Entah mengapa Pak Lang teringatkan Allah Yarham Sdr Harun Salim Bachik. Sebaik mengetahui kematiannya semalam, Pak Lang mendoakan beliau selamat dan mendapat kasih sayang Allah. Perpindahan dari alam dunia ke alam barzakh akan berlaku pada setiap yang bernyawa. Siapa saja pasti menempuhnya.
Aruah Harun Salim Bachik terkenal dengan lakonan dan jenakanya. Apa yang ada di sisi sebaliknya tidaklah ramai orang tahu. Sebaik-baik muslim itu ialah sentiasa mendoakan siapa sahaja agar mendapat hidayah dan pimpinan dari Allah. Allah maha tahu hakikat diri kita. Belum tentu kita yang dilihat baik, adalah juga baik di sisi Allah.
Pak Lang tahu aruah Harun Salim Bachik sedang melakukan perubahan dan pembaikan diri. Banyak peningkatan dirinya yang orang tidak tahu.
Pak Lang berkesempatan bertemu dengannya di hujung tahun 2014 di Wangsa Maju. Ketika itu hanya ada 'temu janji' dengan Sdr Afdlin Shauki. Bila Pak Lang sampai ke lokasi depan pejabat korporat Sdr Afdlin, Pak Lang dapati pelakon dan pelawak terkenal Harun Salim Bachik sedang bersamanya.
Bila bersalam dan saling perkenalkan diri, Pak Lang sedar ada sesuatu yang sedang mereka bincangkan. Cukuplah Pak Lang katakan, mereka sedang berbicara tentang perkembangan diri - proses bagaimana berubah jadi lebih baik dan berjaya. Umum mengetahui, mereka berdua memang rapat.
Pak Lang tahu Sdr Afdlin seorang yang sudah lama melakukan perubahan diri ke arah lebih positif. Daripada beliau Pak Lang tahu ramai artis yang sedang serius mendekatkan diri dengan Tuhan maha pengasih. Bagi artis perempuan mungkin ketara bila mereka sudah memakai tudung. Tetapi jangan tidak sedar, ramai yang sedang berubah walaupun belum sampai masanya mereka bertudung.
Artis lelaki pula - jika mereka berubah jadi lebih baik dari sebelumnya, tidaklah mudah di kesan. Apa pun bagi mereka yang hampir, situasi perubahan diri individu berkenaan akan pasti dapat ditelah.
Harapan kita, semoga semakin ramai artis yang melakukan perubahan diri mendapatkan Allah yang maha mengasihani yang pasti Dia tidak akan mengecewakan hamba-hambaNya. Semoga kita semua mendapat pertunjuk dan kasih sayang dariNya.
Semoga Allah mencucuri rahmat dan keampunanNya untuk aruah Harun Salim Bachik.
Al-Fatehah.
0 ulasan:
Catat Ulasan