiap kali perasaan itu datang, saya memikirkan semula perkara yang benar-benar saya cintai.
Buat apa lakukan perkara yang kita tidak minat. Walaupun mungkin gagal, tetapi itulah cabaran yang memerlukan kita mencari jalan lain sama ada berfikir di dalam kotak atau di luar kotak.
Pernahkan anda melihat individu yang berubah atas inisiatif anda?
Setiap kali diundang memberikan ucapan, saya datang semata-mata mahu memberikan motivasi. Saya bukan cikgu, bukan juga seorang profesor tetapi melalui pengalaman, minat dan idea untuk berkongsi, itulah yang menjadi perangsang untuk orang lain.
Saya melihat perubahan seperti seorang mak cik datang memperkenalkan anaknya dan meminta saya memberi nasihat. Bagi saya, itu semua menambah motivasi saya untuk terus membantu komuniti.
Apa agaknya azam dan sasaran anda?
Buat apa yang terbaik untuk mengubah dunia. Lakukan cara sederhana dan jadikan komuniti lebih menarik dengan daya usaha dan minat. Suka menyahut cabaran dan tidak takut mencuba. Pada masa yang sama, cinta diri sendiri dan orang sekeliling kita.
Menyentuh mengenai kerja pula, saya ada misi besar tahun depan. Pastinya, saya mahu merangka strategi mengembangkan syarikat termasuk syarikat yang baru saya miliki iaitu The Movemint yang mentadbir soal muzik, acara, kesenian dan pengurusan artis.
Teman serata dunia
BERKONGSI cerita menarik, seorang kenalan Facebook dari Amerika Syarika (AS) sering bertanya Muhammad Zhariff mengenai keadaan fizikal dirinya.
Beliau berkata, pemuda terbabit yang mendakwa bekerja di pusat fisioterapi, sering bertanya dirinya mengenai kemampuan emosi serta keupayaan fizikal individu yang hilang anggota tubuh.
“Saya sering dijadikan tempat rujukan oleh jejaka AS ini dalam mendapatkan maklumat serta menjadikan pengalaman saya berdepan situasi ini (tidak memiliki anggota badan) kepada pesakitnya. Melalui maklumat yang diberi, ada pesakitanya hilang kaki dan tangan kerana terbabit dalam peperangan.
“Maklumat ini perlu bagi memastikan pesakit memperoleh motivasi baru untuk mengharungi kehidupan seperti biasa. Ini termasuk dalam melakukan kerja seperti menaip, dan menggunakan anggota lain sebagai sokongan,” katanya yang sering berinteraksi dengan rakan-rakan Facebook dari serata dunia.
Muhammad Zhariff juga berkongsi maklumat melalui klip video di laman Youtube bagi berkongsi tip kepada golongan kurang upaya untuk mengharungi kehidupan seperti biasa.
“Melalui teknologi yang tiada sempadan ini, saya dapat menjalin hubungan perniagaan merentasi Eropah, AS dan Australia,” katanya.
9. MAMAT ABDULLAH
Kecacatan fizikal bukan penghalang untuk lelaki bujang ini memasang impian dan tiada halangan yang mampu mematahkan semangatnya dalam usaha meneruskan kehidupan seperti insan lain.
Mamat Abdullah, 53 tahun dari Kampung Felda Bukit Bading boleh berbangga dengan pencapaian diri biarpun nampak daripada luarannya mustahil, tetapi jiwanya kental menentang apa sahaja rintangan yang mendatang sehingga berjaya membuka bengkel motosikal miliknya.
“Sejak kecil lagi memang saya minat bekerja kerana tidak suka bergantung kepada orang lain untuk mencapai sesuatu di dalam hidup ini.
“Alhamdulillah sekarang saya mampu memiliki bengkel motosikal setelah menyertai Persatuan Orang Cacat Malaysia dengan mengikuti kursus yang dianjurkan bersesuaian dengan minat saya,” katanya ketika ditemui pada Majlis Kebajikan Rakyat 1Malaysia di Dewan Sivik Ajil.
Kata Mamat, dia memasang impian untuk mengembangkan lagi perniagaannya supaya dikenali ramai kerana buat masa ini pelanggannya terdiri daripada mereka yang berada di kawasan kampungnya sahaja.
Katanya, kalau dalam sebulan, hendak dapatkan RM150 payah, kebanyakannya dia hanya memperoleh antara RM30 dan RM100 sahaja.
“Saya bersyukur dapat duit bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan, dengan duit ini boleh menampung bayaran sewa kedai, bil air dan elektrik serta belanja seharian.
“Tetapi kalau terpaksa keluar ke bandar Ajil untuk mencari ‘barang’ motor, kena belanja lebih untuk bayar tambang teksi,” katanya.
Sementara itu, mengimbau kisah hidupnya, menurut Mamat ketika berusia tiga tahun, dia mengalami demam panas dan tidak menyangka selepas itu, keadaannya tidak normal, namun kecekalannya meneruskan hidup membuka mata banyak pihak untuk menghulurkan bantuan.
Kehidupan Mamat berubah setelah dia menyertai persatuan itu sekitar 1980 dan mempelajari selok-belok membaiki enjin motosikal.
Dia menggunakan ilmu yang diperoleh sebaik mungkin sehingga berjaya bergelar usahawan dengan memiliki Bengkel Din Motor sejak 10 tahun lalu di Kampung Felda Bukit Badin
10. Ruzimi Mohamed
Tanpa sepasang kaki dan tangan kiri, Imi masih mampu cipta sejarah tersendiri
Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat negeri, Nik Omar Abdul Rahman (kiri) bersama Timbalan Naib Canselor UTM, Datuk Mohd. Tajudin Ninggal dan Ruzimi Mohamed melihat motosikal elektrik untuk OKU di UTM Skudai, baru-baru ini.
“SETIAP manusia diberi hak sama untuk hidup, udara sama untuk dihirup, jumlah putaran masa sama untuk digunakan mahupun langit sama untuk dijunjung. Mengapa perlu kita bezakan yang kurang upaya dengan yang sempurna”.
Itu bicara pertama oleh personaliti pilihan ruangan Helo Kampus kali ini, Ruzimi Mohamed yang lebih mesra dipanggil Imi di kalangan rakan sekuliahnya.
Jejaka berusia 25 tahun itu tidak sesekali melihat kekurangan yang dimilikinya sejak kecil itu sebagai penghalang untuk mencipta sejarah tersendiri.
Dia yang hanya dikurniakan sebelah tangan iaitu tangan kanan tanpa sepasang kaki dan tangan kiri tetap bersyukur dengan kurniaan Allah kerana baginya kekurangan itu akan dibalas dengan kelebihan yang tidak ternilai.
Menurut penuntut tahun akhir pengajian sarjana itu, biarpun hanya memiliki sebelah tangan, dia bersyukur kerana dikurniakan banyak ‘tangan’ dan ‘kaki’ untuk membantunya dalam setiap segi termasuk pergerakan, pembelajaran dan aktiviti semasa.
Motivator sambilan kini boleh berbangga apabila mempunyai dua syarikat dengan sebuah diusahakan bersama seorang lagi rakannya.
“Syarikat Imi Creative Solution Sdn. Bhd. menyediakan perniagaan pembangunan laman web, kursus motivasi dan teknologi maklumat manakala Embroidry Teknologi menyediakan perkhidmatan jahitan dan sulaman.
“Alhamdulillah, perniagaan saya berjalan lancar. Kebanyakan pelanggan adalah di kalangan kakitangan dan penuntut UTM sendiri,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Ruzimi memberitahu, menjadi salah seorang daripada orang kurang upaya (OKU) bukanlah menjadi kesalahan, apatah lagi malu dengan kecacatan diri sendiri.
Malah, anak kelahiran Kampung Sungai Keladi, Kota Bharu, Kelantan itu turut mencipta motosikal roda tiga berkuasa bateri yang dinamakan Imi Creative Car (ICC) bagi kegunaan OKU dan warga emas pada masa akan datang.
Projek yang menelan kos RM25,000 itu dilengkapi aplikasi teknologi hijau iaitu menggunakan bateri untuk menggerakkannya.
“Kenderaan yang boleh digunakan warga emas ini tidak mengeluarkan asap dan tidak menggunakan petrol sebagai sumber bahan api,” katanya.
Katanya, dia turut bekerjasama dengan Zull Design untuk tujuan modifikasi kenderaan berkenaan.
Sumber :
0 ulasan:
Catat Ulasan